Syabas Dr Mujahid arah pegawai zakat keluar cari asnaf

0
38

SAYA sungguh bersyukur dengan pendirian Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa bahawa institusi zakat perlu mengambil inisiatif untuk keluar mencari asnaf dan bukan hanya menunggu mereka membuat permohonan di pejabat-pejabat zakat.

Inilah yang sepatutnya dilakukan sejak dahulu lagi.

Malah saya pernah pun menulis tentang mengapa di Selangor golongan miskin yang harus pergi ke pejabat zakat di hadapan Masjid Negeri di Shah Alam untuk membuat permohonan?

Saya pernah melihat sendiri bagaimana seorang tua buta huruf terpaksa berjalan jauh untuk ke pejabat berkenaan bagi mengisi borang permohonan.

Di kawasan itu tidak ada bas awam dan sesiapa yang tidak mempunyai kenderaan terpaksa berjalan jauh.

Bayangkan keadaan asnaf tua itu terpaksa mengharungi kepayahan untuk mendapatkan bantuan yang sememangnya dia layak terima.

Sudahlah demikian, dia yang buta huruf perlu mengisi borang dan terpaksa meminta pertolongan orang lain menolongnya.

Sedih lagi keadaan apabila melihat pegawai-pegawai di situ bukannya prihatin atau bersimpati untuk menolong asnaf tua buta huruf itu mengisi borang, tetapi sibuk berbual dan gelak ketawa sesama mereka sambil menunggu borang permohonan siap diisi.

Apakah tidak terlintas di benak mereka untuk membantu asnaf-asnaf tua dan buta huruf seperti itu?

Keadaan sebegini amat memualkan. Saya pernah mempersoalkan kenapa pegawai-pegawai jabatan itu tidak boleh masuk kampung bertanyakan orang kampung tentang kewujudan penduduk miskin dan daif?

Tentunya orang-orang kampung tahu siapa di antara mereka yang hidup dalam kepayahan dan memerlukan bantuan.

Kita orang Melayu sentiasanya bermurah menghulurkan bantuan kepada yang kesempitan, walau pun keadaan diri sendiri tak seberapa.

Syukurlah menteri kita sekarang prihatin tentang kesulitan dan kerenah yang dihadapi asnaf bagi mendapatkan bantuan yang sememangnya sudah menjadi tanggung jawab mana-mana institusi zakat.

Apakah pegawai-pegawai di pejabat berkenaan sedar bahawa mereka yang sebenarnya harus turun padang mencari golongan fakir miskin untuk diberikan bantuan dan bukannya hanya menunggu di pejabat berhawa dingin bersenang-senang sesama sendiri sambil menunggukan borang permohonan di kemukakan.

Diharapkan selepas ini tidak akan berlaku lagi kisah bagaimana seksanya golongan asnaf tua buta huruf perlu tempuhi untuk mendapatkan bantuan yang sudah menjadi hak mereka.

Kita pun tahu bahawa semua kutipan zakat fitrah bagi setiap tahun perlu habis diedarkan kepada asnaf dalam tahun itu juga.

Tidak boleh ada satu sen pun wang itu yang tinggal atau gagal diedarkan. Bukankah ini tuntutan agama?

Bagaimana pun, malangnya kita juga pernah dengar bagaimana sesetengah Pejabat Zakat melaburkan wang kutipan itu kononnya untuk menambahkan jumlahnya. Kenapa ini boleh berlaku?

Wang kutipan itu bukanlah untuk dilaburkan tetapi perlu habis diedarkan kepada semua asnaf setiap tahun.

Jadi, agaknya bagaimana pegawai-pegawai jabatan itu boleh tidur nyenyak dalam kesedaran bahawa mereka telah gagal melaksanakan tanggung jawab?

Diharapkan selepas ini tidak akan berlaku lagi keadaan seperti mana saya pernah lihat sendiri berlaku di Pejabat Zakat Selangor itu.

— BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here