3 Selangor ikut jejak JDT, TFC?

0
2
MOHD. Firdaus Mohamed (berdiri) tetap yakin Selangor United tidak akan digabungkan dengan Selangor atau PKNS dalam Liga M musim depan.

 

Oleh KAKI BANGKU

 

SELANGOR bakal berwajah hampir serupa seperti mana Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC yang memiliki pasukan utama dan kedua dalam penyertaannya pada Liga Super dan Perdana mulai musim depan.

Daripada tiga pasukan negeri Merah Kuning itu sekarang – Selangor, PKNS FC dan Selangor United FC,  mungkin hanya tinggal dua pasukan yang dibenarkan bersaing dan dibiayai dengan peruntukan kerajaan negeri.

Selangor dan PKNS FC yang bersaing sesama mereka dalam Liga Super dibimbing oleh bekas jurulatih negara, B. Sathianathan dan Datuk K. Rajagobal manakala Talib Sulaiman melatih Selangor United dalam Liga Perdana.

Penyusunan semula mereka bertujuan menjimatkan peruntukan kerajaan negeri yang dikatakan mencecah puluhan juta RM dan akan dibuat secara menyeluruh, melibatkan peringkat pasukan bola sepak elit, belia, futsal dan wanita.

Langkah penyusunan semula ketiga-tiga pasukan itu diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri Selangor United FC di Ampang, Selangor, semalam.

“Selangor dan PKNS di bawah satu badan induk FAS (Persatuan Bola Sepak Selangor) ada tradisi tertentu dalam bola sepak Malaysia manakala Selangor United bernaung di bawah Persatuan Bola Sepak Melayu Selangor (PBMS).

“Kami akan cuba selaraskan perjalanan ketiga-tiganya supaya lebih mantap bersaing dan mengurangkan pembaziran kosnya,” katanya yang pernah menjadi pengurus pasukan Red Giants menjulang Piala Malaysia buat kali ke-33 pada tahun 2015.

Amirudin turut  mengumumkan penyerahan pengurusan Akademi Bola Sepak Merah Kuning di Puncak Alam kepada Selangor United FC mulai bulan ini yang akan menjalankan program pembangunan bola sepak akar umbi dan sekolah-sekolah.

Presiden Selangor United, Mohd. Firdaus Mohamed turut menegaskan, “Selangor United masih merupakan sebuah entiti yang berbeza langsung dengan dua lagi pasukan berkenaan (Selangor dan PKNS FC).

“Mungkin (kerajaan negeri) ada perancangan lain bagi Selangor United FC, mungkin juga kami tidak digabungkan kerana kami masih bernaung di bawah Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM).

“PBMM juga merupakan ahli gabungan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) yang memiliki dua undi dalam pemilihan pucuk pimpinannya dan setaraf persatuan bola sepak negeri-negeri lain,” katanya yang juga Presiden PBMM.

—BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here