Badi Gajah Putih melekat lagi

Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) mungkin menyediakan alasan bahawa kehadiran regu ini di Kunming hanyalah bertujuan eksperimen atau mengelak dihidu Thailand menjelang misi lebih penting, Sukan SEA Ke-30 di Filipina, November ini.

Badi Gajah Putih melekat lagi
THAILAND terus membolot apa sahaja gelaran antarabangsa yang disajikan penganjur termasuk Kejohanan Sepak Takraw Asia 2019 di Kunming, semalam dengan menewaskan Malaysia 2-0.

 

Oleh KAKI BANGKU

 

LAGI-LAGI Thailand! Sampai bila skuad negara akan terus berada nombor dua di belakang Si Gajah Putih di arena sepak takraw antarabangsa?

Tidak usahlah untuk menggelari mereka sebagai musuh tradisi lagi sekiranya kekalahan terbaharu skuad negara, 11-21, 13-21 dalam perlawanan akhir Kejohanan Sepak Takraw Asia: Terbuka China 2019, semalam dijadikan ukuran.

Regu negara yang terdiri daripada Syahmi Husin (tekong), Noraizat Nordin (perejam) dan Amirul Zazwan Amir (pengumpan) selain simpanan, Zharif Ibrahim Merican dan Azli Zaki jelas bukan tandingan Thailand dalam kejohanan itu.

Thailand, pemenang aneka kejuaraan utama termasuk pingat emas berpasukan Sukan SEA dan Asia berturut-turut sejak 2007 dan 1998, hanya menurunkan majoriti pemain muda dalam kejohanan di Kunming, Yuhan, China itu.

Kecuali pengumpan dan tekong, Pattarapong Yupadee dan Kritsanapong Nonthakote, skuad bimbingan Kamol Tankimhong ini membariskan pemain kurang ternama seperti Rattadech Noijareon, Wanchana Rattanarin dan Alongkorn Raokrang.

Syahmi dan Amirul bukanlah terlalu mentah di arena antarabangsa malah Noraizat berpengalaman sebagai antara 12 pemain pemenang pingat perak berpasukan Sukan Asia Jakarta-Palembang, tahun lalu (juga ditewaskan Thailand 2-0).

Kedua-dua tekong dan apit kiri dari Polis Diraja Malaysia dan Kuala Lumpur ini mungkin hanya agak lama tidak berada di kem latihan negara kerana masalah prestasi yang turun naik.

Terdahulu regu negara menewaskan Indonesia yang membariskan antara tonggak naib juara antara regu Sukan Asia, Victoria Eka Prasetyo 2-1 (11-21, 22-20, 21-15) dalam separuh akhir dan China (suku akhir).

Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) mungkin menyediakan alasan bahawa kehadiran regu ini di Kunming hanyalah bertujuan eksperimen atau mengelak dihidu Thailand menjelang misi lebih penting, Sukan SEA Ke-30 di Filipina, November ini.

Alasan ini pasti disokong dengan ketiadaan tonggak emas Sukan Asia 2018 seperti Syahir Rosdi, Azlan Alias, Zulkifli Razak dan Farhan Adam atau Norhaffizi Razak di Kunming malah mereka direhatkan daripada Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand di Korat sejak Oktober lalu.

Sudah hampir setengah tahun 2019 menjangkau namun hanya Kejohanan Asia di Kunming itu yang menjadi satu-satunya medan pendedahan antarabangsa sekali gus pemanas badan skuad negara ke Sukan SEA.

Temasya serantau dwitahunan ini menawarkan empat emas di Gimnasium Lembaga Metropolitan Teluk Subic, Luzon dalam acara regu berpasukan, antara regu, beregu berpasukan dan gelung (lelaki).

Pencapaian skuad wanita negara yang tewas 12-21, 16-21 kepada Indonesia dalam saingan Divisyen Satu di Kunming memang sudah diduga sekali gus mereka semakin sukar diharapkan untuk memburu sebarang pingat di Filipina nanti.

Seperti mana dalam Piala Raja Thailand, divisyen ini tidak melibatkan kuasa utama kategori wanita seperti Thailand, Vietnam, Korea Selatan atau Myanmar serta China.

Dengan majoriti muka baharu yang membarisi skuad wanita sekarang, kos pemergian mereka ke Sukan SEA mungkin terpaksa ditanggung sendiri oleh PSM di bawah Kategori B seperti yang disyaratkan oleh Majlis Olimpik Malaysia.

–BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.