Dua NGO buat laporan SPRM terhadap aktiviti perlombongan di Kuala Koh

Dua NGO buat laporan SPRM terhadap aktiviti perlombongan di Kuala Koh
Gambar: Tiada papan tanda nama pelombong dipamerkan di kawasan lombong bijih yang beroperasi tanpa lesen dan didapati terdapat beberapa jentera berat masih berada di tapak berkenaan yang terletak berdekatan dengan penempatan Orang Asli Kuala Koh. NSTP/IHSAN PEJABAT DATUK HUSAM MUSA.

 

 

TEMERLOH– Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Orang Asli membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan isu perlombongan tidak berlesen di Kampung Orang Asli Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan.

Laporan dibuat Penyelaras Pertubuhan Jaringan Kampung Orang Asli Pahang, Shafie Dris dan Pengerusi Pertubuhan Rangkaian Pembangunan Kesinambungan Malaysia, Muhammad Sha’ani Abdullah di pejabat SPRM Temerloh, di sini, hari ini.

Shafie berkata, pihaknya meminta SPRM segera melakukan siasatan terhadap agensi berkaitan yang bertanggung jawab memantau aktiviti perlombongan di kawasan berkenaan.

“Insiden yang berlaku di Kuala Koh sangat mengejutkan dan jumlah kematian yang dikatakan mencecah 14 orang tidak boleh dibiarkan tanpa pembelaan.

“Kami percaya ada perkara yang tidak kena di sana (Kuala Koh), dengan pencemaran sumber air dipercayai akibat aktiviti melombong dan pembalakan, sudah pasti ada pihak yang mempunyai kuasa untuk meluluskan aktiviti itu.

Pengerusi Pertubuhan Rangkaian Pembangunan Berkesinambungan Malaysia, Muhammad Sha’ani Abdullah (kiri) dan Penyelaras Jaringan Kampung Orang Asli Pahang, Shafie Dris (tengah) membuat laporan SPRM tentang aktiviti perlombongan tidak sah di Kampung Orang Asli Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan. STR/ROSELAN AB MALEK.

“Jadi, kita minta SPRM siasat dengan telus perkara ini supaya mereka yang bertanggung jawab dapat menerima hukuman setimpal,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Sha’ani berkatam pihaknya sudah mendengar pelbagai aduan daripada masyarakat Orang Asli sebelum ini, termasuk isu perlombongan di sekitar Tasik Chini, dekat Pekan.

“Isu seumpama ini sudah berlarutan sekian lama, namun kita tidak nampak penghujungnya (penyelesaian). Bukan sahaja di Kuala Koh, Gua Musang atau di sekitar Tasik Chini sahaja, boleh dikatakan hampir semua kawasan penempatan Orang Asli berdepan ancaman seperti (aktiviti) pembalakan tidak terkawal atau perlombongan secara haram.

“Sepatutnya agensi yang diberikan amanah menjaga sumber alam ini melakukan tugas dengan baik kerana kita bimbang, masalah seumpama ini tidak akan selesai selagi ada pihak tidak bertanggung jawab mengambil kesempatan,” katanya.

Beliau berkata, pemantauan perlu dilakukan dari sekarang di semua kawasan perkampungan Orang Asli bagi memastikan insiden seperti di Kuala Koh, tidak berulang.

-Berita Harian
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.