Babak II Harimau Malaya, Rising Sun antara darjat dan maruah

0
2
Gambar: Pemain Timor – Leste, Osvaldo Lucas (kiri), Mouzinho De Lima dan Edit Savio ketika sesi latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil. NSTP/AZIAH AZMEE

 

Oleh KAKI BANGKU

 

SI tuan rumah mahu memperbaiki ranking dan mempengaruhi undian pusingan berikutnya manakala si tetamu tidak rela maruah negara terus tercalar teruk dalam perlawanan kedua pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022-Piala Asia 2023, malam esok.

Harimau Malaya sudah mula mencongak untung nasib dalam pusingan kedua, September ini menjelang undian bulan depan selepas ‘berkenduri Rumah Terbuka’ 7-1 di gawang Timor Leste pada Hari Raya ketiga, Jumaat lalu.’

Cukup-cukuplah diratah seperti ‘Sate Timor Leste’, begitu pula maksud jurulatihnya, Norio Tsukitate apabila kedua-dua pasukan bertemu semula di Stadium Nasional, Bukit Jalil bagi perhitungan muktamad tiket pusingan kedua itu.

“Mungkin kami kena lagi 7-1, 10-1? Saya tidak tahu tetapi masih ada satu lagi perlawanan (esok) dan ada peluang lagi yang perlu dibuat,” kata warga Jepun ini pada sidang akhbar hari ini di stadium sama.

Namun tegas Tan Cheng Hoe pula, “penting bagi kita mencapai keputusan positif dalam dua perlawanan kompetitif ini sebagai peningkat keyakinan pemain selain membantu ranking dunia kita dan undian (di Doha, Qatar).”

Jurulatih negara ini sedar, hanya keputusan seri sudah memadai untuk membawa sebelah lagi kaki Harimau Malaya ke pusingan kedua biarpun ribuan penyokong setia khususnya Ultras Malaya yang baru kembali daripada cuti Aidilfitri masih ‘laparkan’ raya gol lagi.

Tsukitate tetap percaya anak-anak buahnya mampu berprestasi lebih baik dari Jumaat lalu walaupun secara berseloroh berkata, “mahu sahaja saya hara-kiri (paksa bunuh diri dengan pedang Samurai) pemain-pemain tertentu.

“Sebenarnya kalau diikutkan mereka tidak boleh pulang ke tanah air dengan keputusan sebegini. Namun saya faham, kami masih pada peringkat membina pasukan masa depan. Walau apa pun, kami kena fokus prestasi kami, bukan kepada lawan,” katanya.

Pertemuan Malaysia-Timor Leste juga ibarat pertembungan antara darjat dan maruah namun yang menjadi tanda tanya ialah bagaimana percaturan Cheng Hoe dan lawan sejawatannya itu terutama pada kesebelasan utama mereka.

Cheng Hoe semalam mengesahkan terpaksa melupakan khidmat penyerang, Syafiq Ahmad gara-gara kecederaan ligamen lutut malah mungkin hanya perlu mempertaruhkan barisan simpanan sebagai langkah mengelak musibah itu melanda lebih ramai tonggaknya.

Dia mungkin tersepit dalam dilema sekiranya kekal dengan kesebelasan utama seperti perlawanan pertama kerana banyak pasukan negeri dan kelab menanti kepulangan tonggak tersebut apabila Liga Super dan Perdana kembali menyambung aksinya, minggu depan.

“Setiap pemain akan diberi peluang dan saya yakin sesiapa pun yang turun, akan berikan yang terbaik. Semuanya memang berkeazaman dan ‘lapar’ untuk bermain. Saya juga perlu dapatkan kestabilan dan keseimbangan dalam pasukan,” katanya yang mungkin terlepas khidmat Syazwan Zainon kerana kecederaan buku lali kanan.

Antara yang akan menganggotai barisan utama ialah Ifwat Akmal Chek Kassim, Akhyar Rashid dan Faiz Nasir yang masing-masing menyumbat satu gol, Dominic Tan, Syazwan Andik Ishak, Syamer Kutty Abba dan Irfan Zakaria sambil merehatkan Norshahrul Idlan Talaha, Mohamadou Sumareh dan Farizal Marlias.

Bagi Tsukitate, bermain secara bertahan atau dalam istilah lumrah bola sepak, ‘meletak bas sepanjang masa’ di kawasan penalti sendiri mungkin mampu dipertimbangnya dalam mencapai misi utama mereka mengurangkan kadar gawang dicerobohi Harimau Malaya.

“Walaupun amat sukar, saya tetap mahukan pasukan menyerang dan meraih gol kerana sebarang kesilapan, lawan pula yang dapat bola dan menyebabkan kami berpatah balik ke kawasan sendiri. Bertahan sahaja bukan pelan saya tetapi situasi ini normal dalam permainan,” katanya.

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here