Lima syarikat GBS labur RM486 juta, cipta 1,500 peluang pekerjaan

"Kerjasama ini akan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk graduan tempatan serta mampu mmenyelesaikan masalah pengangguran di kalangan graduan di Perak."

 Lima syarikat GBS labur RM486 juta, cipta 1,500 peluang pekerjaan
Gambar: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (lima kiri) bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman (empat kiri) dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA),Datuk Seri Jebasingam Issace John (enam kiri) bersama wakil lima syarikat pelancongan, perkhidmatan perniagaan global (GBS) selepas menyaksikan majlis pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MOU) antara NCIA, kerajaan negeri dan lima syarikat GBS. NSTP/IHSAN PEJABAT MB

 

Lima syarikat berkenaan terbabit dalam bidang kewangan, sumber manusia, proses automasi robotik, perancangan sumber perniagaan dan teknologi maklumat termasuk Analitik Data Besar, pembangunan perisian dan `Cloud Computing’ yang berteraskan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).

 

IPOH — Lima syarikat peneraju Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) akan melebarkan operasi di sini membabitkan pelaburan keseluruhan RM486 juta dan akan memberi lebih 1,500 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata kelima-lima syarikat berkenaan akan ditempatkan di bangunan AEON Falim dan dijangka mula beroperasi pada suku ketiga tahun ini.

Beliau berkata, inisiatif GBS@Ipoh itu dipacu oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama kerajaan negeri, akan dihubungkan dengan ekosistem GBS yang telah bertapak di Lembah Klang dan Pulau Pinang, dan bakal muncul pusat pertumbuhan pelaburan baharu GBS dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

“Kerjasama ini akan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk graduan tempatan serta mampu mmenyelesaikan masalah pengangguran di kalangan graduan di Perak.

“Berdasarkan perangkaan menunjukkan 22.7 peratus daripada 20,341 graduan di Perak masih menganggur,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara NCIA, kerajaan negeri dan lima syarikat GBS terbabit di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Zainal Azman Abu Seman serta Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Ahmad Faizal berkata, lima syarikat terbabit ialah Volgo Sdn Bhd, TecCSA Sdn Bhd, Revoluteq Sdn Bhd, Puncak Tegap Sdn Bhd dan DigitalQ Solutions Sdn Bhd.

Katanya, lima syarikat berkenaan terbabit dalam bidang kewangan, sumber manusia, proses automasi robotik, perancangan sumber perniagaan dan teknologi maklumat termasuk Analitik Data Besar, pembangunan perisian dan `Cloud Computing’ yang berteraskan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).

Beliau berkata, syarikat terbabit memilih Ipoh kerana kos operasi lebih murah berbanding fokus perniagaan mereka sebelum ini di Lembah Klang dan Pulau Pinang, yang membabitkan kos pelaburan dan operasi lebih tinggi.

“Saya yakin usaha NCIA untuk membawa pelaburan ke negeri ini menjadi lebih mudah kerana pelabur semakin yakin dengan kestabilan politik dan kepimpinan dalam kerajaan negeri, inilah perkara yang saya selalu sebut, inilah masanya pihak NCIA, swasta, ahli politik, semua rakyat untuk mengenepikan perbezaan politik.

“Inilah masanya untuk membina semula negara dan bukan berpolitik, inilah juga tanggungjawab yang besar kepada media untuk memacu pemikiran rakyat ke arah perkara itu, bukannya untuk kita memperbesar-besarkan polemik politik yang tiada kesudahan yang akhirnya kita semua akan dapat kerugian,” katanya.

-NSTP
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.