Rakyat menunggu penubuhan segera Universiti P. Ramlee

Rakyat menunggu penubuhan segera Universiti P. Ramlee
Oleh NAZERI NONG SAMAH

 

Oleh kerana P. Ramlee datang daripada golongan yang berilmu, maka segala karyanya yang dihasilkan secara ikhlas membuatkan ia mendapat keberkatan secara berkekalan, insya-Allah.

 

TARIKH 29 Mei 2019 genaplah 46 tahun kematian Seniman Agung Allahyarham Tan Sri Dr. P. Ramlee yang tidak pun terasa sudah lama berlalu.

Ini kerana minat terhadap karya malar segar dan nostalgia kepada P. Ramlee terus ‘hidup subur’ dalam jiwa rakyat tanpa mengira peringkat usia atau kaum.

TernyataP. Ramlee adalah seniman rakyat sepanjang zaman dan bagi mereka yang lahir selepas kematian Allahyarham pun turut meminati lagu nyanyian dan lakonan filem arahannya.

Mengapa P. Ramlee menjadi legenda? Mengapa karyanya terus diminati walaupun bersaing dengan karya kontemporari?

Jawapannya ialah kita kena selidik kepada rahsia di sebalik proses penciptaan setiap karyanya. Bak kata pepatah, ‘bagaimana acuan, begitulah kuihnya’ Acuannya baik, maka hasilnya tentulah ikut berkualiti.

Oleh kerana P. Ramlee datang daripada golongan yang berilmu, maka segala karyanya yang dihasilkan secara ikhlas membuatkan ia mendapat keberkatan secara berkekalan, insya-Allah.

Sewaktu zaman remajanya sebelum berhijrah ke Singapura pada 1948 untuk menceburi bidang lakonan filem, P. Ramlee sempat belajar asas agama Islam dengan guru yang bertauliah, selain mempunyai kecenderungan kepada pengajian ‘tasawuf’ di Pulau Pinang.

Jika P. Ramlee tidak terjun ke ‘dunia kesenian’ dan terus memperdalami ilmu agama, mungkin tokoh ini akan menjadi ustaz atau pendakwah Islam yang disenangi khalayak kerana beliau pandai bercerita dan berjenaka secara berkualiti sambil menerapkan mesej dakwah.

Oleh kerana mempunyai asas ilmu agama tersebut membuatkan karya P. Ramlee juga menjadi bernilai murni serta banyak mengandungi elemen dakwah diterapkan secara halus sebagai mesej pengajaran berguna. Karyanya bagaikan ada ‘roh’ terus melekat ke dalam jiwa dan fikiran pendengar atau penonton.

Karya P. Ramlee itu lahir daripada jiwa murni insan yang menghayati ajaran ‘tasawuf’ yang ‘tawaduk’ merendah diri, pemurah, pengasih, gemar memberi nasihat positif (dakwah), mengalah dikhianati manusia jahil, tidak bongkak, tinggi nilai kemanusiaan, suka menolong orang dalam kesusahan, tidak terlalu cintakan harta dunia, menyedari kehidupan di dunia ini hanya sementara, nyawa ini hanya pinjaman dan nawaitu setiap pekerjaannya adalah ‘lillahhita’ala’ (kerana Allah).

Kadang-kadang bagi orang yang menghayati nilai ‘tasawuf’ ini, mereka sendiri sebenarnya memiliki ciri-ciri wali Allah itu tidak menyedari dikurniakan kelebihan tersebut walaupun kerap mendapat ilham ‘ilmu laduni’ secara langsung daripada Allah SWT dikurniakan kepada para hamba-Nya yang berhati mulia.

Dalam kehidupan P. Ramlee, beliau sendiri tidak menyedari sedang menghayati gaya hidup ‘sufi’ yang pemurah dan tidak terlalu cintakan harta dunia itu menyamai ciri-ciri orang yang menjiwai ajaran ‘tasawuf’ kesemuanya menjurus kepada nilai-nilai murni.

Beberapa tahun sebelum kematiannya, P. Ramlee dalam temu ramah dengan wartawan sebuah akhbar harian di Kuala Lumpur seolah-olah membayangkan ingin berhijrah mendekati Allah SWT seperti katanya: “Ramai dah kawan-kawan saya yang sebaya dengan usia saya ini (40-an) dah mula (rajin) sembahyang….”

Dalam filem Ali Baba Bujang Lapok tahun 1961 lakonannya di Singapura, terdapat dialog daripada pelakon lain bertanya kepada P. Ramlee yang mati akibat ditikam belakangnya: “Ehhh… apa pasal kau mati senyum…?”

“Aku mati dalam iman daa….!” Jawab P. Ramlee secara spontan yang gemar berfalsafah dan mencuit hati sebelum mati semula.

Sahabat baik P. Ramlee, Allahyarham Datuk Aziz Sattar pernah bercerita: “P. Ramlee ini mudah sangat percaya dan kasihankan orang lain. Dia tak peduli ada sesetengah orang datang minta tolong itu ada juga yang ambil kesempatan menipu.

“Pernah satu ketika P. Ramlee didatangi oleh orang yang minta tolong menyatakan dalam kesusahan mahukan bantuan wang sebab terdesak nak balik kampung ada kematian keluarga.

“Tanpa bersoal jawab, P. Ramlee terus seluk dalam poket bajunya beri semua wang $200 (ketika itu belum ada simbol RM) dalam tahun 1960-an di Singapura.

