Selepas Palembang, kini Jakarta pun ada LRT

Selepas Palembang, kini Jakarta pun ada LRT

 

Oleh AMREE AHMAD

 

JAKARTA – Setelah dua bulan pelancaran Mass Rapid Transit (MRT) atau disebut dalam bahasa Indonesia sebagai Moda Raya Terpadu, kini Jakarta ‘bangga’ memiliki Light Rail Transit (LRT) setanding dengan ibu kota negara jirannya.

Dirujuk sebagai Lintas Rel Terpadu dalam bahasa Indonesia, sistem tren ringan ini bakal jalani percubaan bermula 11 Jun ini dengan jutaan warga kota Jakarta diberi peluang sertai percubaan LRTJ tersebut tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Pihak pengelola projek mega tersebut, PT LRTJ menerusi kenyataan media berkata, mereka yang berminat hanya perlu mendaftarkan diri dengan isi data bagi dapat tempahan tiket masing-masing daripada laman rasmi operator berkenaan.

LRTJ hanya buat perhentian di lima stesen berbeza – Boulevard Utara, Boulevard Selatan, Stasiun Pulomas, Stasiun Equestrian, dan Stasiun Velodrome. Operasi pula bermula 5.30 pagi hingga 11 malam setiap hari, dengan kekerapan 10 minit.

“Tujuannya adalah untuk buat masyarakat biasa dengan teknologi pengangkutan baharu ini,” kata Pengurus Perhubungan Korporat PT LRTJ, Melisa Sucianti. Apabila beroperasi penuh kelak, kadar frekuensi pada waktu puncak ditetapkan lima minit.

Beliau menambah dengan adanya kesempatan ujian awam tersebut, pengguna nanti akan dapat jaga kemudahan bersama selain membudayakan tata tertib dan toleransi sesama penumpang sebagai mana amalan penduduk di negara maju.

Melisa turut memaklumkan bahawa stesen LRTJ turut menempatkan fasiliti perniagaan seperti gerai makanan, busana, dan lain-lain. Jajaran fasa pertama itu sejauh 5.8 kilometer manakala fasa kedua melibatkan jarak 11.8 kilometer.

Jakarta ialah bandar raya kedua di Indonesia dilengkapi LRT selepas Palembang yang dibuka pada 1 Ogos 2018 sempena Sukan Asia di ibu kota wilayah Sumatera Selatan itu dengan mengandungi 13 stesen dan jarak 24.5 kilometer.

Namun berbeza LRT Palembang yang set gerabaknya dihasilkan sendiri syarikat tempatan, PT Industri Kereta Api dengan kelajuan 80 kilometer sejam (kmj), koc LRTJ pula dibuat firma Korea Selatan, Hyundai Rotem dengan kelajuan 60 kmj.

Pemerintah Indonesia berharap menerusi pelancaran LRTJ yang jadi pelengkap sokongan kepada MRT, masalah kesesakan trafik teruk di pusat bandar raya itu dapat diatasi selain bendung isu pencemaran karbon di udara. – Agensi/HAA

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.