Harimau Malaya terlepas Kuwait tapi ada lagi gergasi Asia…

0
3
HARIMAU Malaya yang melonjak ke ranking ke-159 dunia, sah tidak akan diundi dengan Kuwait tetapi banyak lagi gergasi Asia yang menantinya menjelang majlis undian rasmi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022-Piala Asia 2023 di Bukit Jalil, 17 Julai ini.

 

Oleh KAKI BANGKU

 

BAYANGAN nasib Harimau Malaya menjelang majlis undian Kelayakan Piala Dunia 2022-Piala Asia 2023 pada 17 Julai ini semakin jelas apabila diletakkan dalam Balang 4 oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), semalam.

Skuad Tan Cheng Hoe berjiran dalam balang itu dengan Turkmenistan, Myanmar, Hong Kong, Yemen, Afghanistan, Maldives dan satu-satunya negara Asia yang pernah beraksi dalam pusingan akhir Piala Dunia 1982 dan juara Piala Asia 1980, Kuwait.

Justeru Malaysia boleh menarik nafas lega kerana tidak akan diundi lagi dengan Kuwait selain enam lagi negara yang ranking dunia mereka tidaklah begitu jauh termasuk Afghanistan yang ditewaskannya 2-1 dalam Piala Airmarine 2019, Mac lalu.

Begitu juga dengan Myanmar yang dijinakkan Harimau Malaya 3-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil dalam saingan Kumpulan A Piala AFF 2018, November lalu.

Skuad Cheng Hoe memasuki undian kelayakan ini sekali gus pusingan kedua dengan membuli lawan kerdil, Timor Leste 12-2 secara agregat dalam pusingan pertama timbal balik di Bukit Jalil pada 7 dan 11 Jun lalu.

Kemenangan ‘Raya Gol’ pada minggu pertama Aidilfitri itu turut melonjakkan Harimau Malaya ke ranking ke-159 dunia, Jumaat lalu berbanding 168 sebelumnya yang turut mempengaruhi kedudukan Balang 4 tersebut.

Namun empat lawan dan kumpulan mana yang menjadi jodoh Malaysia dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022-Piala Asia 2023, bakal lebih jelas diketahui pada majlis undian rasmi di Rumah AFC, Bukit Jalil.

“Pindaan venue undian ini (dari Doha, Qatar seperti jadual asal) diputuskan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa). Penentuan balang ini juga berdasarkan ranking terbaharu FIFA,” kata Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John Paul kepada Bebasnews di sini hari ini.

Balang 1 yang mengandungi Iran, Jepun, Korea Selatan, Australia, Qatar, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan China turut akan mengasingkan mereka apabila diundi dalam pusingan kedua ini.

Iraq, Uzbekistan, Syria, Oman, Lebanon, Kyrgyzstan, Vietnam dan Jordan diletakkan dalam Balang 2; Palestin, India, Bahrain, Thailand, Tajikistan, Korea Utara, Taiwan dan Filipina (Balang 3) manakala Indonesia, Singapura, Nepal, Kemboja, Bangladesh, Mongolia, Guam, Macau atau Sri Lanka (Balang 5).

Hanya juara kumpulan dan empat naib juara terbaik daripada lapan kumpulan pusingan itu, akan mara ke pusingan akhir Piala Asia dan terus memburu empat setengah tiket Piala Dunia – satu misi yang bersejarah besar jika berjaya dicapai skuad negara.

Saingannya akan berlangsung dari 5 September ini hingga 9 Jun 2020 dan andai kata tersasar pada peringkat ini, kita boleh melupakan Piala Dunia dua tahun lebih awal namun masih perlu melalui play-off dan pusingan ketiga untuk tiket Piala Asia edisi ke-18 di China pula.

MALAYSIA tidak pernah layak ke pusingan akhir Piala Dunia sejak menjadi ahli gabungan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada tahun 1956 dan menyertai Kelayakan Piala Dunia mulai tahun 1973.

Kita hanya pernah mara ke pusingan akhir Piala Asia sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1976 di Iran dan tahun 1980 di Kuwait secara merit serta layak automatik selaku tuan rumah bersama edisi tahun 2007.

KEDUDUKAN balang menjelang undian pusingan kedua kelayakan Piala Dunia FIFA 2022-Piala Asia AFC 2023.
—BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here