Syed Hussian dilantik Pengerusi baharu Media Prima

0
2

KUALA LUMPUR — Lembaga Pengarah Media Prima Bhd melantik Datuk Syed Hussian Syed Junid sebagai Pengerusi Kumpulan, berkuatkuasa 1 Julai 2019.

Bagi memastikan peralihan yang lancar dan stabil, Syed Hussian akan memulakan lantikan sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif dan bakal Pengerusi Kumpulan berkuatkuasa hari ini.

Sebagai Pengerusi Kumpulan yang baharu, Datuk Syed Hussian membawa bersama pengalaman profesional lebih 30 tahun dalam sektor insurans dan teknologi, serta pengetahuan mendalam terhadap teknologi-teknologi baharu dan kepakaran dalam transformasi korporat.

Beliau memulakan karier dengan The American Malaysian Insurance Sdn Bhd pada 1982.

Syed Hussian kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Pengurus Cawangan Pulau Pinang pada 1986.

Seterusnya, beliau dinaikkan pangkat menjadi Pengurus Kanan Serantau bertanggungjawab bagi Pulau Pinang, Perlis, Kedah dan Perak. SyedHussian juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif di syarikat-syarikat dalam Kumpulan Media Prima.

Beliau dilantik sebagai Pengarah, Merit Idea Sdn Bhd pada Disember 2003. Beliau juga telah berkhidmat sebagai Pengarah di Primeworks Studios Sdn Bhd, Media Prima Digital Sdn Bhd, Metropolitan TV Sdn Bhd (8TV) dan Ch-9 Media Sdn Bhd (TV9).
Selain itu, beliau juga adalah bekas Pengarah, Tanjung Offshore Bhd, AWC Bhd, Efficient E-Solutions Bhd dan Amanah Raya Reit Bhd.
Syed Hussian kini adalah Pengerusi Kumpulan, Western Digital Sdn Bhd.

Beliau juga adalah Pengarah untuk semua anak syarikat operasi Malaysia, Western Digital, termasuk Western Digital Media (Penang), SanDisk Batu Kawan (Penang), Western Digital Substrate Johor dan Kuching.

Di samping itu, beliau juga adalah ahli Lembaga Pengarah, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Media Prima hari ini turut mengumumkan bahawa Datuk Mohd Nasir Ahmad akan menamatkan tempoh perkhidmatan sebagai Pengerusi Kumpulan Bebas Bukan Eksekutif, berkuatkuasa 30 Jun 2019.

Mohd Nasir terdahulu telah memaklumkan Lembaga Pengarah Media Prima berkenaan hasrat untuk mengundur diri dan berhenti daripada Lembaga Pengarah bagi menumpukan perhatian terhadap tanggungjawabnya sebagai ahli lembaga pengarah di luar kumpulan Media Prima.

Beliau dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Interim Media Prima pada 21 Mei 2018 dan seterusnya sebagai Pengerusi Kumpulan Media Prima pada 12 Jun 2018.

Mohd Nasir juga pada masa ini adalah ahli lembaga pengarah CIMB Group Holdings Bhd, CIMB Bank Bhd, SIRIM Bhd dan Prokhas Sdn Bhd.

Beliau adalah Pengerusi Kumpulan, CIMB Group Holdings Bhd dan ahli Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan Canselor UNITEN.

Menerima hasrat Mohd Nasir untuk mengundur diri, pihak Lembaga Pengarah Media Prima menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan di atas kepimpinan dan sumbangan beliau kepada kumpulan sejak menyertainya pada 26 Februari 2016.

https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2019/06/573889/syed-hussian-dilantik-pengerusi-baharu-media-pri

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here