Rafidah Aziz “calon” Perdana Menteri Malaysia?

Semalam seorang kenalan lama menghubungi saya. Kami berborak. Beliau ialah Ummi Hafilda Mohd Ali. Kebetulan adik kepada Azmin Ali. Saya bertanya siapa yang bakal menggantikan Tun Mahathir. Secara kilat beliau menjawab (bukan abangnyalah), tetapi seorang wanita.

Rafidah Aziz “calon” Perdana Menteri Malaysia?

SAYA masih ingat menulis mengenai peralihan kuasa dua tokoh wanita dalam Pergerakan Wanita UMNO pada 2008.

Ketika itu Shahrizat Jalil dijangka mengambil alih jawatan ketua pergerakan itu daripada Rafidah Aziz.

Maka tajuk yang saya berikan dalam analisis itu ialah Antara ‘senyum plastik’ Rafidah dan Shahrizat.

Sehingga hari ini jika Rafidah berjumpa saya dia pasti akan teringatkan tulisan itu dan kisah itu. Begitu juga Shahrizat.

Kisahnya mengenai pelan peralihan kuasa oleh Rafidah kepada Shahrizat yang sepatutnya pada Jun 2008 tetapi, Rafidah mahu ia dilakukan pada Mac 2009.

Maka para pengikut Shahrizat naik berang. Saya menulis analisis itu, setelah berlaku satu mesyuarat Wanita UMNO yang kemudian memperlihatkan Shahrizat (atas lebih mesra dipanggil Ijat di kalangan Wanita) ‘dipaksa dan terpaksa’ bersetuju dengan pelan peralihan kuasa Jun 2009, inisiatif Rafidah itu.

Utusan Malaysia memakai gambar muka 1 Rafidah dan Shahrizat berjabat tangan kononnya “berdamai”.

Selaku Pengarang Utusan Malaysia (pada ketika itu), saya adalah orang terakhir yang meneliti muka surat itu sebelum mengarahkannya ‘ditembak’ untuk proses percetakan. Semasa meneliti muka surat 1 itu yang masih dalam bentuk ‘dummy’, seorang rakan yang melihat betapa seriusnya saya membelek muka surat itu, menyapa.

“Macam senyum plastik saja!” katanya selamba sambil menuding jari ke arah gambar Rafidah Aziz (atau lebih mesra dipanggil Kak Dah di kalangan Wanita).

Mungkin kerana terlalu dibuai dengan interpretasi berita ‘menarik’ itu, saya tersentak dengan kata-kata tersebut dan terus melihat ke arah muka rakan saya itu. Lalu saya pun menyampuk, “bukan senyum Rafidah saja, senyum Shahrizat pun plastik jugak, cuba tengok juga cara Shahrizat hulur tangan” Kedua-dua kami ketawa.

Itulah yang membuatkan saya menulis analisis mengenai kisah itu.

Kini selepas 11 tahun berlalu, pusingan politik tanah air telah berubah. Kerajaan pimpinan UMNO telah jatuh. Kerajaan BN tumbang setelah memerintah lebih 60 tahun.

Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi PM semula. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ini secara hakikatnya menang atas faktor Dr. Mahathir. Dan kerana penolakan secara total ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kemenangan itu, waima atas faktor-faktor 1MDB, atau soal rasuah, klaptokrasi atas apa sekali pun; adalah disebabkan rakyat mahukan Tun kembali semula menjadi PM.

Ia bukan kerana faktor Kit Siang, Guan Eng, Mat Sabu waima Anwar Ibrahim, tetapi kerana Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad dan serangannya ke atas Najib.

Rakyat turut bersimpati dengan “orang tua” itu setelah diserang bertubi-tubi oleh media arus perdana, yang tidak perlulah saya sebut di sini. Ia sudah menjadi sejarah. Bak kata pepatah senjata makan tuan.

Kini Tun telah menyatakan dari awal-awal lagi pelan peralihan kuasanya — sama seperti kes Rafidah dan Shahrizat dulu.

Tun kata bagi dia dua tahun, sebelum nama Anwar disebut sebagai penggantinya. Ada yang menuang minyak mengatakan Tun akan berada di situ selama-lamanya.

Yang pasti hanya Tun sahaja yang tahu bila tarikh keramat itu.

Ada juga yang meramalkan sebaik sahaja Tun turun sahaja daripada kerusinya maka, orang-orangnya juga akan disingkir keluar.  Pegawai-pegawainya toksah cakaplah, sehinggakan, nama yang disebut termasuklah anaknya sendiri, Mukhriz selaku MB Kedah dan Tun Daim.

Tidak pasti siapa yang mula mengadu-domba teori-teori itu. Entahlah sejauh mana kebenarannya?

Mungkin juga, oleh sebab itulah situasi “under-current” cukup kuat sekali. Arus bawah laut itu cukup ganas.

