Jepun, Filipina tentukan ‘darjat’ Bunga Raya

Apa sahaja keputusan menentang Hong Kong untuk melengkapkan jadual Sabtu ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil tidak akan mengubah apa-apa posisi corot milik Bunga Raya dalam Divisyen Perdana selepas itu.

Jepun, Filipina tentukan ‘darjat’ Bunga Raya
FLYHALF Malaysia, Mohd. Fairuz Ab. Rahman (tengah) antara tonggak Bunga Raya yang menyumbang mata menerusi conversion dan sepakan penalti sepanjang aksi Divisyen Perdana ARC 2019.

 

Oleh KAKI BANGKU

 

KEDUDUKAN Malaysia sama ada akan kekal dalam Divisyen Perdana Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2020 atau sebaliknya, bergantung kepada pencapaian kuasa utama benua, Jepun dalam Piala Dunia, September ini.

Satu lagi kemungkinan yang menanti skuad Bradley Moni Mika ialah sekiranya juara Divisyen Satu ARC 2019, Filipina turut berhajat untuk mencabar penghuni tempat corot Divisyen Perdana bagi playoff kenaikan tahun depan.

Apa sahaja keputusan menentang Hong Kong untuk melengkapkan jadual Sabtu ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil tidak akan mengubah apa-apa posisi corot milik Bunga Raya dalam Divisyen Perdana selepas itu.

Skuad negara kalah kedua-dua perlawanan dengan Korea Selatan 52-14 dan 38-16 di Stadium Namdong Asiad, Incheon dan Bukit Jalil pada bulan lalu.

Namun mereka buat kali pertamanya meraih mata liga Divisyen Perdana ARC setelah hanya tewas 30-24 di Hong Kong berdasarkan jurang mata dan trynya, Sabtu lalu.

Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, “Jepun perlu menduduki antara 12 tempat teratas Piala Dunia di tanah airnya supaya mereka tidak perlu kembali beraksi dalam Divisyen Perdana ARC 2020.

TONGGAK import Fiji, Sakiusa Terence Gavidi (dua dari kiri) yang memperkasa Bunga Raya manakala Syahir Asraf Rosli bakal menggalas peranan kapten baharu ekoran ketiadaan K. Dinesvaran.

“Inilah makluman yang saya peroleh ketika menghadiri mesyuarat Majlis Ragbi Asia di Taipei, kira-kira dua minggu lalu,” katanya kepada Bebasnews ketika dihubungi di sini.

Mengenai Filipina pula katanya, mereka juga berhak untuk menolak bermain Divisyen Perdana 2020 seperti mana Malaysia melakukannya pada 2017 atas alasan belum cukup bersedia selain kerana bukan bertaraf Kelayakan Piala Dunia.

“Saya difahamkan Filipina turut perlu bermasalah dalam menghimpunkan ramai pemainnya dari serata dunia dalam satu jangka masa tertentu jika tetap mahu main playoff Divisyen Perdana,” katanya.

Mengenai ketiadaan kapten, K. Dinesvaran untuk menentang Hong Kong, Sabtu ini, katanya, “kami mungkin kembali meletakkan Syahir Asraf Rosli sebagai penggantinya. Dulu dia pun pernah jadi kapten, tiada masalah.”

Dinesvaran atau juga dikenali sebagai Dugro, perlu kembali ke Jepun untuk melapor diri dengan kelab baharunya, Hino Red Dolphins yang akan memulakan saingan musim baharu liga profesional mereka.

Shahrul turut menolak andaian segelintir pemerhati ragbi negara yang cuba mempeleceh aksi terbaik Bunga Raya menentang Hong Kong, Sabtu lalu kerana tuan rumah hanya menurunkan barisan pilihan kedua mereka.

“Tahun lalu, Hong Kong hanya turunkan barisan kedua juga tetapi kita kena lagi teruk, 67-8 dan 91-10. Lawan ada kelebihan daripada segenap segi, gelanggang sendiri dan ranking dunia (24 berbanding 48 kita) tetapi Bunga Raya mempamerkan prestasi membanggakan dan bersejarah kerana meraih mata liga pertama Divisyen Perdana,” katanya.

—BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.