Skandal video terkini, polis harus bertindak pantas!

Skandal video terkini, polis harus bertindak pantas!
Oleh SYED AZIZ@KICKDEFELLA

 

KESUCIAN Syawal tahun ini dicemari dengan beberapa siri video seks yang ditularkan. Skandal seks, bukan perkara asing dalam mana-mana negara. Ia sentiasa berlaku di negara-negara maju dan tidak kurang juga di negara membangun.

Apabila skandal seks melibatkan ahli politik, ramai akan mendakwa ini politik longkang. Tetapi apabila skandal seks melibatkan selebriti atau orang awam, kita akan mendakwa ini perlakuan tidak bermoral dan perlu dikecam supaya ia menjadi sempadan kepada semua.

Saya mengajak kita membicarakan bukan berhubung video seks dua orang lelaki, tetapi video tular pengakuan seorang lelaki yang secara terbuka dan tanpa rasa bersalah mengaku melakukan perhubungan seks sejenis di bulan Ramadan dengan seorang Menteri yang sudah berkeluarga.

Pada dinihari 12hb Jun, seorang lelaki yang mendakwa dirinya Haziq Abdullah Abdul Aziz telah menyiarkan video pengakuan disebuah laman facebook yang didakwa miliknya.

Apakah benar lelaki di dalam video itu ialah individu bernama Haziq yang berkhidmat sebagai setiausaha sulit kanan seorang Timbalan Menteri. Lelaki ini mengaku mengadakan hubungan sulit dengan Menteri kanan dan mendakwa Menteri itu tidak layak menjadi pemimpin. Motif si pengaku ini jelas.

Tetapi selepas video pengakuan itu, lelaki ini terus hilang. Tiada khabar berita. Walaupun kita rasa pengakuannya itu tidak akan berakhir di situ sahaja.

Menteri terbabit sudah menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu. Pegawai-pegawainya dikatakan membuat laporan polis.

Pihak polis harus bertindak segera. Individu yang membuat pengakuan itu perlu dicari segera dan disiasat.

Selagi individu ini tidak ditemui, selagi itu kes ini tidak akan selesai. Selagi kes ini tidak selesai, bukan sahaja nama baik Menteri tetapi nama baik Parti beliau dan Kerajaan akan terus tercemar.

Dakwaan ini menambah bebanan yang tidak perlu kepada Kerajaan yang sudah sedia terkikis keyakinan rakyat terhadapnya hari demi hari.

Apabila Kerajaan terbeban, rakyat juga yang menanggung seksaannya.

Tiada siapa berhak membuka aib seseorang apalagi dengan sebegini sekali. Seperti juga Menteri itu, Haziq sendiri mempunyai keluarga, saudara mara, rakan taulan dan kenalan. Video tular pengakuan ini juga membuka aib individu bernama Haziq dan sudah tentu menjejaskan keluarganya dan mereka yang menyayangi dan mempunyai pertalian dengannya.

Semoga PDRM dibawah kepimpinan baharu dapat bertindak pantas. Itulah kehendak kita.

— BebasNews
Tulisan ini tidak semestinya mencermin dasar editorial BebasNews.my
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.