Kita berpuasa sebulan, beraya pun sebulan

Ada juga dalam kalangan kita yang makan atau minum tanpa had mengikut hawa nafsu ketika menghadapi hidangan juadah lazat semasa majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri kononnya sebagai 'membalas dendam' berlapar dan dahaga pada bulan Ramadan lalu.

Kita berpuasa sebulan, beraya pun sebulan

BERSYUKUR kita ke hadrat Allah SWT kerana umat Islam di Malaysia telah selamat mengakhiri ibadat puasa wajib sepanjang bulan Ramadan, kemudian menyambut pula Hari Raya Aidilfitri dengan penuh kegembiraan pada 1 Syawal 1440 (H) bersamaan hari Rabu 5 Jun 2019 lalu.

Justeru kebanyakan khutbah oleh khatib selepas sembahyang sunat dua rakaat pada pagi Hari Raya Aidilfitri itu menyebut bahawa dalam bulan Ramadan kita ‘berjuang’ dengan ibadat puasa.

Manakala pada bulan Syawal pula kita menyambut ‘hari kemenangan’ selepas berjaya melepasi ujian ibadat puasa bulan Ramadan terutama ketika menahan lapar dan dahaga serta menjauhi setiap perkara yang boleh membatalkan puasa pada siang hari.

Secara ringkasnya dapatlah dibuat kesimpulan bahawa Ramadan adalah ‘bulan perjuangan’ dan 1 Syawal pula gembira menyambut ‘hari kemenangan’ dengan penuh rasa syukur serta bermakna bagi setiap umat Islam yang khusuk dalam menunaikan ibadat puasa serta tidak ketinggalan solat wajib lima waktu.

Namun demikian ada juga dalam kalangan kita yang makan atau minum tanpa had mengikut hawa nafsu ketika menghadapi hidangan juadah lazat semasa majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri kononnya sebagai ‘membalas dendam’ berlapar dan dahaga pada bulan Ramadan lalu.

Apatah lagi bagi negara Malaysia yang aman dan makmur ini dikurniakan oleh Allah SWT dengan limpahan rezeki sehingga ke tahap ‘kita berpuasa sebulan dan beraya pun sebulan’ juga.

Tidaklah pula menjadi kesalahan dalam hukum syarak untuk menjadikan budaya beraya sebulan selepas sebulan berpuasa itu, namun berpada-padalah jangan berlebihan makan dan minum demi menjaga kesihatan yang lebih tinggi nilainya dalam kehidupan setiap individu.

Ada harta menimbun pun sudah tidak memberi sebarang makna lagi apabila kesihatan terjejas teruk, apatah lagi jika lama terlantar di katil atau berkerusi roda dan paling menakutkan tatkala kaki menjadi kudung kerana terpaksa dipotong oleh doktor akibat berkudis penyakit ‘kencing manis’ bagi mengelakkan jangkitan kuman ke bahagian lain tubuh.

Mungkin hari ini kesan daripada makan dan minum berlebihan itu tidak nampak atau dirasakan oleh mana-mana individu, sebaliknya ia mungkin akan dideritai untuk tempoh jangka panjang, terutama bagi mereka yang ‘malas’ bersenam bagi melancarkan perjalanan darah dalam tubuh, selain mengeluarkan sisa toksin beracun menerusi peluh.

Ini kerana dalam kebanyakan makanan serta minuman itu adalah manis diperbuat daripada campuran gula, selain makanan mengandungi banyak lemak berasaskan santan kelapa, majerin dan lemak asli pada daging, malah ada kalanya masakan tersebut berlebihan garam.

Mengikut kajian klinikal, makanan dan minuman terlalu manis sering dikaitkan memberi akibat dalam tempoh jangka panjang yang boleh menyebabkan penyakit kencing manis atau disebut juga sebagai ‘diabetes mellitus’ mengikut istilah perubatan.

Manakala memakan terlalu banyak kandungan lemak penghasil kolesterol boleh mengakibatkan gangguan sistem kardiovaskular menjurus kepada serangan penyakit jantung, jika tidak segera dirawat atau menjalani pembedahan dan pada kebiasaannya akan berakhir dengan kematian.

Apa kaitannya lemak dengan penyakit jantung? Sebenarnya kesan jangka panjang memakan makanan berlemak akan mengakibatkan saluran atau pembuluh darah ke jantung ‘tersumbat’ oleh mendapan kolesterol (aliran lemak dalam sel darah) sekali gus menyebabkan mangsa yang memerlukan oksigen sukar untuk bernafas dan berasa amat sakit pada organ jantung di bahagian dalam dada.

