Bilal ibn Rabah: Simbol Kesepaduan Umah

Sejarah Bilal tidak hanya berakhir dengan pengenalan azan oleh umat Islam semata-mata, tetapi dalam sejarah kini, nama ini dan kelahiran azannya, telah menjadi tarikan dunia kepelbagaian kaum dan bangsa, serta agama dan kepercayaan menjelang zaman teknologi moden dan ilmu semasa pada masa kini.

Bilal ibn Rabah: Simbol Kesepaduan Umah

 

Oleh Dr. ISMAIL IBRAHIM

 

UMAT Islam seluruh dunia, termasuk kita di Malaysia, berada di hari-hari terakhir Ramadhan tahun 1440H (2019M) menjelang minggu lepas. Banyak perkara yang menjadi amat penting di dalam bulan puasa ini, terutamanya ketika seluruh umat manusia menunggu azan. Azan yang merupakan seruan untuk umat Islam menunaikan solat lima kali sehari semalam, menjadi bertambah penting bagi bulan puasa ini, kerana dengan seruan azan inilah umat Islam berbuka puasa pada waktu maghrib, dan memulakan puasa pada waktu subuh.

Tukang azan, atau muazzin, merupakan manusia penting di mana-mana saja dalam dunia ini, kerana suaranya itulah yang dinanti-nantikan oleh semua manusia yang sedang menjalankan ibadat puasa sebulan dalam satu tahun ini.

Selain dan ungkapan azan yang amat bermakna itu, maka orang yang melaungkan azan itu juga, yang dikenali sebagai muazzin,  seharusnya sentiasa dikenali. Oleh itu muazzin pertama yang muncul pada zaman Baginda Rasulullah SAW tentulah merupakan manusia ulung pertama yang amat penting dikenali,  kerana muazzin pertama  itulah yang merupakan simbol dan manusia penting dalam sejarah Islam dan umatnya di seluruh dunia. Malah kita tidak dapat melintas kembali melihat sejarah azan tanpa mengingati dan mengenangkan kembali nama dan kemegahan peranannya, selain dari manusia yang bernama Bilal ibn Rabah.

Malah sejarah Bilal tidak hanya berakhir dengan pengenalan azan oleh umat Islam semata-mata, tetapi dalam sejarah kini, nama ini dan kelahiran azannya, telah menjadi tarikan dunia kepelbagaian kaum dan bangsa, serta agama dan kepercayaan menjelang zaman teknologi moden dan ilmu semasa pada masa kini.

Bilal bin Rabah tidak hanya merupakan tukang azan yang penting dari sudut permulaan kelahiran azan yang merupakan laungan agong untuk menunaikan solat bagi umat Islam, malah beliau juga lahir sebagai penempa sejarah penting  bagi kesatuan umat manusia,  sebagai makhluk kejadian Allah SWT, tanpa berbeza dari segi kepelbagaian warna kulit dan darjat sosialnya.

Bilal ialah seorang hamba yang dilahirkan di Makkah daripada ibu bapanya yang berasal dari Ethiopia pada tahun 580 sebelum Masihi. Beliau dibebaskan setelah memeluk agama Allah dan mulai saat itulah beliau memiliki roh pengorbanan dan keyakinan diri tentang kekuasaan Allah sehingga ketika beliau diseksa dengan amat hebat sekali, beliau tetap istiqamah dengan keimanannya, malah sentiasa mengucapkan “Ahad, Ahad” sebagai tanda kepercayaan yang kukuh terhadap Penciptanya yang maha esa.

Daripada peristiwa inilah kita tidak mungkin melupakan perjuangan dan pengorbanannya dalam sejarah Islam, yang telah membentuk legasi kesatuan umat Islam tanpa membezakan asal keturunan dan warna kulit manusia. Malah sejarah dan latar belakangnya sebagai hamba, tidak sedikit menjejaskan roh dan akalnya dalam menegakkan kebenaran agama Allah.

