Kelebihan puasa sunat enam hari bulan Syawal

Justeru daripada Abu Ayyub al-Ansari meriwayatkan bahawa Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa berpuasa penuh di bulan Ramadan, lalu diikuti dengan (puasa) enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) ia seperti setahun berpuasa." (Riwayat Muslim).

Kelebihan puasa sunat enam hari bulan Syawal

BAGI sesiapa yang mengetahui fadilat atau kelebihan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal, pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menunaikannya.

Meskipun puasa enam yang boleh dilakukan bermula pada Aidilfitri kedua itu hukumnnya sunat, tetapi ia adalah dalam kategori ‘sunat muakkad’ itu sunat yang digalakkan untuk melakukannya.

Puasa sunat enam hari itu perlu disertai dengan sahur dan niat: “Aku berpuasa esok hari dari enam hari bulan Syawal sunat kerana Allah Ta’ala.”

Cara berpuasa enam boleh dilakukan secara penuh berterusan selama enam hari atau berselang-seli sehingga genap dalam tempoh sebulan Syawal itu.

Pada Hari Raya Aidilfitri tidak boleh melakukan puasa enam kerana 1 Syawal adalah hari untuk sekalian umat Islam menyambut kemenangan selepas ”berjuang’ menerusi ibadat puasa wajib sebulan sepanjang Ramadan.

Maka puasa enam itu boleh bermula pada Aidilfitri kedua, seterusnya sehingga genap enam hari yang paling bermakna apabila mereka menyambut raya puasa sunat tersebut dengan cara tersendiri sekali gus memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT.

Pengertian sunat ialah perkara berkaitan ibadat dalam Islam yang tidak wajib dilakukan dan tidak berdosa jika ditinggalkan, tetapi mendapat pahala jika dilakukan dengan penuh ikhlas kerana Allah SWT.

Sebab itulah puasa sunat enam dikategorikan sebagai ibadat ‘sunat muakkad’ sekali gus menjanjikan ganjaran besar pahala kepada setiap mereka yang menunaikannya.

Justeru daripada Abu Ayyub al-Ansari meriwayatkan bahawa Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa berpuasa penuh di bulan Ramadan, lalu diikuti dengan (puasa) enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) ia seperti setahun berpuasa.” (Riwayat Muslim).

Bayangkanlah betapa beruntungnya mereka yang mengisi peluang keemasan berpuasa enam untuk mendapatkan pahala di sisi Allah SWT sebagai bekalan untuk menghadap-Nya kelak.

Ini termasuklah kepada amal ibadat lain dalam beragama, termasuk solat lima waktu yang diwajibkan, di samping memenuhi kepada tuntutan Rukun Islam lima perkara tersebut.

Lag ipun kita tidak tahu sama ada Ramadan dan Syawal 1440 (H) ini adalah peluang terakhir kita untuk menunaikan puasa tersebut atau masih diberi lagi peluang oleh Allah SWT pada tahun berikutnya?

Eloklah masing-masing dalam kalangan kita umat Islam menyediakan bekalan secukupnya ke dunia akhirat kerana umur seseorang bukan kira tua atau muda untuk diambil oleh Allah SWT.

Oleh yang demikian, maka janganlah pula golongan muda beranggapan tanggungjawab beribadat itu semata-mata untuk orang tua, sedangkan anak-anak muda asyik bersuka ria, apatah lagi dalam sebulan penuh Syawal menyambut Aidilfitri.

Sambutan sebulan beraya itu dipenuhi dengan acara rumah terbuka di dewan tertentu anjuran parti politik, pertubuhan mahupun individu lengkap dengan pelbagai hidangan minuman dan juadah lazat.

Akibat daripada makan berlebihan pelbagai juadah yang bercampur aduk, kini kita dapat menyaksikan ramai yang menghidap batuk kerana alahan memakan bahan berasaskan campuran minyak atau serbuk kacang sehingga menjejaskan kerongkong.

Ini tidak dicampur lagi dengan penghidap kencing manis akan lebih terjejas kesihatan mereka jika minuman berlebihan air manis sama ada dalam majlis jamuan rumah terbuka Aidilfitri mahupun hidangan ketika berkunjung dari rumah ke rumah.

Sebab itulah Islam menggalakkan puasa enam yang mengandungi hikmah supaya umat Islam dapat mengawal sedikit daripada perbuatan makan berlebihan dalam majlis jamuan Aidilfitri.

Selain itu falsafah di sebalik puasa enam dalam bulan Syawal ialah bagi melahirkan rasa kesyukuran terhadap Allah SWT menerusi kesinambungan ibadat tersebut dari bulan Ramadan.

Di samping itu ia juga bagi menunjukkan ‘perjuangan’ dalam beribadat tidak terhenti kepada puasa wajib sebulan pada Ramadan sahaja.

—BebasNews

 

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.