Tinggi rendah Harimau Malaya di Asia terjawab Julai ini

Tinggi rendah Harimau Malaya di Asia terjawab Julai ini
Gambar atas: PENYERANG remaja negara, Akhyar Rashid (19) melepaskan rembatan deras untuk gol keempat Harimau Malaya ketika menentang Timor Leste dalam perlawanan kedua pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022-Piala Asia 2023. Malaysia menang lagi 5-1. – Foto FAM

 

Oleh KAKI BANGKU

 

UJIAN sebenar untuk Harimau Malaya mengetahui sama ada ‘tinggi atau rendahnya langit bola sepak Asia’ menggamitnya apabila majlis undian pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022-Piala Asia 2023 berlangsung di Doha, Qatar pada 17 Julai ini.

Sesudah terus meratah Timor Leste 5-1 semalam  atau secara agregat 12-2, skuad Tan Cheng Hoe bakal berentap dengan empat lawan  yang jauh lebih tinggi rankingnya daripada Rising Sun secara liga berkumpulan timbal balik.

Malaysia beraya gol 7-1 pada Hari Raya Aidilfitri ketiga juga di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jumaat lalu yang bakal meninggikan ranking dunianya dari ke-168 sekarang sekali gus mampu mempengaruhi kedudukan undian pusingan kedua itu.

Hanya juara kumpulan dan empat naib juara terbaik daripada lapan kumpulan pusingan itu yang akan mara ke pusingan akhir Piala Asia dan terus memburu empat setengah tiket Piala Dunia – satu misi yang bersejarah besar jika berjaya dicapai skuad negara.

Saingannya akan berlangsung dari 5 September hingga 9 Jun 2020 dan andai kata tersasar pada peringkat ini, kita boleh melupakan Piala Dunia lebih awal namun perlu melalui play-off dan pusingan ketiga untuk ke Piala Asia edisi ke-18 di China.

Perhitungan di atas kertas mungkin tidak menyebelahi kita jika diundi sekumpulan dengan Bahrain, Jepun, China, Korea Utara, Korea Selatan, Iran, Iraq, Kuwait, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Uzbekistan serta Qatar  yang antaranya pernah mara ke Piala Dunia mahupun bergelar juara Piala Asia.

Kelayakan Piala Dunia 2018-Piala Asia 2019 edisi lalu, menyerlahkan betapa rendahnya taraf Harimau Malaya apabila kalah kepada Arab Saudi, UAE dan Palestin dalam Kumpulan A dan  hanya mampu meraih tiga mata terhadap Timor Leste.

HANYA 12,776 penyokong Harimau Malaya yang tetap setia hadir menyokong di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam namun masih banyak kerusi kosong di venue berkapasiti 90,000 orang ini. – Foto FAM

Turut tercatat dalam kelayakan itu sebagai bencana terburuk bola sepak negara ialah apabila Harimau Malaya pula diratah UAE 10-0 di Abu Dhabi sehingga memaksa Dollah Salleh meletak jawatan sebagai ketua jurulatihnya dan digantikan oleh Datuk Ong Kim Swee pada September 2015.

Kesilapan sana-sini masih terpapar pada prestasi Harimau Malaya antaranya sepakan penalti Shahrel Fikri Fauzi dan Safawi Rasid yang sempat ditampan penjaga gol Timor Leste, kelalaian benteng mengekang gol-gol lawan dan sikap negatif seperti cepat selesa dan mudah hilang fokus.

Sejauh mana Cheng Hoe boleh berharapkan khidmat penjaga gol kedua, Ifwat Akmal Chek Kassim sekiranya ada kejadian luar dugaan menimpa Farizal Marlias, berjaya dijawab dengan aksi meyakinkan pemain Kedah itu walaupun dia tertewas dengan sepakan penalti lawan.

Sambutan dingin penyokong-penyokong Harimau Malaya di Stadium Nasional wajar mengusarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memandangkan kedua-dua perlawanan yang berlangsung sepanjang minggu pertama Aidilfitri itu sekadar menarik kehadiran 4,244 dan 12,776 orang

Angka ini masih jauh lebih rendah sedangkan muatan venue ini mampu mencapai 90,000 orang dalam sesuatu masa seperti mana yang pernah dibuktikan oleh skuad Cheng Hoe ketika muncul naib juara Piala AFF 2018, Disember lalu.

Penyokong-penyokong bagaikan tidak lagi ‘ghairah’ dengan perlawanan semalam kerana sebelah kaki Harimau Malaya seperti telah menjejak pusingan kedua dengan modal selesa 7-1 sedangkan FAM menawarkan kempen ‘Promosi Beli 1 Percuma 1’ tiket kedua-dua perlawanan itu.

 

FAKTA

  • MALAYSIA tidak pernah layak ke pusingan akhir Piala Dunia sejak menjadi ahli gabungan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada tahun 1956 dan menyertai Kelayakan Piala Dunia mulai tahun 1973.
  • MALAYSIA hanya pernah mara ke pusingan akhir Piala Asia sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1976 di Iran dan tahun 1980 di Kuwait.
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.