Masjid 30 tahun rosak kena petir

Masjid 30 tahun rosak kena petir

 

BATU PAHAT — Sistem pendawaian elektrik Masjid Jamek Kampung Mohd Noor, Parit Sulong di sini yang berusia 30 tahun rosak akibat disambar petir dalam kejadian kira-kira jam 6.40 petang, 10 Jun lalu.

Berikutan kejadian itu, penduduk terpaksa mendirikan solat dalam keadaan tidak selesa kerana semua peralatan elektrik tidak boleh digunakan dan berharap pihak berkuasa akan membaiki kerosakan itu secepat mungkin.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Mohd Noor, Mohd Nazreen Abdul Samad berkata, kerosakan disedari jemaah masjid yang hadir untuk menunaikan solat Isyak selepas mendapati masjid itu dalam keadaan gelap.

“Sebelum Isyak kawasan ini hujan lebat dan kilat namun kami tidak menyangka masjid ini dipanah petir. Apabila kami memanggil kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk melakukan pemeriksaan, mereka mendakwa semua sistem pendawaian di masjid termasuk wayar neutral mengandungi arus elektrik.

“Masalah sistem pendawaian berusia lebih 30 tahun itu mungkin salah satu faktor kerosakan bertambah buruk berbanding kerosakan sebenar dan jumlah kos terpaksa ditanggung lebih tinggi,” katanya.

Mohd Nazreen ditemui selepas menerima lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan, hari ini.

Menurut Mohd Nazreen, kejadian itu baru kali pertama berlaku namun ia menyebabkan kariah masjid terpaksa mendirikan solat dalam keadaan tidak selesa dan bergantung kepada lampu yang disambung buat sementara waktu.

Sementara itu, Aminolhuda berkata, akan menyalurkan bantuan segera kepada masjid berkenaan dan mengakui beberapa masjid serta surau lain di dalam DUN Parit Yaani mempunyai masalah sistem pendawaian.

“Walaupun sistem pendawaian masjid ini rosak disebabkan disambar kilat, mungkin terdapat faktor-faktor lain seperti sistem pendawaian elektrik yang agak lama dan tidak sesuai, ia perlu dibaiki segera kerana dikhuatiri akan menyebabkan litar pintas.

“Pada peringkat awal, saya minta pengurusan masjid dan surau memeriksa sistem pendawaian dengan pihak bertanggungjawab sama ada sistem digunakan ketika ini masih selamat atau sebaliknya,” katanya.

-NSTP

 

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.