Johor: Kejadian sama kembali berulang

0
2
BEBERAPA pelajar yang kelihatan lemah dan mempunyai simptom pening kepala dan loya tekak susulan pencemaran bau di kawasan Pasir Gudang dibawa keluar oleh ambulans dari perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Nusa Damai Pasir Gudang. NSTP/MOHD AZREN JAMALUDIN

 

 

PASIR GUDANG — “Ini kali kedua tahun ini, kesihatan anak saya terjejas disebabkan pencemaran bau, pihak berkuasa perlu lebih serius tangani masalah ini,” kata suri rumah, Nurshahila Abd Raof, 32.

Nurshahila berkata, anaknya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kopok menunjukkan simptom merisaukan sehingga terpaksa dibawa kePusat Gerakan Operasi Pemantauan (PGOP) Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) untuk menjalani pemeriksaan.

Katanya, anak perempuannya, Nursyakila Adawiyah Roslan, 11, muntah sewaktu sesi pembelajaran kira-kira jam 11.30 pagi sebelum guru sekolah memaklumkan kepadanya.

“Ini kejadian kedua berlaku pada anak saya. Ketika kes pencemaran Sungai Kim Kim di Taman Pasir Putih, saya, suami dan anak saya sakit sehingga tiga kali mendapatkan rawatan susulan di klinik kesihatan berhampiran.

“Ketika saya sedang berehat di rumah, guru sekolah menghubungi saya memaklumkan anak saya muntah dan pengsan dan dibawa ke stadium menggunakan ambulans.

“Belum ada arahan SK Kopok ditutup, tetapi saya risau kerana ia secara tidak langsung mengganggu sesi persekolahan dan kesihatan anak,” katanya yang menetap di Taman Desa Rakyat Perdana, di sini.

Sementara itu, Kakitangan Kerajaan, Rafizah Rasib, 30, berkata anaknya yang juga bersekolah di SK Kopok tidak mendapat arahan sesi persekolahan ditangguhkan berikutan waktu kejadian sudah hampir tamat sesi pagi.

“Kira-kira jam 12.30 tengah hari, saya perasan ada guru memaklumkan di sekolah anak ada kes kemungkinan murid pengsan tetapi keadaan masih terkawal.

“Apabila anak saya tiba di taska transit, tiba-tiba penjaga memaklumkan anak saya muntah, saya terus pergi ke taska untuk mengambilnya dan segera membawanya untuk mendapatkan rawatan di stadium ini.

“Anak ada mengadu sesak nafas, selain kelihatan lemah dan sehingga kini pihak perubatan belum memberitahu apa punca sakit dialami anak,” katanya.

Difahamkan, PGOP menerima pesakit dan memberikan rawatan awal kepada mangsa dari SK Kopok Masai, SK Taman Bukit Dahlia dan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Nusa Damai, sekiranya keadaan serius mangsa akan dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI).

-NSTP
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here