Selain itu jika memakan makanan, terutama masakan yang berlebihan garam (sodium) juga akan menyebabkan individu itu terdedah kepada penyakit tekanan ‘darah tinggi’ (hipertensi) yang amat ditakuti kerana ada kalanya ia menyerang secara mengejut dan mangsa hanya mengetahui dirinya mengalami penyakit tersebut setelah menjalani ujian darah di klinik atau hospital.

Bayangkanlah betapa banyaknya ‘kalori’ berlebihan daripada sumber makanan serta minuman mengandungi rasa manis, masin dan berlemak itu terhimpun masuk ke dalam setiap tubuh individu dalam tempoh sebulan menyambut Hari Raya Aidilfitri pastinya menjadi ‘pemangkin’ kepada penyakit tiga serangkai yang disebutkan tadi.

Kadang-kadang ada dalam kalangan individu yang sampai dua hingga tiga kali menghadiri ke majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri tanpa mengira siang atau malam dan ini tidak termasuk sesi kunjungan dari rumah ke rumah sanak saudara, jiran mahupun rakan-rakan.

Sebenarnya dalam artikel kali ini, penulis mengutarakan pesanan dalam aspek penjagaan kesihatan itu adalah bersesuaian dengan peringatan Allah SWT supaya setiap hamba-Nya yang beragama Islam supaya saling mengingati, nasihat menasihati kepada sesama mereka agar tidak lalai dengan kemewahan menjurus kepada pelbagai aspek kehidupan dan beragama.

Firman Allah SWT menerusi wahyu yang diturunkan di Mekah bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh serta berpesan-pesan (nasihat menasihati) dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.” (Al-Quran surah Al-‘Ashr ayat 1-3).

Petikan al-Quran surah Al-‘Ashr bermaksud ‘Masa’ itu amat terkenal di bibir mulut ulamak, khatib, guru atau pendakwah ketika mereka menyeru ke jalan kebaikan kepada setiap umat Islam agar jangan keterlaluan atau lalai dalam menjalani kehidupan harian.

Dalam buku teks Pendidikan Islam peringkat sekolah menengah, ayat suci al-Quran surah Al-‘Ashr itu pernah di senarai untuk ulang kaji persediaan menjawab soalan bagi kertas subjek tersebut dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Jadi,  tidak ada sebab bagi setiap umat Islam di negara kita melupai ajaran agama berdasarkan firman Allah SWT kerana pegangan tersebut telah disemai menerusi pendidikan sejak di bangku sekolah untuk menghafal pengertian surah Al-‘Ashr sebagai pedoman hidup seharian.

Seniman Agung Allahyarham Tan Sri Dr. P. Ramlee juga semasa hayatnya pernah menyatakan perkara yang mengandungi elemen memberi pesanan kepada  masyarakat berkaitan dengan pemakanan.

Ketika mengunjungi rumah rakannya di Klang, Selangor dalam tahun 1970-an, P. Ramlee pernah berkata: “Rakyat Malaysia ramai yang mati bukan kerana tak cukup makan, tapi mati akibat berlebihan makan.”

Bunyi pengucapan P. Ramlee itu memang bernada jenaka bercampur sinis, tetapi ia mempunyai fakta jika dihuraikan akan maksud tersurat dan tersirat yang patut dijadikan renungan serta pengajaran.

Kebetulan memperkatakan mengenai P. Ramlee ini, penulis ingin mengaitkan kisah istimewa mengenai kerinduan para peminat terhadap seniman agung itu yang kini sedikit sebanyak telah terubat.

Betapa tidak, kerana ia adalah berikutan dengan kemunculan seorang artis baharu yang dikenali sebagai ‘P. Ramlee Sabah’ atau nama sebenarnya Fairuz Misran, berusia 34 tahun itu semakin popular berikutan banyak lagu-lagu nyanyiannya viral dalam YouTube sejak tahun 2012.

Lagu popular terbaharu nyanyian ‘P. Ramlee Sabah’ itu berupa rakaman pertamanya dalam tahun 2019 berjudul ‘Indahnya Raya’ menyanyi dengan suara dan aksi mirip P. Ramlee begitu popular dalam YouTube telah ditonton serta didengari oleh ratusan ribu penggemarnya dari dalam mahupun luar negara.

Justeru menerusi ruangan ini jangan lupa dalam keluaran akan datang, insya-Allah penulis akan menyorot secara khusus mengenai riwayat hidup serta kerjaya  ‘P. Ramlee Sabah’ dan mengapa kemunculannya dapat diterima dengan baik oleh majoriti para peminat sehingga ada yang menyifatkannya sebagai satu ‘jelmaan semula P. Ramlee’ untuk dikenang masyarakat sepanjang zaman.

–BebasNews

 

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.