Surat Terbuka kepada Melayu

Benar atau tidak terpulang kepada sama ada kita mahu menelitinya secara ikhlas dan kemudiannya menghadapi kenyataan tanpa emosi.

Surat Terbuka kepada Melayu

KAMI ingin mengajak saudara yang berbangga menjadi orang Melayu supaya membaca surat terbuka ini.

Ada orang mengatakan orang Melayu itu malas, tak bekerja keras, tak suka bayar hutang dan macam-macam lagi yang negatif. Lalu kita pun marah.

Kami telah banyak memikirkan hal ini. Benar atau tidak terpulang kepada sama ada kita mahu menelitinya secara ikhlas dan kemudiannya menghadapi kenyataan tanpa emosi.

Saya telah bertanyakan seorang  rakan mengenai perkara  ini.  Beliau  tidak  komen tentang sifat-sifat Melayu yang dikatakan itu, tetapi berkata : “Kita wajib menyediakan minda Melayu untuk bersaing, dan bukan lagi berada dalam minda yang bergantung pada ihsan budi bicara. Sudah 61 tahun, generasi kita ini lahir selepas Merdeka,dan kemudiannya selepas DEB. kita tak sepatutnya boleh lagi menyalahkan dasar diskriminasi kolonial”.

Rakan kami itu memberi contoh perbandingan tiga bangsa yang berlainan  mengenai sikap. Katanya: “Sebagai perbandingan, saya ada tiga pemandu di tiga buah syarikat. Seorang PEMANDU berbangsa INDIA menanggung sendiri anak sulungnya belajar di IPTS  IUMW ditanggung sendiri  oleh kerana dia bukan Bumiputra.

Keputusan SPM anaknya itu ialah 7A dan 2B. Dia tidak dapat tempat dalam IPTA. Seorang lagi PEMANDU berketurunan SIKH, mempunyai seorang anak di UTAR seorang lagi di SUNWAY.

Keduanya dapat 7A dan 2B , tapi gagal ke IPTA. Tetapi mereka tak ada ITM atau matrikulasi. Untuk masuk tahun pertama di UTAR dia pinjam RM 3,000 drpd saya. Tapi saya menghadiahkannya RM1,000.

Saya minta dia membayar balik baki RM 2,000 itu bila dia mampu. Dia memilih untuk membayar balik RM 500 sebulan. Empat  bulan berikutnya hutang pun selesai. Saya kata bayarlah sikit sikit kerana gaji dia  kecil,  tapi dia ada maruah,  dan  mahu  menyelesaikan hutangnya secepat mungkin.

Sikap ini sangat berbeza dengan sesetengah peminjam PTPTN. Berbanding PEMANDU Melayu  yang  ada empat   anak dengan  keputusan  SPM yang lebih rendah  yang  berjaya kesemuanya masuk UiTM.

Bangsa Bukan-Melayu ini menjadi kuat dan lebih berazam kerana mereka tidak ada keistimewaan. Bangsa kita menjadi semakin lemah kerana terlalu dimanjakan. Saya bimbang bahawa dasar yang terlalu lama yang memberi kemudahan dan kepada bangsa Melayu akan melemahkan Melayu.

Ini pula cerita – cerita lain : “Seorang mantan pegawai tersangat tinggi jawatan dalam perkhidmatan kerajaan yang  berbangsa Melayu, selepas bersara menghabiskan masa bermain golf dari tempat ke tempat ke luar negara setiap 3 bulan sekali bersama rakan-rakan.

Dia mencari rakan-rakan untuk membantunya bagi mendapatkan tempat untuk anaknya belajar di UITM. Saya syorkan dia tempatkan anaknya itu di sebuah IPTS yang diiktiraf menyediakan pengajian undang-undang berkualiti tinggi. saya terkejut dengan jawapannya yang mengatakan bahawa dia tidak mampu. Tetapi dia boleh mengelilingi dunia bermain golf 3-4 kali setahun.

Pada tahun 2007, ketika mendaftar anak saya untuk kursus ACCA di SUNWAY, hadir bersama saya seorang pelajar perempuan India dari Bidor. Ayah dan ibunya adalah guru rendah sekolah Tamil telah menabung insurans pendidikan sejak usia anaknya itu berusia setahun, kerana kedua ibu bapa sedar mereka bukan Bumiputra dan tak ada keistimewaan.

Seorang  pelajar  Cina  dari Sitiawan,  kedua  ibu  bapanya  guru  sekolah  rendah  Cina  juga menyatakan bahawa mereka menabung setiap bulan sejak hari pertama anak mereka lahir bagi tujuan pengajian ke universiti. Dia ke Universiti SUNWAY.”

Kami menceritakan kisah-kisah ini semata-mata untuk membangkitkan bangsa Melayu supaya membina kekuatan minda dan fizikal untuk bersaing , memupuk semangat juang yang kental yang tidak mengenal kalah. Melalui perlakuan sebegini, semua orang pasti boleh berada di depan.  Kalau  tidak  dipecahkan  ruyung  manakan  dapat  sagunya.  Kalau  Melayu  tidak melangkah gah, manakan boleh jadi panglima.

Sayugia dimaklumkan bahawa kami sekali-kali tidak mengatakan Melayu itu malas. Tidak juga sekali-kali mahu melihat keistimewaan orang Melayu yang telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia yang ada itu diabaikan.

Selagi undang-undang itu wujud, ianya mesti dilaksanakan. Kami turunkan sebuah sajak dengan harapan dapat dihadamkan bagi mengubah sikap:

 

Bukan Aku

Aku kah itu
yang duduk di bangsal
tunggu menanti gugurnya durian?
Bila buah jatuh sahaja
akukah itu
yang terus mengopeknya
lalu makan
tanpa soalan?

Bila buah berlonggokan
akukah itu
yang ambil jalan senang
menjual durian pada pemborong
tanpa hitung?

Bukan aku itu!
Aku tidak makan
kalau belum kutahu
mengapa gugur mesti ke bawah
kenapa naik mesti ke atas.

Bukan aku itu!
aku takkan lelong
kalau sudah kutahu
pemborong bayarnya rendah
jual sendiri pulangan menyerlah.

Bukan aku itu
yang ambil mudah!
Kerana aku Melayu
yang tak mudah kalah.

 

 Oleh Dato’ Prof. Emeritus Dr. Hashim Yaacob
Mantan Naib Canselor  UM
dan
Adi Sukma
Aktivis Muda

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.