“Saloma isterinya terkejut dan tanya, mengapa Remy (P. Ramlee) beri semua wang kepada orang itu?  Lalu P. Ramlee dengan muka selamba dan bersuara tenang berkata, tak apalah kalau itu sudah menjadi rezekinya….,” demikian antara kisah kebaikan P. Ramlee yang percaya akan mendapat ganjaran pada hari akhirat kelak seperti diceritakan Aziz Sattar.

Menurut Aziz Sattar, pada zaman kegemilangan P. Ramlee, beliau juga banyak menghulurkan derma wang tunai secara senyap-senyap dalam jumlah yang besar kepada badan kebajikan dan masjid di Singapura sekitar tahun 1950-an dahulu.

Kalau hendak diceritakan mengenai nostalgia dan keanehan gaya hidup P. Ramlee ini, pendek kata tujuh hari tujuh malam pun belum habis kerana ia begitu mengasyikkan seperti Hikayat 1001 Malam. Ini tak termasuk lagi dengan kisah misteri P. Ramlee ada memiliki kenderaan sendiri berupa ‘kuda terbang’ warna putih dan ‘keris terbang’ anugerah seorang raja. Juga kisah sekawan burung berkerumun datang berkicau terpesona ketika mendengar P. Ramlee mendendangkan suara merdunya.

Semoga kita tidak terus leka dengan keasyikan bernostalgia  tersebut, sebaliknya kembali berpijak di bumi nyata mengenai apa pula penghargaan kita yang masih hidup ini kepada P. Ramlee menerusi perkara yang praktikal dan bermakna untuk faedah jangka panjang.

Menerusi pengiktirafan kerajaan, P. Ramlee merupakan seniman pertama dianugerahkan darjah kebesaran tertinggi bergelar Tan Sri pada 6 Jun 1990 disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Azlan Shah (Almarhum). Anugerah tersebut diterima oleh Nasir (Allahyarham) yang mewakili bagi pihak bapanya itu.

Kemudian ada saranan rakyat supaya P. Ramlee diberi pula anugerah gelaran tertinggi bergelar ‘Tun’ supaya beliau berada dalam kelas tersendiri, memandangkan beberapa seniman dan biduan lain turut mendapat gelaran Tan Sri.

Selain anugerah darjah kebesaran, kerajaan juga bercadang untuk menaik taraf Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di Kuala Lumpur sebagai Universiti P. Ramlee  di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mula disuarakan pada tahun 2015 itu bukan lagi retorik.

Segala usaha telah dilakukan oleh pihak berkenaan untuk merealisasikan penubuhan Universiti P. Ramlee sebagai penghargaan menerusi sektor pendidikan dengan mengabadikan nama besar ini pada sebuah institusi pengajian tinggi awam itu telah dilakukan menerusi persiapan secara menyeluruh. Kini cuma menunggu pemasyhurannya…

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz telah membuat perakuan rasmi dan jelas mengenai persetujuan kerajaan bagi penubuhan Universiti P. Ramlee itu ketika berlangsungnya sidang Dewan Rakyat di Parlimen pada 25 November 2015.

“P. Ramlee memang seorang ahli seni yang terkenal bukan sahaja di negara kita, malah juga di rantau Nusantara. Seiringan itu, kementerian akan menaik taraf Aswara sebagai Universiti P. Ramlee bagi mengiktirafnya sebagai seniman unggul, juga mengangkat beliau sebagai Tokoh Warisan Negara,” kata Mohamed Nazri.

Perakuan bagi tujuan penubuhan Universiti P. Ramlee itu dibuat Mohamed Nazri ketika menjawab cadangan wakil pembangkang Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) dalam sidang Dewan Rakyat yang mengesyorkan supaya kerajaan melalui Jabatan Warisan Negara (JWN) mengiktiraf juga P. Ramlee sebagai Tokoh Warisan Negara dan cadangan tersebut diterima pada tarikh sidang tersebut.

Pemimpin pembangkang daripada Pas waktu itu seperti Mahfuz Omar (kini bertukar menjadi ahli parti Amanah) pun minat kepada usaha menghargai P. Ramlee yang banyak berjasa dalam bidang kebudayaan dan kesenian negara.

Justeru ketika Mahfuz yang kini sudah menjadi Timbalan Menteri Sumber Manusia dalam kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)  sejak 9 Mei 2018 itu, beliau patut berusaha pula membawa ke sidang Dewan Rakyat di Parlimen mengenai usul menyegerakan penubuhan Univesiti P. Ramlee agar menjadi kenyataan.

Sesungguhnya majoriti rakyat Malaysia kini sedang menunggu penubuhan segera Universiti P. Ramlee bukan sekadar kepada pengabadian nama ikon yang ‘glamour,’  tetapi ia juga dapat mencetus inspirasi dan motivasi kepada pentadbir, tenaga pengajar serta pelajar instutusi pengajian tinggi tersebut dengan mencontohi kegigihan perjuangan seni tokoh itu.

Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh berketurunan Aceh dilahirkan di Pulau Pinang pada 22 Mac 1929, berhijrah ke Singapura menceburi bidang nyanyian dan perfileman pada 1948. Beliau meninggal dunia ketika berusia 44 tahun akibat serangan penyakit jantung di kediamannya di Taman Forlong, Setapak (kini Taman P. Ramlee), Kuala Lumpur pada awal pagi 29 Mei 1973.

Jenazah P. Ramlee berwajah manis seperti tersenyum itu disolatkan di Masjid Jamek, Kampung Baru, Kuala Lumpur kemudian diiringi ribuan manusia sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang (di belakang Kampung Baru) bersetentangan dengan Menara Berkembar KLCC. Al-Fatihah kita semua sedekahkan kepada Allahyarham agar rohnya tenteram di alam barzakh dan dicucuri rahmat oleh Allah SWT.

—BebasNews

 

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.