[VIDEO] Fairuz Misran menjadi jelmaan baharu P. Ramlee

1
300

BAGI penggemar dunia hiburan tanah air khususnya kepada bidang nyanyian pasti akan mengakui bahawa kemunculan penyanyi Fairuz Misran adalah menjadi jelmaan baharu P. Ramlee yang sedang hangat diperkatakan dan viral dalam media sosial.

Terkini bagi tahun 2019 menyaksikan sebuah lagu baharu nyanyian Fairuz Misran berjudul ‘Indahnya Raya’ (lagu Harry Khalifah/lirik Achoi) dinyanyikan mirip suara Seniman Agung Allahyarham Tan Sri Dr. Ramlee dengan iringan kombinasi muzik pop malar segar era 1960-an dan 1970-an.

Sejak lagu ‘Indahnya Raya’ ditularkan dalam YouTube oleh MVM Production bermula pada 24 Mei hingga 22 Jun 2019 menyaksikan  dalam tempoh singkat itu berjaya mencatatkan 1,396,723 tontonan merupakan satu rekod yang membanggakan.

Jumlah tontonan yang tinggi untuk lagu ‘Indahnya Raya’ itu dipercayai berpunca daripada penyiarannya dalam YouTube sempena musim Hari Raya Aidilfitri, selain kerinduan mendalam kepada P. Ramlee tetap subur dalam jiwa para peminatnya.

Kebetulan pula Fairuz Misran yang menyanyikan lagu itu memang hampir 90 peratus mirip kepada gaya P. Ramlee dan kemunculannya mendapat sambutan baik dalam kalangan masyarakat.

Berikut sama-sama kita tatap seni kata lagu ‘Indahnya Raya’ yang merupakan satu-satunya lagu raya terbaharu dalam tahun 2019.

INDAHNYA RAYA

Pasang pelita di malam raya
bermain bunga api bersama
ada yang dari rumah ke rumah
takbir bergema

Di pagi Syawal kian rasa
baju Melayu, baju kebaya
tersergam indah yang mempesona
cantik dan lawa

*Chorus:

Di Hari Raya
sanak saudara
berjabat tangan bermaafan
sesama kita

Di Hari Raya
pelbagai juadah
tapi janganlah buat lupa
hai duit raya…

Terasa hati kepiluan
pada yang sudah oh tiada
sebak hatiku masih terasa
sedih dan hiba
kenangan bersama.

*(Ulang korus)

Berikutan kemunculan lagu ‘Indahnya Raya’ dalam YouTube itu, maka terdapat berpuluh ribu komen penonton antaranya dikirim oleh Assyria Lover dari Riau, Indonesia berbunyi: “Lagu raya paling mantap selepas sekian belasan tahun tidak ada lagu punya roh macam ni… Salam dari Kepulauan Riau, Indonesia.”

Komen berikutnya catatan Ryann Medusa: “Terasa macam P. Ramlee masih hidup… tengah menyanyi pada tahun 2019 ini.”

“Bayangkan kalau Fairuz Misran ini orignal Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, terharu sangat dan rasa macam nak menangis bila dengan MV (muzik video) ini rasa macam arwah ada lagi bersama kita,” komen Mohd. Alif pula.

Seterusnya Zainudin Rabani mencatat: “Terima kasih ya Allah kerana Engkau hantar pengganti Allahyarham P. Ramlee… even hanya wajah dan suara yang sama sudah cukup mengubati rindu kami semua… thanks juga kepada pihak produksi kerana buat lagu yang memang sebiji macam era 1980-an 1990-an… I love this so much…”

Untungnya kemunculan Fairuz Misran menyambung kerjaya seni P. Ramlee (Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh meninggal dunia pada 29 Mei 1973) itu mendapat sokongan yang baik daripada jutaan para peminat terutama dari Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia.

Seorang penonton YouTube yang menamakan dirinya Syed Sulaiman Syed Adnan membuat komen: “Anda Fairuz Misran bukan Teuku Zakaria, namun, andalah P. Ramlee ciptaan kedua dari Allah, bukan sengaja meniru-niru.

“Yes!! Sesungguhnya anda tiada meniru-niru, ianya semula jadi dalam jiwa insan seni, walaupun Fairuz Misran namun tetap P. Ramlee yang suatu ketika dulu di dalam jiwa Teuku Zakaria. Saya sungguh gembira melihat semangat perjuangan anda menyusuri karya-karya seni Teuku Zakaria dalam usaha memelihara seni bangsa untuk generasi kita mendatang.” sambung Syed Sulaiman.

