Rahman Hassan : perginya ikon seni muzik tanah air

0
3
Oleh FAUZAN UDA AHMAD

 

KEPERGIAN Datuk A. Rahman Hassan, 73, semalam merupakan satu kehilangan yang sukar dicari  ganti dalam wadah seni tanah air. Beliau merupakan nama besar dalam alam seni tanah air tanah air,  dimana perlu dihasilkan autobiografinya. Begitu juga perlu difikirkan untuk mewujudkan muzium kesenian pop yeh-yeh atas namanya.

A.Rahman menerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Industri Muzik di Anugerah Kecapi PAPITA 2006.

Menghidupkan semula muzik dan penyanyi pop yeh-yeh

Sumbangan terbesar A. Rahman ialah membantu menghidupkan semula irama pop yeh-yeh dan membuka semula peluang kepada penyanyi pop yeh-yeh untuk cari makan.

Ini dilakukannya apabila menganjurkan konsert dikenali sebagai Konsert Pop 60-an di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada tahun 1984.

Konsert itu dianjurkan oleh Persatuan Anak-Anak Melayu Johor di mana A. Rahman turut menjadi ahli jawatankuasanya.

Konsert Pop 60-an itu hanya mendapat publisiti dalam akhbar dan ia berlangsung ketika satu perlawanan bola sepak juga diadakan di Stadium Merdeka yang bersebelahan.

Datuk Jefrydin pernah menyatakan pengalaman konsert berkenaan. Menurutnya pada awal malam, konsert itu kurang mendapat sambutan. Namun setelah perlawanan bola sepak di Stadium Merdeka berakhir, sedikit demi sedikit orang ramai datang sehingga penonton di Stadium Negara mencapai sekitar 10,000 orang.

Konsert Himpunan 60-an itu  menghimpunkan lebih 20 artis pop yeh-yeh (sebahagian dari Singapura) dan beberapa  kumpulan muzik pop yeh yeh.

Konsert Himpunan 60-an itu merupakan  penanda aras  kembalinya semula muzik dan penyanyi pop yeh-yeh yang mengharungi zaman menurun pada  akhir 60-an.

Hari pernikahan dengan Fadilah Mansor pada 25 Disember 2014

Bermula dari situ muzik dan penyanyi pop yeh-yeh hidup semula.

Masyarakat Melayu di Malaysia dan Singapura kembali menghayati irama dan penyanyi pop yeh-yeh.  Stesen radio RTM turut memainkan peranan dengan lebih kerap menyiarkan kembali irama pop yeh-yeh.

Pendek cerita ketika itu irama dan penyanyi pop yeh-yeh kembali menjadi ‘mania’.

Sejumlah penyanyi pop yeh-yeh mampu hidup semula dengan selesa dan mempunyai persembahan pentas hampir setiap malam di seluruh negara dan Singapura.

Ketika itu persembahan pentas masih mendapat sambutan. Ini membolehkan penyanyi pop yeh-yeh berkeliling  dari bandar besar hingga ke bandar kecil , malah ke kampung tertentu.

Rahman bukan cuma ‘passion’ terhadap artis dan muzik pop yeh yeh, malah terhadap seluruh penyanyi tanah air. Ini dibuktikan apabila sanggup memimpin Persatuan Penyanyi Tanah Air (PAPITA) yang bermasalah ketika itu dan memimpin selama beberapa tahun sebelum diserahkan kepada setiausaha  PAPITA, M Daud.

Selepas melepaskan PAPITA, A.Rahman  menerajui persatuan Majlis Muzik Malaysia (MMM) bagimemberikan pembelaan lebih adil terhadap penglibat seni tanah air.

Rahman turut aktif dalam Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA Malaysia) dan pernah menerbitkan majalah bulanan berjudul ‘Pendekar’.

Berakhirnya riwayat orkes nirwana johor bahru

Ketika muzik pop dari Barat mulai melanda rantau Nusantara, A. Rahman menubuhkan kumpulan muzik pop  yang dinamakan Orkes Nirwana.

Orkes  Nirwana ditubuhkan pada 23 Mac 1965 di rumah ayah A. Rahman di Johor Bahru. Asalnya kumpulan ini mempunyai 14 anggota. Namun akhirnya jumlah itu dikecilkan menjadi   6 anggota iaitu     Datuk A. Rahman Hassan (penyanyi),    Datin Azizah binti Mohamad. (penyanyi),   E. Elias (bass),   B. Badrun (gitar rhythm),   A. Rozie Ashari (tamborin) dan   M. Radzi Jamil (dram).

Ketika awal penubuhan Orkes Nirwana turut memainkan lagu-lagu barat yang popular.

