Pembangunan kecundang tanpa Kriket Melayu

Kini Afghanistan sudah meninggalkan Malaysia jauh. Pasukan utamanya bersaing dalam sepuluh pasukan terbaik dalam Piala Dunia yang berlangsung di England sekarang. Negara itu sudah berada dalam kalangan negara-negara elit kriket dunia dan memiliki keahlian penuh dengan ICC

Pembangunan kecundang tanpa Kriket Melayu

SETELAH perang tamat,  Afghanistan mula bergiat dalam permainan kriket. Bermula dengan penyertaan dalam pertandingan peringkat usia seperti bawah 15, 17 dan 19 dalam kalendar Majlis Kriket Asia (ACC) dan Jawatankuasa Kriket Antarabangsa (ICC).

Pada peringkat awal pembabitan, persembahan negara itu sama sahaja taraf dibandingkan dengan Malaysia. Emiriah Arab Bersatu (UAE), Oman  dan Nepal juga antara negara di Asia yang memiliki tahap permainan sama.

Kini Afghanistan sudah meninggalkan Malaysia jauh. Pasukan utamanya bersaing dalam sepuluh pasukan terbaik dalam Piala Dunia yang berlangsung di England sekarang. Negara itu sudah berada dalam kalangan negara-negara elit kriket dunia dan memiliki keahlian penuh dengan ICC.

Nepal, Oman dan UAE pula ‘naik status’ sebagai negara ODI (One Day International) dalam ICC. Malaysia ketinggalan lagi teruk dalam ranking 28 dunia walaupun pernah berkedudukan ke-23 beberapa tahun dahulu.

Sejak 2002 hinggalah ke Ogos 2017 pembangunan kriket di Malaysia bergerak dengan baik sekali menerusi Pembangunan Kriket Nasional yang dikendalikan oleh Persatuan Kriket Melayu Malaysia secara menyeluruh.

Pada peringkat awal menerusi sokongan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara ketika itu, Datuk Wira Mazlan Ahmad, program dilaksanakan Kriket Melayu mendapat sokongan kerajaan tetapi tidaklah secara maksimum.

Apa pun Kriket Melayu melaksanakan program yang menumpukan kepada tiga kumpulan utama. Pertama ialah kumpulan sasar bawah 12; kemudian pembangunan peringkat menengah dan seterusnya kepada pusat prestasi tinggi.

Kriket Melayu memperoleh sokongan daripada penaja dengan pengambilan ramai jurulatih dari Sri Lanka, Bangladesh dan untuk prestasi tinggi juga tenaga dari Australia.

Di samping menganjur pertandingan-pertandingan yang tertumpu kepada kesinambungan program pembangunan; pendedahan dan penempatan antarabangsa juga dikemudi Kriket Melayu. Dari sinilah wujud banyak pendedahan dan peluang beraksi dengan pasukan yang memiliki pemain test atau antarabangsa di kalangan negara elit kriket dunia.

Antara kejohanan sebagai sokongan pembangunan Kriket Melayu paling popular ialah Cabaran Bawah 15 Antarabangsa bagi merebut Trofi Tuanku Ja’afar yang berlangsung sejak 2004 hinggalah ke tahun 2018. Di sini juga lahir ramai pemain test dari Sri Lanka, Bangladesh dan Afrika Selatan sekarang.

Pemain-pemain hebat bawah 15 negara-negara berkenaan bersaing saban tahun di Bayuemas Oval dengan Sri Lanka memenangi semua pertandingan kecuali satu berpihak kepada Bangladesh dan satu kepada Malaysia. Jelas Malaysia pun memiliki kehebatan untuk menang.

Antara pemain yang kini bergaya dalam pasukan utama negara masing-masing dan pernah bersaing dalam Cabaran Bawah 15 Antarabangsa di Bayuemas Oval ialah Sakib Al Hasan, Tamim Iqbal (Bangladesh), Lahiru Thiramane, Kusal Perera, Kusal Mendis, Thisira Perera, Angelo Mathews, Isuru Udana Thilekeratne, Sachith Pathirana (Sri Lanka), Farhan Berhadien (Afrika Selatan).

Di sinilah juga pemain-pemain Malaysia di bawah program pembangunan Kriket Melayu mengharungi pengalaman dengan barisan pemain berkualiti tinggi antarabangsa. Bagi Kriket Melayu penganjuran kejohanan mestilah di tahap tinggi dan mereka sering berbelanja besar untuk mendapatkan pulangan baik dalam program yang dikendalikan.

Menerusi kecemerlangan pemain yang disalurkan Kriket Melayu untuk mewakili pasukan kebangsaan,Malaysia berada di ranking ke-23 dan dijangka akan terus ke depan.

Apa pun dengan pelbagai masalah dikenakan kepada Kriket Melayu, persatuan ini menamatkan pembabitan pembangunan secara menyeluruh pada Ogos 2017.

Dalam mesyuarat majlisnya pada 17 Oktober 2017, Yang Dipertua Kriket Melayu, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid mengumumkan Kriket Melayu menarik diri pada semua program pembangunannya; sekali gus menamatkan projek bawah 12, menengah dan pusat prestasi tinggi. Penempatan pemain di Australia, Sri Lanka, Afrika Selatan dan di England serta Wales dihentikan terus. Tiada lagi kejohanan besar yang merupakan kesinambungan kepada pembangunan kriket.

Inilah tanggungjawab besar Kriket Melayu dalam pembangunan dan kebangkitan kriket di Malaysia; bukan pihak lain yang cuba berbohong.

Jelas tanpa gerakan pembangunan Kriket Melayu dan pengurusan cemerlang, ranking Malaysia sudah kecundang ke tangga ke-28 dan bagi pasukan perempuan lagi teruk ke kedudukan 34. Afghanistan terus ke depan manakala impian untuk mengatasi Oman, Nepal dan UAE juga terlalu jauh.

Tanpa Kriket Melayu, pembangunan kriket di Malaysia sudah tempang. Pihak berkuasa termasuk Menteri Belia dan Sukan janganlah diperangkap dengan pelbagai cerita yang tidak benar.

—BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.