Fairuz Misran dalam majlis Iftar Ramadan 2019 bersama anak-anak yatim di Kuala Lumpur berkata, sebelum ini beliau terasa janggal asyik menyanyi lagu-lagu P. Ramlee sahaja.

“Alhamdulillah kini tibalah masanya saya menyanyikan lagu sendiri yang baharu berjudul ‘Indahnya Raya’ hasil ciptaan komposer dan penulis lirik yang berbakat,” ujarnya penyanyi berusia 34 tahun itu.

Memang benar sejak mula dikenali ramai pada tahun 2012, Fairuz Misran hanya menyanyikan lagu-lagu malar segar P. Ramlee sama ada untuk persembahan di kaca televisyen mahupun pertunjukan pentas seluruh Malaysia.

“Saya harap selepas ini saya akan berpeluang merakam lebih banyak nyanyian lagu baharu bagi meneruskan warisan seni perjuangan P. Ramlee,” kata Fairuz Misran yang dilahirkan di Sandakan dan dibesarkan di Kimanis, Sabah.

Bakat, bentuk tubuh badan, aksi dan suara Fairuz Misran yang menyerupai P. Ramlee itu bukanlah dibuat-buat kerana semula jadi begitu dan tidak dipertikai oleh para peminat, malah memberi galakan supaya terus aktif dalam bidang kesenian.

Selain menyanyi, Fairuz Misran turut melakonkan watak P. Ramlee dalam beberapa filem pendek dan iklan, sebelum benar-benar  berlakon dalam filem berskala besar suatu hari nanti kerana perancangan ke arah itu sudah ada dalam perancangan produser filem tempatan.

“Keluarga saya memang meminati seni suara. Saya menyanyi sejak berusia belasan tahun. Berhenti sekejap menyanyi ketika memilih kerjaya sebagai anggota polis. Selepas berhenti kerja polis, saya kembali aktif menyanyi.

“Banyak menyertai pertandingan nyanyian di sekitar Sabah sekitar tahun 2008 dan 2009. Selepas itu mewakili Sabah ke pertandingan Bintang P. Ramlee peringkat kebangsaan anjuran RTM Sarawak di Kuching pada 2010, tapi gagal mendapat kemenangan, mungkin menyanyi kurang penghayatan.

“Saya tidak putus asa berusaha untuk terus mencuba. Akhirnya tahun 2012 saya muncul juara Bintang P. Ramlee peringkat kebangsaan yang berlangsung di RTM Kuching, Sarawak itu,” kayanya bersalut kesyukuran dalam jiwa.

Dalam pertandingan akhir kebangsaan Bintang P. Ramlee 2012 itu Fairuz Misran mendendangkan lagu solo ‘Barang Yang Lepas Jangan diKenang’ dan lagu duet ‘Hancur Badan Dikandung Tanah’ berpasangan dengan Azeani Ismail.

Klip video pertandingan Bintang P. Ramlee 2012 itu masih terdapat dalam YouTube dan sesuai untuk tontonan peminat sebagai perbandingan Fairuz Misran dahulu dan sekarang.

Justeru populariti Fairuz Misran atau dikenali juga sebagai ‘P. Ramlee Sabah’ itu bukanlah dicapai dalam sekelip mata, sebaliknya berjaya setelah teruji dan diiktiraf menerusi kejuaraan berprestij dalam pertandingan Bintang P. Ramlee 2012.

Dari segi suara pula, Fairuz Misran sebagai orang Sabah memang bercakap dalam sebutan baku seperti juga dengan P. Ramlee bercakap sedemikian secara dialek Pulau Pinang dan ini sudah ada penyesuaian dalam kesinambungan kerjaya seni mereka.

Semoga Fairuz Misran yang masih muda panjang umur dan terus kreatif bagi meneruskan kesinambungan perjuangan seni P. Ramlee untuk hudup 1,000 tahun lagi dan bakal dicatat dalam buku sejarah tanah air.

Ini sesuai dengan kata-kata sederhana menjiwai watak tulus seperti P. Ramlee yang diungkapkan oleh Fairuz Misran sendiri: “Saya nak teruskan juga perjuangan seninya. Apa yang saya nak kata, saya buka nak meniru dia (P. Ramlee), (tapi) hanya kerana nak meneruskan karya-karyanya. Kita nak mengembangkannya kepada anak-anak muda kita.”

—BebasNews
Please follow and like us:
error

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here