Rahsia di sebalik lagu “Kisah Seorang Biduan”

Rahsia di sebalik lagu “Kisah Seorang Biduan”
Gambar atas: Allahyarham Dhalan Zainuddin bersama D. J Dave dan Allahyarham Sudirman Haji Arshad.

 

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

 

“Tuah lagu ini bukan sahaja kerana bait-bait lirik dan melodinya malah lagu ini menjadi semakin indah dengan suara sayu Dhalan.”

 

SEJAK 44 tahun lalu hingga hari ini, setiap kali mendengar lagu “Kisah Seorang Biduan” pasti banyak hati yang tersentuh bukan sahaja kerana liriknya, malah melodinya meruntun jiwa siapa sahaja.

“Kisah Seorang Biduan” yang dinyanyikan oleh Allahyarham Datuk Dhalan Zainuddin sebagai salah seorang peserta peringkat akhir Bintang RTM 1975, walaupun tidak memenangi apa-apa kategori tetapi lagu itu telah meletakkan beliau di tempat paling istimewa di hati para peminat seni tanah air.

Bukan itu sahaja, malah lontaran suaranya yang lembut dan wajahnya yang sayu ketika menyanyikan lagu itu membuatkan nama Dhalan Zainuddin sentiasa di bibir para peminatnya.

Bersandarkan populariti lagu itu, Dhalan diberi gelaran ‘Superstar’ dan mencatat sejarahnya tersendiri apabila menjadi penyanyi tempatan pertama yang diberi peluang mengadakan konsert di Stadium Negara pada 1978.

Allahyarham Dhalan Zainuddin.

“Kisah Seorang Biduan” bukan terhenti setakat itu, malah dari sebuah lagu lahirlah filem yang menggunakan tajuk yang sama dilakon Allahyarham Dhalan, Gaya Zakri, S.Zamila dan Allahyarham Ahmad Mahmud.

Filem arahan dan skrip oleh Allahyarham M.Amin itu diterbitkan oleh Sabah Filem pada tahun 1979.

Sebenarnya di sebalik kejayaan lagu itu ia mempunyai cerita tersendiri yang mungkin tidak ramai yang tahu.

Allahyarham Dhalan yang saya temui April 2018 di sebuah hotel di Kuala Lumpur tidak keberatan apabila ditanya lagu evergreen itu yang begitu sinonim dengannya.

“Sebenarnya ketika saya terpilih menjadi salah seorang peserta akhir Bintang RTM 1975, saya tertekan kerana peserta disyaratkan menyanyi dua lagu iaitu yang sudah popular dan telah dirakamkan.

“Satu lagi lagu baru yang belum pernah dirakamkan. Dalam masa tidak sampai seminggu manalah saya nak dapatkan lagu itu.

“Tetapi nasib menyebelahi saya, apabila sahabat artis yang saya kenal, Syam D’Lloyd mencari saya sehingga di RTM dan beliau menyerahkan lagu Kisah Seorang Biduan untuk saya nyanyikan dalam Bintang RTM,” cerita Dhalan.

Lagu itu dikatakan belum cukup sempurna dan beliau amat bersyukur kerana setelah diserahkan kepada konduktor yang juga Pengarah Muzik Orkestra RTM ketika itu, Datuk Johari Salleh maka lahirkan lagu seindah itu.

“Semasa Dhalan memberikan saya lagu Kisah Seorang Biduan ia hanya tercatat note yang simple di atas sekeping kertas dan saya kena gubah semula.

“Alhamdulillah dalam masa tiga jam, saya berjaya mengubah semula lagu itu dengan melodinya yang berkarakter dan ada jiwa tersendiri dan saya yakin lagu itu akan popular dan menjadi evergreen.

Datuk Johari Salleh.

“Itulah istimewa dan tuah lagu Kisah Seorang Biduan walaupun sudah berusia lebih empat dekad!” kata Johari Salleh yang kini Professor Iktisas ( Muzik dan Seni Kreatif) di Universiti Kebangsaan Malaysia sejak 2004.

Menurut beliau, banyak faktor yang meletakkan lagu tersebut terlalu istimewa di hati para peminat seni tanah air.

“Tuah lagu ini bukan sahaja kerana bait-bait lirik dan melodinya malah lagu ini menjadi semakin indah dengan suara sayu Dhalan.

“Bukan itu sahaja, malah lagu ini dikatakan begitu sinonim dengan perjalanan hidup Allahyarham,” kata Johari Salleh.

Setelah dipersembahkan di pentas akhir Bintang RTM 1975, Allahyarham mendapat tawaran menjadi artis rakaman Warnada dan Kisah Seorang Biduan telah mencatatkan jualan tertinggi album pertama berbentuk EP.

Menurut Johari, walaupun Dhalan telah tiada beliau yakin lagu evergreen itu akan tetap segar dan bertakhta di hati para peminat ‘Superstar’ itu.

 

KISAH SEORANG BIDUAN

Dari sebuah desa
Berbekal gitar tua
Datang ke ibu kota
Dengan penuh harapan
Menjadi sorang biduan 2x

Oh biduan pujaan
Pujaan tua muda
Kau ditaburi cahaya
Dan sinar kekaguman
Dan riuhnyan tepukan 2x

Meskipun kau tersenyum
Namun orang pun tahu
Apa isi hatimu
Tatkala kau lagukan
Lagumu lagu sedih
Perjalanan hidupmu
Ditinggal kekasihmu 2x

—BebasNews

 

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.