Calon PM: Adakah pilihan Tun M kali ini tepat atau lebih teruk?

1
106

SAYA menulis ini sebagai rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia yang tiada  tempat lain untuk menginap.

Jika orang lain ada rumah-rumah hinggap di kota raya London, New York, Australia atau bandar-bandar besar lain, saya cuma ada di Malaysia sahaja.

Jika orang lain ada wang berjuta-juta ringgit di bank-bank tempatan atau luar negara, duit saya hanya cukup untuk makan sahaja.

Jika orang lain bergelumang dalam parti-parti politik untuk mendapatkan kekuasaan atau glory diri, saya cuma ada diri saya dan keluarga saya sahaja.

Tapi sebagai rakyat Malaysia saya ada kuasa mengundi dan sudah tentu; kami juga mahu tentukan siapa Perdana Menteri bagi negara tercinta ini.

Tun Mahathir telah jelas menyatakan “saya tidak mahu buat silap lagi dalam memilih pengganti.”

Saya sebagai wartawan, waima rakyat biasa sekali pun kita tahu pilihan beliau sebelum ini memang silap.

Walaupun ada yang mengatakan silap atau tidak itu cukup subjektif, tetapi rata-rata mengatakan ia silap dan akhirnya Perdana Menteri yang lepas telah membuktikannya. Sebuah kerajaan yang memerintah selama lebih 60 tahun tumbang.

Perdana Menteri terdahulu telah mencatat sejarah bagi negara ini dan diri beliau sendiri.

Tetapi selepas Tun Mahathir ini, adakah beliau akan memilih Perdana Menteri yang silap lagi?

Adakah seperti Pak Lah dahulu, atau Najib atau lebih silap dan lebih teruk lagi?

Namun, rakyat sedang melihat. Saya melihat. Rakan-rakan melihat, jika calon-calon beliau adalah itu dan ini — yang sedang diperkatakan sekarang — maka percaturan beliau akan lebih silap lagi.

Dulu saya pernah berkata “sekiranya orang itu sebersih nabi sekali pun, tetapi jika imej dan dirinya tercemar — atau jika jutaan orang tidak pasti mengenai kesuciannya — maka carilah calon lain”.

Analogi yang nyata ialah: Jika Najib itu sebersih-bersih orang sekali pun, tetapi dia diadu-domba setiap hari dengan pembagai tuduhan, adalah beliau layak mengepalai pilihan raya negara?”

Akhirnya dalam PRU14 kerajaan beliau terbalik.

Maka, jika Anwar sebersih nabi sekali pun, tetapi sejarahnya cukup diragui orang atau diperkatakan orang, adakah kita semua mahu memilih beliau sebagai Khalifah negara ini?

Jika, Azmin sekalipun seorang yang paling baik, paling cemerlang dan bijak; namun dicalarkan dengan tohmahan (yang entah siapa dalangnya) maka adakah beliau adalah calon yang baik selaku PM dan Khalifah negara ini?

Tetapi, Tun Mahathir berkata, beliau tidak mahu membuat silap lagi?

Pilihlah orang lain yang tidak kontroversi, dan yang tidak mengganggu emosi dan jiwa kita sebagai pengganti beliau?

Jika Tun M merasakan dia berdosa dengan Ku Li ekoran “perbalahan politik” beliau dulu — yang rata-rata orang mengatakan Ku Li dianiaya, adakah itu calon terbaik selaku PM de facto bagi negara ini, sehingga keadaan dapat diredakan?

Ku Li tidak pernah membawa perbalahan itu ke jalanan untuk menghuru-harakan negara ini?

Adakah Tun M merasakan “inilah masanya bagi saya membersihkan diri saya sebelum saya menutup mata dengan aman dan dihormati?”

Atau juga calonnya ialah Rafidah Aziz seperti dalam tulisan saya yang terdahulu? Tolak ke tepi Rafidah jika beliau juga ada “rangka dalam almari”.

Bukan mudah untuk menjadi seorang Khalifah. Antara ciri-ciri pemilihan seseorang Khalifah ialah: Bercakap benar, bersikap amanah, sabar, menjaga batas pergaulan, menjauhi dosa dan menjaga maruah.

Rakyat tengah memerhati, sama ada pilihan Tun Mahathir tepat atau lebih teruk…

— BebasNews
Please follow and like us:
error

1 COMMENT

  1. Bagi saya yang amat tepat sebagai penggantinya adalah Tengku Razaleigh Hamzah.
    Beliau sehingga kini tak pernah pun bersuara tetapi tentunya mempunyai pelbagai fikiran terhadap negara tercinta ini khususnya ideanya bagaimana hendak tentukan negara ini akan terus maju dengan jayanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here