Wang kertas khas S$20 sempena 200 tahun sejarah Singapura

Wang kertas itu mencerminkan budaya Singapura yang kaya dan pelbagai. Potret presiden pertama Singapura, Yusof Ishak, dipaparkan di bahagian bersebelahan dengan bangunan bekas Mahkamah Agung dan Dewan Bandaraya.

Wang kertas khas S$20 sempena 200 tahun sejarah Singapura

 

Oleh AMREE AHMAD

 

SINGAPURA – Presiden Halimah Yacob melancarkan wang kertas baharu S$20 bagi peringati genap 200 tahun sejarah negara Singapura yang dibuka oleh penjelajah Inggeris, Sir Thomas Stamford Bingley Raffles pada 29 Januari 1819.

Menurut laporan stesen penyiaran milik pemerintah, Channel NewsAsia, denominasi terkini itu dilancarkan pada Hari Raya Aidilfitri lalu namun sebanyak dua juta keping wang tersebut mula diedarkan kepada orang awam mulai 10 Jun.

Ia direka oleh dua artis tempatan iaitu Eng Siak Loy dan Weng Ziyan, memaparkan perjalanan Singapura menuju kemerdekaan dan turut beri penghormatan kepada generasi awal yang membangunkan asas bagi Singapura moden.

Wang kertas itu mencerminkan budaya Singapura yang kaya dan pelbagai. Potret presiden pertama Singapura, Yusof Ishak, dipaparkan di bahagian bersebelahan dengan bangunan bekas Mahkamah Agung dan Dewan Bandaraya.

Dua monumen negara itu yang kini dijadikan Galeri Nasional Singapura, menyaksikan banyak acara penting dalam sejarah republik ini termasuk upacara angkat sumpah pemerintah pada 1963 dan perbarisan hari kebangsaan pertama pada 1966.

Bahagian belakang wang kertas itu menampilkan lapan individu yang buat sumbangan besar terhadap pembangunan Singapura dalam pelbagai bidang seperti pendidikan dan pertahanan. Mereka dipaparkan berlatar belakang Sungai Singapura.

Sungai itu merupakan pusat pembangunan Singapura sebagai pelabuhan perdagangan dan kemudian berubah kepada hab perniagaan dan kewangan. Antara tokoh ditampilkan ialah Munshi Abdullah dikenali ramai sebagai “Bapa Sastera Melayu Moden”.

Beliau juga ajar Raffles fasih bahasa itu, manakala Henry Nicholas Ridley ialah pengarah pertama Taman Botani Singapura dan diiktiraf kerana bangun ladang getah di Singapura pada masa perusahaan getah maju begitu pesat pada awal 1900-an.

Wang ini boleh diperoleh di DBS Bank/POSB, Oversea-Chinese Banking Corporation, United Overseas Bank, Bank of China, Citibank Singapore, Industrial and Commercial Bank of China, Maybank, Standard Chartered dan Hongkong and Shanghai Bank.

Setiap orang dibenarkan tukar sehingga 20 keping bagi setiap urus niaga, dan ia dimasukkan ke dalam sampul direka khas. Sebanyak 5,000 set edisi terhad dengan terdiri daripada satu kepingan tiga wang kertas S$20 yang bersambung juga dijual. – Agensi/HAA

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.