‘Berbekal RM25, doa ayah dan surat Dr M’ – Kadir kongsi 50 tahun jadi wartawan

‘Berbekal RM25, doa ayah dan surat Dr M’ – Kadir kongsi 50 tahun jadi wartawan

SEMPENA 50 tahun penglibatan dalam dunia kewartawanan, penasihat media perdana menteri, A Kadir Jasin hari ini berkongsi perjalanannya, yang bermula daripada pemberita kadet di Bernama sehingga mengemudi Kumpulan NSTP.

Ia bermula tidak lama selepas tragedi 13 Mei 1969 dan turut melibatkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Berbekalkan duit kocek RM25, doa daripada ayah dan surat pengakuan watak daripada bekas ahli perlimen Kota Setar Selatan, Dr Mahathir Mohamad, saya menaiki bas Mara ke Alor Setar,” katanya menerusi artikel bertajuk “50 tahun menulis membina negara cara saya” di blognya, hari ini.

Pernah berjauhan dengan keluarga sebelumnya ketika bersekolah, Kadir berkata perjalanan itu berbeza kerana ia “tidak ada istilah undur” dan “perpisahan kali ini kekal sifatnya”.

Menurut Kadir, beliau tiba di Kuala Lumpur pada 16 Jun 1969 selepas menaiki kereta api dari Butterworth, Pulau Pinang, dan mula menjadi wartawan kadet di Bernama, yang ketika itu baru kira-kira setahun ditubuhkan.

“Saya adalah daripada kumpulan kedua pemberita kadet yang diambil bekerja…Saya memohon menyertai Bernama setelah lulus HSC, tetapi gagal memasuki universiti,” katanya yang menyifatkan wartawan bukanlah pilihan pertamanya dalam kerjaya.

Kadir berkhidmat di sana selama tujuh tahun, termasuk di Perkhidmatan Ekonomi Bernama yang menurutnya baru ditubuhkan, dan meletakkan jawatan pada Oktober 1976 untuk menyertai Kumpulan New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP).

Untuk rekod, Kadir sememangnya dikenali sebagai penyokong Mahathir dan menjadi penterjemah kepada memoir perdana menteri, A Doctor in the House.

Dalam artikel itu, Kadir turut menceritakan kesusahan tinggal di kawasan setinggan di ibu kota – barangkali seperti yang dihadapi kebanyakan perantau ketika itu – dan bagaimana beliau mengambil peluang mempelajari selok-belok jual beli saham ketika bertugas membuat liputan urus niaga harian di Pasaran Saham Malaysia-Singapura.

Berkenaan pendidikan dalam bidang itu pula, beliau berkata satu-satunya sijilnya dalam bidang itu ialah ketika menyambung pelajaran di Wellington Polytechnic di bawah Biasiswa Rancangan Colombo pada 1971, sebelum mendapat biasiswa kerajaan Jerman Barat untuk mengikuti kursus kewartawanan peringkat tinggi di Institut Kewartawanan Antarabangsa Berlin, selama tiga bulan pada 1977.

Kadir menjadi ketua pengarang kumpulan NSTP ketika Anwar Ibrahim dipecat daripada kerajaan dan Umno pada 1998, dan turut menerima kesan daripada peristiwa itu.

“Saya sedar pelantikan ke jawatan tertinggi jabatan pengarang itu membawa bersamanya risiko yang tinggi.

“Selepas daripada itu tidak ada destinasi lain kecuali kejatuhan dan itulah yang berlaku akibat pendirian saya mengenai cara menangani isu Anwar sebelum dan ketika Pilihan Raya Umum 1999.”

Beliau berkata pendiriannya ketika itu – iaitu isu Anwar tidak patut dihebohkan lagi kerana sudah dihukum penjara – tidak selari dengan sesetengah pimpinan Umno BN .

“(Mereka) berasa legasi Anwar selama 16 tahun dalam Umno wajib dipadamkan dan sesiapa saja yang disyaki sebagai penyokong dan simpatisannya dalam NSTP dikenakan tindakan.

“Ini diburukkan lagi oleh wujudnya beberapa orang dan pihak yang bercita-cita mengambil alih dan menguasai aset media milik Umno,” katanya.

Bagi Kadir, tindakan ke atas “penyokong dan simpatisan Anwar” itu bermakna menyingkirkan dirinya sendiri kerana beliaulah yang melantik dan merestui sokongan mereka terhadap Anwar.

“Maka pada pertengahan 2000 saya berhenti daripada NSTP selepas berkhidmat selama lebih kurang 24 tahun dengannya,” katanya.

Selepas itu, katanya lagi, beliau masih terus menulis dalam akhbar terbitan syarikat itu sebelum diberhentikan satu-persatu kerana memiliki pendirian yang bertentangan dengan mereka yang memimpin editorial akhbar itu.

http://bit.do/eVa38

 

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.