Sungai Kim Kim belum selamat

Keadaan sebahagian sungai sungai yang semakin cetek tanpa diketahui puncanya juga dikatakan menyebabkan ramai nelayan dari kawasan hulu sungai berkenaan tidak dapat turun ke laut menangkap ikan seperti biasa, sejak tiga bulan lalu.

Sungai Kim Kim belum selamat
Gambar: Keadaan terkini Sungai Kim Kim yang telah dibersihkan selepas berlaku pencemaran sisa bahan toksik kira-kira tiga bulan lalu di Pasir Gudang. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

 

 

PASIR GUDANG — Tiga bulan selepas disahkan bebas dan selamat daripada pencemaran sisa kimia berbahaya, Sungai Kim Kim di sini, kini berdepan ancaman lain pula termasuk pencemaran sampah selain menjadi semakin cetek.

Penduduk sekitar mendakwa, walaupun sungai itu tidak lagi berbau busuk dengan sisa kimia, namun tahap kebersihannya belum pulih disebabkan masih ada pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah sarap ke dalamnya.

Keadaan sebahagian sungai sungai yang semakin cetek tanpa diketahui puncanya juga dikatakan menyebabkan ramai nelayan dari kawasan hulu sungai berkenaan tidak dapat turun ke laut menangkap ikan seperti biasa, sejak tiga bulan lalu.

Penduduk Kampung Bukit Pulai, Zulkifly Kassim, 50, mendakwa kekurangan pemantauan daripada agensi kerajaan selepas isu pencemaran sisa kimia reda mungkin menyebabkan pihak tidak bertanggungjawab kembali menjadikan sungai itu sebagai tempat pembuangan sampah.

“Terdapat beberapa kawasan dicemari dengan longgokan sampah yang akhirnya masuk ke dalam sungai itu. Sampah itu mungkin bukan dibuang oleh orang kampung sahaja kerana kawasan sepanjang sungai berkenaan mempunyai banyak kilang yang beroperasi waktu siang dan malam.

“Malah, dengan kepadatan penduduk yang tinggi termasuk kehadiran ramai warga asing yang bekerja di banyak kilang di kawasan itu, sesiapa sahaja boleh membuang sampah ke dalam sungai berkenaan,” dakwanya ketika ditemui BH di sini.

Nelayan, Nursatria Rabu, 34, menunjukkan botnya tersadai di daratan berikutan tidak lagi dapat turun ke laut akibat Sungai Kim Kim yang cetek sejak dibersihkan kerana pencemaran sisa bahan toksik tiga bulan lalu di Pasir Gudang. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Pencemaran toksik di Sungai Kim Kim bermula pada 7 Mac lalu, menjejaskan hampir 6,000 penduduk termasuk pelajar sekolah sehingga menyebabkan 111 sekolah di kawasan Pasir Gudang, diarahkan tutup buat sementara.

Secara keseluruhan, sebanyak 900 tan tanah tercemar bersama selut dan 1,500 tan air tercemar daripada dasar sungai berkenaan dikumpul sebelum dilupuskan oleh kontraktor yang dilantik kerajaan.

Sementara itu, Nursatria Rabu, 34, nelayan yang tinggal di Kampung Bukit Pulai di sini, mendakwa sungai itu menjadi cetek selepas proses pembersihan besar-besaran sisa kimia kira-kira tiga bulan lalu.

“Ramai nelayan dari kampung saya yang terletak di bahagian hulu sungai kini tidak dapat menyusur ke hilir sungai seterusnya ke laut menggunakan bot seperti yang dilakukan selama ini disebabkan masalah sungai cetek.

“Kami akui, airnya tidak lagi hitam seperti dahulu sebaliknya kini bertukar keruh. Kami buntu dan buat masa ini hanya berharap supaya paras air kembali normal supaya kami dapat kembali ke laut,” dakwanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Pasir Putih, Sarimi Abd Rahman, 46, berkata suaminya Hashim Ali, 50 yang juga seorang nelayan kini kerap membantunya berniaga di gerai makanan di hadapan rumah mereka.

“Apabila sungai kotor dan tercemar, nelayan seperti suami saya terjejas kerana sukar menangkap hasil laut. Malah, mereka akan menanggung kerugian disebabkan bot rosak akibat kipas tersangkut pada sampah atau tersekat disebabkan air surut dan cetek,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon, ketika dihubungi berkata, kerajaan negeri mengambil maklum keadaan air sungai berkenaan yang keruh dan dicemari sampah.

“Kerajaan negeri sudah mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor untuk menyiasat dan mengambil sampel air untuk siasatan lanjut. Kita akan memberi penerangan lanjut selepas laporan siasatan itu dikeluarkan,” katanya.

-Berita Harian
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.