10 tahun tidak guna Sungai Aring sebab tercemar

Difahamkan keadaan itu berlaku disebabkan kewujudan tujuh aktiviti perlombongan bijih Manganese atau keluli yang dijalankan syarikat berlainan di kawasan Aring 5.

 10 tahun tidak guna Sungai Aring sebab tercemar
Gambar: Pemeriksaan yang dijalankan oleh pasukan Unit Bahan Berbahaya Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (HAZMAT) menggunakan peralatan khas untuk mengesan sebarang bahan kimia merbahaya termasuk mengambil sampel air kawasan bekas tapak lombong, air tandak dan air kawasan Aring 10 di beberapa kawasan sekitar Kuala Koh, Gua Musang. NSTP/IHSAN JBPM KELANTAN

 

 

GUA MUSANG — Selepas anak Sungai Lebir yang menjadi kegunaan utama penduduk Orang Asli suku Betek di Kuala Koh, di sini dikatakan tercemar, keadaan sama turut berlaku di Sungai Aring yang tidak jauh dari kampung itu.

Berikutan itu, lebih 100 penduduk Kampung Mutiara, Aring 2, yang sebelum ini menggunakan Sungai Aring sebagai sumber air utama, terpaksa mengharapkan bekalan dari tadahan bukit sejak 10 tahun lalu.

Difahamkan keadaan itu berlaku disebabkan kewujudan tujuh aktiviti perlombongan bijih Manganese atau keluli yang dijalankan syarikat berlainan di kawasan Aring 5.

Tinjauan yang dilakukan mendapati satu laluan sungai kecil berwarna kehitaman serta berbau busuk memasuki Sungai Aring.

Seorang penduduk, Azura Jusoh, 34, mendakwa, penduduk di situ sudah tidak berani menggunakan air sungai berkenaan selepas mendapati berbau busuk dan kotor sehingga menyebabkan banyak ikan mati.

“Kalau dulunya kami bergantung sepenuhnya Sungai Aring untuk kegunaan minuman, makanan dan mandi, namun kini terpaksa beralih kepada air tadahan bukit.

“Memang kotor dan berkeladak sehingga sesiapa yang mandi akan rasa gatal. Dulu kami pernah membuat aduan sehinggalah pihak berkenaan menyediakan air tadahan bukit sebagai ganti.

“Walaupun air tadahan bukit berisiko kerana dikhuatiri dijangkiti kencing tikus, namun kami terpaksa bergantung sepenuhnya untuk kegunaan harian,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Mat’ In, 66, yang tinggal di kampung itu sejak 30 tahun lalu berkata, sebelum ini Sungai Aring cukup bersih dan jernih sehingga mereka menggunakan air sungai sebagai minuman.

Katanya, ketika itu, mereka menggunakan sistem generator untuk menyedut air sungai terus ke kawasan rumah mereka.

“Kami selaku penduduk tempatan kesal apabila sungai yang sepatutnya kita jaga tercemar.

“Kami juga kecewa apabila tiada usaha daripada pihak berwajib untuk memulihkan kualiti air sungai,” katanya.

-NSTP

 

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.