DMJ: Pelantikan Latheefa Koya Bertentangan Dengan Manifesto PH, Bermotifkan Politik

DMJ: Pelantikan Latheefa Koya Bertentangan Dengan Manifesto PH, Bermotifkan Politik

4 Jun 2019

1. Dewan Muda Johor (DMJ) merujuk kepada satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri pada hari ini. mengenai pelantikan Puan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkuatkuasa 1 Jun 2019. Pelantikan ini adalah bagi mengantikan Datuk Seri Mohd Syukri Bin Abdull yang telah menamatkan kontrak lebih awal sebelum kontrak sebenar tamat pada 17 Mei 2020.

2. DMJ berpendapat bahawa pelantikan Puan Latheefa Koya ini adalah sangat tidak wajar kerana ia bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) iaitu untuk tidak akan melantik ahli politik di dalam jawatan-jawatan penting Kerajaan, lebih-lebih lagi di dalam Suruhanjaya bebas seperti SPRM.

3. Untuk pengetahuan semua, Puan Latheefa Koya pernah menyandang sebagai Penasihat Undang-Undang PKR, Ahli Jawatankuasa Pusat PKR dan sering kali menjadi peguam bela kepada pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) seperti YB Lim Guan Eng, Rafizi Ramli dan ramai lagi.

4. Pelantikan ini secara tidak langsung mengujudkan satu konflik kepentingan (“conflict of interest”) di mana beliau selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu akan mempunyai kecenderungan untuk memihak kepada ahli-ahli politik daripada parti PH dan akan bersifat tidak adil kepada musuh parti tersebut. Pelantikan ini juga boleh dilihat mempunyai motif politik untuk SPRM dibawah kepimpinan yang baharu ini untuk lebih agresif mendakwa lebih ramai ahli-ahli politik terutamanya daripada parti pembangkang hari ini kerana jika dilihat Puan Latheefa Koya sebelum ini dilihat begitu agresif menentang kerajaan terdahulu dalam isu 1MDB.

5. DMJ juga percaya bahawa di dalam organisasi SPRM sendiri mempunyai ramai calon yang lebih berwibawa untuk dijadikan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, tetapi malangnya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir ingin melantik seseorang yang diluar organisasi yang tidak tahu menahu selok belok perjalanan SPRM sebelum ini, disamping mempunyai jawatan-jawatan politik yang boleh menyebabkan integriti beliau diragui.

6. DMJ juga percaya bahawa tindakan melantik ahli politik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM ini akan meninggalkan satu precedent yang buruk (“bad precendent”) kepada pelantikan seorang Ketua Pesuruhjaya SPRM yang sepatutnya bebas dan neutral daripada sebarang fahaman politik. Secara tidak langsung pelantikan ini akan membuatkan rakyat hilang kepercayaan kepada SPRM sebagai badan pencegah rasuah yang seharusnya penuh dengan integriti dan mempunyai reputasi yang baik.

7. DMJ juga percaya bahawa mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM sebelum ini iaitu Datuk Seri Mohd Syukri Bin Abdull perlu tampil memberikan penjelasan mengenai alasan penamatan kontrak lebih awal sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM kepada pihak umum. Beliau sebelum ini terkenal rentetan daripada pendedahan beliau mengenai skandal 1MDB, SRC International Sdn Bhd dan derma RM2.6billion selepas menerima jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya pada 17 Mei 2018 sejurus perubahan kerajaan pada 9 Mei 2018. Beliau juga pernah berjanji semasa menerima jawatan tersebut untuk menyelesaikan tugasnya yang belum selesai, tetapi malangnya, bertindak menamatkan kontrak lebih awal daripada sepatutnya.

8. DMJ juga merafak sembah memohon perkenan DYMM Yang Dipertuan Agong untuk meneliti isu ini, dan memanggil menghadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir bagi membincangkan mengenai pelantikan ini kerana pelantikan ini akan memberi impak yang sangat buruk kepada imej SPRM dan negara Malaysia.

Ahmad Solehin Abd Ghani
Pengamal Undang-Undang
Koordinator Dewan Muda Johor

#DewanMudaJohor
#Muda
#ArusBaru
#KuasaPendesak

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=836591750031831&id=532010903823252
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.