Orang Asli Kuala Koh minta loji air bersih dibaiki semula

Orang Asli Kuala Koh minta loji air bersih dibaiki semula
SEORANG kanak-kanak suku kaum Batek berehat di sebuah pondok di penempatan asal mereka, di Perkampungan Orang Asli Kuala Koh selepas menerima rawatan perubatan dari Jabatan Kesihatan Daerah Gua Musang baru-baru ini.  –fotoBERNAMA

 

 

GUA MUSANG — Kira-kira 200 penduduk Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, di sini, meminta kerajaan membaiki semula loji air bersih terawat yang rosak sejak dua tahun lalu.

Berikutan kerosakan itu, penduduk mendakwa mereka terpaksa menggunakan sumber air daripada tadahan bukit dan sungai yang tidak terjamin kebersihannya.

Seorang penduduk, Kolim Terbon, 70, berkata penduduk kampung tidak dapat menggunakan air bersih terawat daripada loji terbabit mulai akhir tahun 2017 kerana tidak ada kerja penyelenggaraan.

Katanya, kini kawasan loji terbabit ditinggal terbiar hingga penduduk terpaksa mencari sumber air lain bagi keperluan harian.

“Kami juga terpaksa memunggah air dari sungai yang terletak empat kilometer dari kampung untuk keperluan memasak setiap hari,” katanya ketika ditemui, di sini.

Difahamkan, Projek Program Transformasi Luar Bandar bernilai RM500,000 itu dibina tahun 2015 dan siap 2017 tetapi hanya dapat digunakan beberapa bulan sahaja sebelum terbiar rosak.

Loji itu akan menyalurkan air bersih yang dirawat sebelum disimpan ke dalam tiga tangki biru yang ditempatkan di sekitar perkampungan Kuala Koh.

Seorang lagi penduduk, Inja Punai, 32, pula mendakwa, sebaik siap dibina, loji itu diserah kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk diselenggara setiap bulan.

Katanya, namun perkara itu hanya diambil perhatian untuk tempoh beberapa bulan sebelum dibiarkan begitu sahaja hingga menimbulkan masalah kepada penduduk.

“Kita harap loji air bersih terawat itu dibaiki semula kerana itu sahaja sumber air bersih yang menjamin kesihatan penduduk.

“Disebabkan kerosakan loji juga, penduduk terpaksa berpindah-randah ke kawasan hutan berhampiran sungai untuk memudahkan mendapat sumber air,” katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/06/573746/orang-asli-kuala-koh-minta-loji-air-bersih-dibaiki-semula
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.