Harimau Malaya kena pindah kandang

Harimau Malaya kena pindah kandang
ANTARA sebahagian para penyokong setia yang pasti tidak bermasalah untuk hadir biarpun ‘kandang’ Harimau Malaya dipindahkan keluar Bukit Jalil./Foto FAM

 

Oleh KAKI BANGKU

 

SUDAH tiba masanya sebarang perlawanan antarabangsa Harimau Malaya dipindahkan ke gelanggang luar Lembah Klang walaupun langkah ini bermakna ‘kandang utamanya’, Stadium Nasional, Bukit Jalil terpaksa ditinggalkan.

Mengapa tidak? Bandingkan muatan di situ ialah 90,000.

Namun angka kehadiran penyokong-penyokong setianya cuma sekitar 4,244 dan 12,776 orang sepanjang dua perlawanan pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022-Piala Asia 2023 menentang Timor Leste pada 7 dan 11 Jun lalu.

Mungkin perlawanannya yang berlangsung dalam minggu pertama Aidilfitri boleh dijadikan alasan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk melindungi sokongan hambar mereka tetapi bagaimana pula dengan ‘Promosi Beli 1 Percuma 1’ tiket-tiketnya?

Mungkin juga jika lawannya ialah kalangan negara seperti Indonesia, Bangladesh, Pakistan atau India serta Myanmar, barulah Bukit Jalil mampu kembali meriah walaupun hadirinnya ialah para pendatang asing yang mencari nafkah di bumi bertuah ini.

FAM seperti sudah terikat dalam kerjasama dengan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mulai bulan lalu yang berwawasan jauh untuk menjadikan kemudahan di Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil (KLSC) seperti ‘Stadium Wembley Malaysia’.

Namun masih ada rintangannya jika FAM mahu membawa keluar Harimau Malaya umpamanya ke Stadium Hang Jebat, Melaka, Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Johor Bahru  mahupun sejauh Stadium Sarawak, Kuching.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, “bukan mudah untuk mendapatkan kerjasama stadium lain apatah lagi yang memenuhi syarat dan kriteria perlawanan antarabangsa oleh AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) dan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa).

“Bukit Jalil kebetulannya memiliki syarat-syarat berkenaan selain kemudahan yang lengkap dan terbaik termasuk pengangkutan awam dan tempat letak kereta. Kalau asyik tukar stadium, tentu sukar pasukan negara juga menyesuaikan diri,” katanya.

JURULATIH Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe (kiri) pernah meluahkan rungutan mengenai keadaan padang Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Justeru harapan warga luar Lembah Klang untuk menyaksikan Harimau Malaya lebih dekat dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022-Piala Asia 2023 yang bermula September ini, mungkin terus tertangguh lagi.

Empat perlawanan tempat sendiri kelayakan itu yang dijadualkan sepanjang 5 September ini hingga 9 Jun 2020, tampak kian pasti kekal di Bukit Jalil kecuali atas alasan yang luar biasa terutama keadaan padang yang kerap dirungutkan jurulatih Malaysia dan Timor Leste.

Sebab keadaan padang Stadium Nasional jadi sedemikian juga pantas dituding kepada saingan Divisyen Perdana Kejohanan Ragbi Asia 2019 antara Malaysia dan Korea Selatan pada 25 Mei lalu.

“Perlawanan persahabatan sebagai pemanas badan kelayakan itu mungkin boleh diadakan di luar Lembah Klang kerana FAM fikir Harimau Malaya wajar menjelajah seluruh negara sebagai menghargai sokongan peminat setia,” kata Stuart.

FAM antara tahun 2016 hingga 2017 juga pernah menggilirkan ‘kandang’ Harimau Malaya itu ke Melaka dan Larkin untuk melayani kunjungan Lebanon, Syria, Hong Kong dan Macau sama ada dalam Kelayakan Piala Asia atau persahabatan antarabangsa.

Pengerusi PSM, Tan Sri Tony Fernandes juga pernah berhasrat meluaskan KLSC kepada acara hiburan, perniagaan, pameran dan majlis sosial di sebalik statusnya selaku pemilik bersama kelab bola sepak Liga Kejuaraan England, Queens Park Rangers.

“KLSC juga perlu hidup setiap hari dengan adanya restoran, pawagam kecil serta kedai. Di Pusat Akuatik Nasional pun boleh dilangsungkan konsert kecil,” katanya yang pernah menubuhkan kelab PJ Rangers (sebelumnya AirAsia All-Stars) yang tidak bertahan lama bersaing dalam Liga FAM.

—BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.