Polis lepas tembakan dialih tugasan

Polis lepas tembakan dialih tugasan

ALOR SETAR — Anggota polis trafik yang didakwa melepaskan tembakan sehingga mencederakan tukang paip di Jalan Langgar, di sini, semalam, dalam pertimbangan untuk dialihkan penugasannya ke bahagian pengurusan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata siasatan menyeluruh sedang dijalankan kepada kedua-dua pihak yang terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Anggota berkenaan juga sudah pun membuat laporan polis selepas kejadian dan buat masa ini, dia tidak ditahan tugasnya dalam perkhidmatan polis sebaliknya akan dipertimbangkan untuk dialihkan penugasannya daripada penguatkuasaan kepada pengurusan.

“Dalam hal ini, apa yang kita nampak kedua-duanya melakukan kesalahan, baik dari pihak mangsa juga dari pihak polis namun terpulang kepada siasatan yang akan dijalankan nanti,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Rozi turut menafikan dakwaan keluarga mangsa dalam sidang media malam tadi yang menyatakan mangsa ditinggalkan oleh anggota polis itu dalam keadaan berlumuran darah.

“Terpulang kepada mereka (keluarga mangsa) untuk mengatakan apa sahaja tetapi anggota kami tidak pernah berbuat demikian dengan meninggalkan mangsa di tepi jalan.

“Malah, kenyataan bahawa anggota trafik itu memberi amaran supaya tidak memberitahu sesiapa sahaja mengenai perkara itu juga adalah tidak benar dan biarlah siasatan dijalankan terlebuh dahulu untuk mengetahui perkara ini,” katanya ketika dihubungi.

BH Online malam tadi melaporkan, seorang tukang paip cedera di lengan kiri terkena tembakan seorang anggota polis trafik ketika mangsa yang sedang membonceng motosikal rakannya gagal memberhentikan motosikal di persimpangan lampu isyarat Jalan Langgar berhampiran Jalan Datuk Kumbar, di sini.

Dalam kejadian sekitar jam 10 pagi itu, mangsa Mohamad Alif Aiman Anuar, 21, dari Kuala Kedah sedang membonceng motosikal ditunggangi rakannya untuk ke tempat kerja mereka di Alor Mengkudu, di sini.

Namun, rakan mangsa gagal memberhentikan motosikal di persimpangan lampu isyarat berkenaan menyebabkan polis trafik yang kebetulan berada di jalan itu bertindak mengejar motosikal yang dinaiki mereka sebelum melepaskan tembakan.

Tembakan yang disasarkan pada tayar motosikal berkenaan bagaimanapun tersasar dan mengenai lengan kiri Mohamad Alif menyebabkan mereka terpaksa memberhentikan motosikal.

-Berita Harian
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.