Surat Terbuka Kepada Tun Mahathir II

KANDUNGAN surat ini adalah pendapat kami yang sering bermain di kepala kami yang amat membimbangkan. Kami tidak berniat melalui surat ini untuk menasihati Tun kerana kami tahu Tun adalah orang yang bijaksana dan tidak memerlukan nasihat daripada orang seperti kami.

“Bergalah orang di sungai sempit,
Dihimpit pula onak dan duri,
Kalaulah helang tak pandang pipit,
Pipit tak akan berkecil hati.”

Kami memilih untuk menulis surat terbuka ini kerana kami tahu kalau pun kami menulis surat peribadi kepadanya, Tun tidak akan berpeluang untuk membacanya. Sebab Tun tidak akan membaca adalah banyak, dan salah satu daripadanya ialah kerana Tun tersangat sibuk memerbaiki keadaan negara yang telah banyak rosak sebelum beliau mengambil alih tampuk pemerintahan.

Kebelakangan ini, umum sedia maklum bahawa terlampau banyak video, pesanan ‘Whatsapp’, dan perkongsian di laman sosial berbaur hasutan, fitnah, kebencian, dan rasisme membanjiri alam maya.

Perkara ini telah banyak mempengaruhi masyarakat untuk membenci sesama sendiri. Kalau dibiarkan berleluasa, pasti akan mengundang kebinasaan. Justeru itu, apa tindakan yang perlu diambil untuk membendung dan mencegah perkara mungkar ini.

Lebih kurang sebulan yang lalu kami telah menulis surat terbuka kepada Tun supaya tidak memansuhkan Akta Hasutan 1948. Kalau pun ingin memperbaikinya seperti yang diuar- uarkan oleh Menteri Kabinet baru-baru ini, maka isi kandungan penambahbaikan itu hendak diteliti dengan baik. Sebabnya ialah supaya Akta yang baru itu ternyata adil kepada rakyat di negara ini dengan mengambil kira kepelbagaian etnik, agama, budaya, dan nilai hidup.

Ia seharusnya melindungi hak asasi setiap rakyat yang dijamin di bawah Undang-undang tertinggi negara kita iaitu Perlembagaan Persekutuan, dan menggalakkan akauntabiliti bagi setiap keputusan dan tindakan yang kelak diambil oleh pentadbir. Adalah penting bagi pentadbir menggunakan kuasa yang ada pada mereka dengan secara saksama dan bijaksana, dan bukannya secara sewenang-wenangnya.

Kenangan bersama Tun Mahathir sewaktu beliau melancarkan pameran lukisan Hashim Yaacob di Holliday Villa tahun 2010.

Dengan adanya Akta Hasutan yang diperbaiki, atau Akta-akta yang lain untuk menangani perbuatan-perbuatan menghasut, memfitnah, membenci, dan perlakuan rasis, kami percaya perbuatan-perbuatan sedemikian dapat dibendung secukupnya. Apabila terbendung, maka kemungkinan rakyat akan hidup dengan lebih aman dan tenteram.

Pokoknya, apakah yang mesti kita lakukan demi menjamin kesejahteraan rakyat negara ini yang berbilang bangsa? Jawapan yang paling ketara ialah untuk membawa rakyat untuk mengenali satu sama lain dan menghormati perbezaan antara mereka dari segi pegangan agama, sosial, dan cara hidup. Lebih awal dalam kehidupan seseorang rakyat itu didedahkan kepada perkara ini, maka lebih berjayalah rancangan untuk menyatupadukan rakyat.

Cara terbaik untuk maksud ini ialah untuk menyekolahkan anak-anak kita daripada semua kaum dalam satu sekolah kebangsaan. Buat seperti yang dilakukan oleh Singapura. Dengan cara ini, anak-anak yang muda dari semua keturunan akan dapat belajar dan bergaul sesama mereka pada usia yang awal.

Tentunya dengan berbuat demikian, rasa hormat menghormati antara anak-anak itu akan terbina pada usia yang awal, yang besar kemungkinannya akan terbawa-bawa sehingga mereka dewasa.

Tun Mahathir ialah seorang negarawan yang tersohor kebijaksanaannya. Orangnya tegas dalam membuat keputusan dan mengambil tindakan yang difikirkannya baik.

Kami mengharapkan Tun Mahathir mempunyai peluang untuk membaca dan memberi pertimbangan ke atas kebimbangan kami ini.

 

Dato Prof Emeritus Dr Hashim Yaacob
Mantan Naib Canselor Universiti Malaya

dan  Adi Sukma Aktivis Muda

–BebasNews

 

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here