Sehinggakan benda-benda yang tidak terfikir terkeluar semula. Kisah lama-lama Anwar dilondehkan semula. Angkara siapakah itu?

Sebaliknya, di sebelah Anwar pun sama. Under-currentnya juga cukup garang. Sehinggakah Setiausaha Politik Tun Mahathir, Zahid Md. Arip naik berang sebelum raya lepas.

Beliau tampil dengan kenyataan keras melabelkan Datuk Johari Abdul dan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, yang sering mendesak agar Dr. Mahathir menetapkan tarikh bila penyerahan jawatan kepada Anwar akan dibuat, seperti “anjing sedang menyalak”.

Ia dilihat sebagai kenyataan paling keras daripada pemimpin Bersatu sejak polemik bila tarikh sebenar Dr. Mahathir akan menyerahkan jawatannya kepada Anwar dimainkan oleh puak-puak Anwar walaupun Tun sudah berulang kali memberitahu beliau berpegang pada janji.

“Kita hidup dalam satu taman, hidup berjiran. Rumah jiran ada bela anjing dan anjing ini pula berpenyakit iaitu penyakit kalah bertanding di peringkat cabang dan dia mula perasan yang tuan dia mula menyampah dekat dia. Jadi dia menyalaklah untuk tarik perhatian dan ini bukan salakan pertama.

“Ini sebenarnya plot untuk beri tekanan kepada Tun Mahathir dan plot ini takkan berhenti di sini, akan diulang untuk beri tekanan yang kemuncak.

“Orang lain tidak boleh tenangkan anjing-anjing ini, hanya tuan dia saja boleh, jadi kita harap tuan dia bersuara, jangan ada sifat baling batu sembunyi tangan,” katanya dalam satu rakaman video.

Zahid kata ia adalah plot. Maka, kalau plot ia adalah satu perancangan — perancangan jahat politiklah.

Dalam teori under-current itu nama Azmin Ali turut disebut. Konon kata Tun Mahathir berminat dengan Azmin sebagai penggantinya.

Tidak pasti juga siapa yang menjadi pengadu-domba nama Azmin itu. Azmin pun nampaknya syoklah juga apabila namanya disebut-sebut.

Saya mengenali Azmin semasa dia menjadi Pegawai Khas Timbalan Perdana Menteri Anwar.

Dulu jadi pegawai Anwar. Azmin bintangnya cerah dalam politik, kemudian menjadi MB Selangor dan sekarang menteri kanan. Hubungan Azmin-Anwar pasang surut dan dingin.

Sekarang ada yang kata Azmin merasakan dialah bakal PM Malaysia. Puak-puak Anwar cukup bengang. Pelan peralihan itu perlu dipercepatkan.

Oleh itu, mungkin juga nama Azmin perlu “dicemarkan”. Maka itu video-video “tak senonoh” sudah ditularkan. Angkara siapa itu?

Satu lagi teori konon mengatakan pelantikan bos baharu SPRM, Latheefa Beebi Koya dengan pekenan segera Tun Mahathir juga dilakukan secara halus untuk “memperlahankan” pelan peralihan itu.

Ada yang mengatakan “Latheefa mempunyai misi tugas-tugas khas” yang sukar disebut di sini. Adakah Anwar salah satu sasarannya?

Itu pasal puak-puak under-current Anwar seperti sedang mengamuk. Anwar dalam kenyataannya mengulas mengenai pelantikan itu, ada yang berkata “seperti ayam berak kapur.”

Apa pun rakyat sedang memerhati drama ini.

Jadi adakah itu calon-calon yang akan menerajui negara ini? Ada yang berkata dalam group Whatsapp “berilah peluang” kepada calon-calon itu.

Rakyat bertanya, adakah kami berupaya untuk memberi peluang lagi. Ini bukan soal main-main. Ini soal memilih seorang Khalifah bagi tanah air ini.

Ada pepatah seorang sahabat dari Perak yang saya ingin kongsi di sini “selagi ada beruk-beruk tua berebut kelapa, selagi itulah kampung tak akan aman”.

Semalam seorang kenalan lama menghubungi saya. Kami berborak. Beliau ialah Ummi Hafilda Mohd Ali. Kebetulan adik kepada Azmin Ali.

Saya bertanya siapa yang bakal menggantikan Tun Mahathir. Secara kilat beliau menjawab (bukan abangnyalah), tetapi seorang wanita.

“Rafidah Aziz. Orang hebat. Orang kesayangan Tun. Wanita besi yang menggongcang persidangan-persidangan dagangan dengan kuasa-kuasa besar dunia.

“Kalau susah sangat. Terlalu banyak sangat politiking puak-puak itu, lantik Rafidah jadi Senator dan angkat beliau menjadi Perdana Menteri wanita pertama Malaysia,” katanya.

Saya tergamam, tak terkata-kata. Tidak terfikir, Rafidah masih ada bersama-sama kita.

Apa kata Kak Dah?

— BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.