Orkes Nirwana mendapat peluang merakamkan album setelah ditawarkan oleh Allahyarham M. Osman. M Osman ketika itu mempunyai pengaruh agak besar dalam kalangan syarikat rakaman di Singapura.

Orkes Nirwana ditawar membuat rakaman piring hitam dalam bentuk EP (empat lagu) berkongsi dengan M. Osman, masing-masing dengan dua lagu.

Kemampuan Orkes Nirwana memainkan muzik membolehkan kumpulan itu mengiring rakaman album beberapa penyanyi lain antaranya  M Osman dan ketika kemunculan awal A. Ramlie.

Ketika kumpulan muzik pop yeh-yeh menggunakan nama barat dengan nama yang dimulai dengan perkataan ‘the, D atau Les’, namun Orkes Nirwana tetap ingin kekal dengan nama berunsur Melayu lalu kekallah nama kumpulan Orkes Nirwana Johor Bahru.

Rahman bermula tahun 1970-an mula sibuk dengan tugasnya sebagai salah seorang pegawai di Pejabat Pos (kini Pos Malaysia). Namun beliau tetap mengadakan latihan sesama ahli kumpulan jika ada kesempatan.

Konsert Himpunan 60-an dianjurkan ketika A. Rahman sudah menjawat jawatan Pengurus Perhubungan Awam ketika awal kewujudan TV3.

Orkes nirwana kekal kerana utuh kepada rukun nirwana

Orkes Nirwana Johor Bahru diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBR) sebagai kumpulan pop kedua paling lama bertahan di Malaysia.

Malah Orkes Nirwana dianggap sebagai kumpulan muzik kedua paling lama bertahan di dunia  selepas kumpulan Rolling Stones (dianggotai Mick Jagger) dari Britain.

Rahsia Orkes Nirwana dapat bertahan lebih 50 tahun adalah kerana patuh kepada Rukun Nirwana yang mempunyai lima perkara yang perlu dipatuhi.  Antaranya perlu mematuhi hukum Islam termasuk tidak terlibat dalam kegiatan sosial yang melampau seperti terlibat dalam minuman keras, pengambilan dadah dan terlibat dalam skandal dengan perempuan.

  1. Rahman sendiri bagi mengelakkan fitnah lalu berkahwin dengan penyanyi wanitanya Azizah Mohd pada tahun 1968.

Hasil perkahwinan A Rahman dan Azizah mereka dikurnia tiga anak lelaki termasuk yang tua, pelakon dan pengarah Khir Rahman.

Konsert Jubli Emas Orkes Nirwana di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 6 dan 7 Jun 2015 adalah persembahan terakhir Orkes Nirwana dengan anggota lengkap.

Terdahulu Orkes Nirwana sudah kehilangan Azizah Mohd yang meninggal dunia pada 26 April 2013.

Tidak lama selepas Konsert Jubli Emas  itu pemain bass E Elias menghadap illahi.

Rahman ketika itu semakin terpukul apabila anak keduanya Khairul Ilmi dipanggil Illahi akibat penyakit barah pada 21 Februari 2016.

Ilmi merupakan pemain tamborin dan penyanyi kedua yang didik untuk menjadi penerus legasi Orkes Nirwana.

Kini dengan kepergian A. Rahman, Orkes Nirwana mungkin bakal berkubur.

Selepas kematian Azizah pada 26 April 2013, A. Rahman berkahwin dengan pelakon Fadilah Mansor pada 25 Disember 2014.

Penyanyi pop yeh-yeh sudah di atas usia 60 tahun

Penyanyi-penyanyi pop yeh-yeh kini yang masih hidup rata-rata berusia 60 tahun ke atas. Usia sedemikian adalah ‘tempoh berhati-hati’  untuk dijemput illahi.

Satu demi satu daripada mereka akan dijemput Ilahi.

Akhirnya lagu pop yeh-yeh hanya tinggal lagu yang terus berkumandang.

Rahman akan terus dikenang melalui sejumlah lagu nynyian dan ciptaan beliau. Lagu ‘Tak Mengapa’dan ‘Semoga Berjaya’ adalah diantara lagu hits beliau.

Penulis agak rapat dengan A. Rahman ketika menjadi wartawan hiburan Utusan Malaysia.

Beliau pernah menawarkan bekerja dengannya yang ketika itu merancang untuk menerbitkan majalah hiburan.  Saya sudah menyiapkan kertas kerja untuk majalah hiburan itu. Bagaimanapun langkah itu terbantut apabila saya mendapat tawaran bekerja di TV3.

Rahman Hassan terus diingati sebagai teman yang baik dan mempunyai misi dan visi. Jasamu Dikenang.

—BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here