Mufti beri pedoman kepada Azmin hadapi kontroversi

0
1

MENTERI Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali meluahkan rasa terharu dengan pedoman yang dinukilkan Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad dalam menghadapi isu dakwaan klip video seks.

“Saya amat terharu dengan pesanan dan nasihat Mufti Wilayah Persekutuan untuk saya dan keluarga..

“Pertemuan petang semalam memperkukuh semangat saya untuk meneruskan khidmat demi umat dan negara,” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.

Azmin bertemu dengan Dr Zulkifli petang semalam di pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sempena majlis Aidilfitri.

Pada ciapan di Twitternya, timbalan presiden PKR itu turut menyertakan petikan kenyataan yang ditandatangani mufti Wilayah Persekutuan.

Dr Zulkifli dalam kenyataan itu memanjatkan doa supaya Azmin diberikan ketabahan dalam menghadapi kontroversi klip video itu.

“Saya sentiasa berdoa agar Allah yang maha kuasa memberikan kekuatan dan ketabahan yang tinggi dalam menghadapi saat yang genting ketika mana badai fitnah mengganas.

“Semoga gerhana ini berlalu pergi, YB,” petik surat yang ditandatangani Dr Zulkifli pada semalam itu.

Zulkifli juga menasihati Azmin agar berpegang kepada al-Quran dan Sunnah dalam apa juga tindakan yang dilakukan.

“Ingat pesan nabi, akan datang kepada manusia suatu zaman, orang yang berpegang teguh pada agamanya seperti orang yang menggengam bara api,” katanya yang memetik hadis Riwayat al-Tarmizi.

Menjelaskan lanjut, mufti menasihati Azmin agar memperbanyakkan solat dan bermunajat kepada Allah.

“Perbanyakkan solat malam dan munajat kepadanya di sepertiga malam kerana ianya ibarat busur penah yang laju mengena sasarannya. Itu lah senjata yang paling ampuh dan kuat.

“Beginilah para salafussolleh zaman dahulu, mereka merintih dan mengadu kepada Allah SWT sehingga tersingkap segala kabus yang menenggelamkan cahaya yang menyinari,” katanya pada kenyataan itu.

Saya amat terharu dengan pesanan dan nasihat Mufti Wilayah Persekutuan @drzul_albakri untuk saya dan keluarga tatkala badai fitnah mengganas. Pertemuan petang semalam memperkukuh semangat saya untuk meneruskan khidmat demi umat dan Negara.

Susulan daripada kekecohan penyebaran video klip lucah melibatkan seorang anggota PKR dan lelaki didakwa menteri kanan itu, semalam mufti Wilayah Persekutuan tampil memberikan empat panduan untuk umat Islam menghadapi isu tersebut.

Berasakan menjadi tanggungjawabnya sebagai seorang mufti, Zulkifli melampirkan empat tulisannya tersebut melalui pautan yang setiapnya bertajuk Peristiwa al-Ifki (Fitnah Terhadap Aisyah RA): Pengajaran Menghadapi Fitnah Semasa, Bahaya Fitnah, Isu Qazaf: Adakah Termasuk Tuduhan Liwat? dan Tabayyun Dalam Penerimaan dan Penyampaian Berita.

Antara nasihat daripada empat panduan itu ialah, Zulkifli menjelaskan bahawa umat Islam perlu berhati-hati dengan sesuatu tuduhan berkaitan dengan identiti seseorang dan mencari bukti sahih sebelum menentukan sikap supaya tidak terjebak ke kancah fitnah.

http://bit.do/eU6Ub
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here