Hong Kong gerun biarpun berpesta meratah Bunga Raya

0
50
SCRUM half Malaysia, Mohamad Khairul Abdillah Ramli (kanan) mengumpan bola kepada rakan biarpun hampir tertiarap dalam perlawanan Divisyen Perdana ARC 2019 menentang Hong Kong di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam. – Foto KRM

 

Oleh KAKI BANGKU

 

BUNGA Raya diakui bukan tandingan sepadan Hong Kong yang membelasahnya 71-0 dalam saingan Divisyen Perdana Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2019 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Pelawat yang dibarisi majoriti ‘Mat Saleh’ atau pemain celup Hong Kong sudah bertaraf profesional jika hendak dibandingkan status amatur anak-anak buah Bradley Moni Mika biarpun masih diperkasa lima pemain import dari Fiji.

Di sebalik kekalahan teruk ini, skuad negara telah menghantar mesej jelas kepada lawan pada 15 Jun lalu bahawa jangan sesekali cuba memperkecilkan kemampuan mana-mana lawan yang baru dua tahun menikmati saingan divisyen tertinggi Asia ini.

Hong Kong hanya membariskan barisan pilihan kedua ketika hampir dikejutkan Bunga Raya sebelum menang 30-24 di Kelab Bola Sepak Hong Kong itu dan mereka tiba-tiba nekad kembali mempertaruhkan 15 utama di Bukit Jalil.

Ertinya, ada rasa gerun di hati jurulatih Hong Kong, Andrew Hall untuk mempertahankan reputasi dan status juara bertahan divisyen ini serta dia tidak sesekali rela diaibkan Malaysia di depan penyokong tuan rumah.

Ketika kali pertama Bunga Raya menjejak kaki divisyen ini tahun lalu, Hong Kong turut membelasah skuad bimbingan warga tempatan, Lee Nyuk Fah ketika itu, 67-8 dan 91-10.

“Hong Kong menampilkan pemain-pemain yang berbeza (berbanding perlawanan pertama lalu). Mereka buat kerja rumah dengan baik. Berikan kami dua atau tiga tahun lagi, pasukan negara akan jadi yang lebih baik.

“Saya tetap bangga dengan pasukan ini,” kata Wong Wye Wye atau Marc Le yang juga sayap Bunga Raya, mengambil alih peranan kapten negara daripada K. Dinesvaran yang terlepas aksi semalam kerana perlu menyertai kelab Jepun, Hino Red Doplhins.

Marc mengakui, ketiadaan Dugro (Dinesvaran) cukup terkesan tetapi ramai pemain muda yang tampil semalam membuktikan bahawa budaya ragbi dan semangat kekeluargaan sudah kukuh tertanam di dada setelah mengerah sehabis mungkin kudrat mereka.

Mika, jurulatih negara dari New Zealand merujuk kepada kesulitan Bunga Raya pada gerakan scrum yang memberikan kesan besar kepada kebanyakan permainan mereka dalam menyaingi Hong Kong yang berkelebihan dalam serba segi.

“Di sebalik angka keputusan itu, ikhtiar mereka wajar dipuji. Anda perlu banyak belajar (daripada kalah 71-0 ini) dan Hong Kong sebuah pasukan yang agak kronik (semalam). Kita boleh bermain baik minggu lalu tetapi minggu depan kisahnya sudah berlainan. Inilah pengajaran buat kami,” katanya.

Secara diplomasi demi menjaga hati tuan rumah, Hall mengungkap, “Malaysia banyak meningkat dari tahun lalu. Berada dalam divisyen tertinggi ini bagus untuk ragbi anda. Minggu lalu, pasukan anda agak berbahaya (sehingga berjaya mengumpul satu mata liga yang pertama dan bersejarah).”

–BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here