Anwar vs Azmin,  Tun M pening kepala

0
129

 

Oleh YAHAYA ISMAIL

 

​MANUSIA boleh merancang tapi Allah menentukan segala.

Burung terbang jangan dipipiskan lada. Tuah ayam lihat pada kakinya tapi tuah manusia hanya Allah Maha Mengetahui.

Kuasa boleh bikin manusia gila apabila bisikan syaitan dan puaka lebih kuat dari wahyu Illahi.

Anwar sudah lama meroyan hendak jadi Perdana Menteri sejak melancarkan demonstrasi para mahasiswa membela orang kampung di Baling kononnya mati makan ubi gajah pada tahun 1973.

Dua tahun menjadi ‘mahasiswa’ di Kem Kemunting mengentalkan lagi semangatnya memburu kuasa bagi menentukan nasibnya, rakyat dan negara.

Walau pun dua kali dijeblos dalam penjara atas tuduhan meliwat namun, setelah mendapat pengampunan Agong,  Anwar semakin galak dan tidak sabar-sabar lagi hendak menjadi Perdana Menteri kelapan setelah dua tahun Tun M memimpin kerajaan Pakatan Harapan.

Walau pun Anwar tidak ada 44 panau kesaktian Awang Sulong Merah Muda namun dia dapat meramalkan dalam kilat dan kilau mainan politik Tun Mahathir.

Dia tahu, tanpa melihat nasib pada tukang peramal India di kakilima, besar kemungkinan Azmin Ali, menteri hal ehwal ekonomi, bakal dipilih sebagai Perdana Menteri kelapan.

Seperti singa luka terperangkap Anwar tidak boleh terima Timbalan Presiden PKR, sang setianya sejak di era UMNO, menggerhanai masa depannya.

Tidak ada kompromi dalam isu pengganti Tun Mahathir. Janji mesti ditetapi. Anwar tidak ambil kira berapa kali janjinya kepada rakyat yang tidak ditepati.

Dia sudah uar-uarkan pada berbagai pemimpin negara asing, interbiu dalam berbagai media asing, bahawa aku, Anwar Ibrahim, dua kali dipenjara kerana meliwat, bakal menjadi Perdana Menteri tak lama lagi.

Nahe, nahe Azmin tidak boleh merebut jawatan yang bakal dimiliki Anwar. Alang-alang seluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Biar dia  berputus arang berkerat rotan dengan Azmin. Biar PKR berpecah rabak. Biar ribut dan ombak mengganas liar dalam Pakatan Harapan.

Seperti pahlawan tua walau tersungkur dalam gelanggang namun misainya tidak mencicah bumi lagi. Kalau dia tidak dapat apa yang dihajati dia tidak akan menyerah berputih mata. Itu Anwar.

​Kalau video yang viral itu berpunca dari PKR bermakna ada konspirasi hendak menjatuhkan Azmin.

Dalam pemilihan pucuk pimpinan PKR baru lalu Anwar sendiri turut berkempen menyokong Rafizi menentang Azmin untuk jawatan Timbalan Presiden PKR.

Sudah ada keretakan antara Anwar dengan Azmin. Teman Azmin dalam video sudah buat pengakuan, tanpa segan silu, bahawa dia bersama menteri kanan itu.

Lebih mengejutkan lagi dia pula mengesa SPRM menyiasat Azmin yang dikatakan melakukan korupsi.

Sekarang Tun Mahathir pening kepala. Kalau dia menolak Anwar jadi bakal Perdana Menteri kerana kononnya dia homoseks maka Azmin juga, menurut video, itu sama jenis dengan Anwar.

Rakyat mahu lihat perkembangan drama politik Anwar vs Azmin, dan bagaimana Tun Mahathir mahu menstabilkan politik Pakatan Harapan yang tali hayatnya terletak pada kuasa Allah dan tindakan Tun Mahathir sendiri.

 ​— BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here