Ketika Rasulullah SAW mendengar tentang cabaran hidup Bilal yang amat sengit dan sukar, semasa menjadi hamba, maka Baginda segera mengutuskan Sayyidana Abu Bakar menemui Bilal,  yang segera bertindak membeli dan memerdekakannya dari tuannya. Kebebasannya adalah merupakan kebebasan yang pertama untuk nya sebagai anugerah dari Islam, malah telah menjadi seorang manusia yang amat dipercayai oleh Baginda Rasulullah SAW, dan Bilal merupakan di antara sebilangan kecil manusia yang telah menganut agama Islam ketika itu.

Ketika Baginda Rasulullah SAW buat pertama kalinya mengisytiharkan kesamarataan umat Islam dalam dunia ini, iaitu kira-kira 1,400 tahun yang lalu, dalam musim Haji, di hadapan kira-kira 1,200 orang para sahabatnya,  Baginda dengan tegasnya mengisytiharkan : “Wahai manusia semua, Tuhan kamu hanya satu, dan kamu semua berasal daripada bapa yang satu, Adam.”

“Sesungguhnya, tidak ada kelebihan bagi Arab di atas bukan Arab, atau bukan Arab di atas Arab, atau manusia yang berkulit putih di atas yang berkulit hitam, malah yang berkulit hitam di atas yang berkulit putih,  kecuali  dengan sifat takwa”

Baginda memilih Bilal sebagi sahabat istimewanya, dan kehadiran Bilal di dalam hayat Baginda Rasulullah merupakan satu tanda pluralisme keturunan umat Islam dan kesamarataan etnik umat Islam sendiri. Bilal dengan itu merupakan simbol kesepaduan Arab Afrika yang berbeza asal keturunan dan geografinya, malah beliau turut terlibat di dalam peperangan membela Islam, termasuk peperangan Badar yang berlaku di dalam tahun 630.

Satu penghormatan utama yang diberikan oleh Baginda Rasulullah SAW kepada Bilal, ialah perhatian Baginda kepadanya dalam peristiwa pembukaan Makkah pada tahun 8 Hijrah ketika bandar suci ini dikelilingi oleh para pembesar Islam dan bukan Islam, lalu Baginda meminta Bilal supaya memanjat ke atas bumbung Kaabah dan menyuarakan azan. Mengikut catatan sejarah, inilah azan pertama yang di suarakan oleh Bilal di Makkah Mukarramah yang bersejarah itu.

Inilah sebenarnya kepentingan Azan dan Muazzin dalam Islam jika dipandang dari sudut legasi azan dan muazzinnya, iaitu yang melambangkan kesatuan Islam dalam kepelbagaian, bangsa dan keturunan, daerah dan negara, malah dari perutusan suara azan itu sendiri yang melambangkan kepentingan ibadat utama iaitu solat, perlumbaan untuk kejayaan, tanda keagongan Allah dan kebesaran-Nya, yang seharusnya merupakan satu legasi kesatunan dan kekuatan rohani dan jasmani umat Islam itu sendiri.

Kecemerlangan mesej Islam inilah yang seharusnya difahami dan dilaksanakan dalam kalangan umat Islam dalam diri sendiri dan perhubungannya dengan alam semesta, dan keagongan azan inilah yang mendorongkan umat untuk membangun dan bersepadu dalam kesatuan umat sebagai penyumbang kepada kemanusiaan seluruhnya.

Sesungguhnya azan merupakan titik sejarah yang penting dan utama, dan sempena bulan puasa juga, azan merupakan suara Islam yang terbaik kepada umat Islam yang sedang berjuang dengan bersungguh-sungguh melawan nafsunya dalam jangka masa yang ditentukan, sebagai lambang Islam yang paling bermakna sekali.

Tetapi dalam jangka panjangnya yang lebih bermakna, azan banyak sekali memberikan inspirasi perjuangan dan kedudukan umat Islam dalam semua sudut kehidupannya, dan merupakan laungan kesatuan umat dalam perjuangannya yang luas dan menyeluruh.

—BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.