Daniel dan Ezad Lazim perlekeh Azmi Caliph Buskers?

0
2
Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 

SEWAKTU anggota kumpulan Heart diperkenalkan sebagai peserta program terkini Astro Warna iaitu Muzikal Lawak Superstar semalam dalam satu sidang akhbar, tetamu yang hadir mula membuat spekulasi sendiri.

Ada yang berfikiran Daniel Lawak Solo atau Mohd. Danial Mohd. Zaini dan penyanyi Ezad Lazim sengaja memilih penyanyi Azmi dari kumpulan Caliph Buskers menyertai kumpulan mereka kerana mahu mendapat simpati orang ramai sebab 50 peratus daripada pemarkahan berdasarkan undian orang ramai.

Bagaimanapun Daniel selaku peneraju utama kumpulan Heart menafi dakwaan yang beliau sengaja mengambil Azmi yang cacat penglihatan sebagai salah satu usaha untuk menperoleh undi simpati daripada orang ramai.

Jelas juara program Lawak Solo 2017, beliau mengajak Azmi menyertai Heart bagi menunjukkan yang kumpulan mereka berbeza daripada 13 kumpulan lain yang bertanding.

“Mungkin ramai yang tak tahu, Azmi ni sebenarnya seorang yang kelakar. Sewaktu saya ajak dia menyertai kami pun saya tak yakin dia setuju dan tak sangka dia sudi menyertai saya dan Ezad.

“Saya tak ada niat langsung untuk menggunakan Azmi bagi mendapat undi daripada orang ramai. Saya mahu tunjukkan pada orang luar bahawa rakan saya ini (Azmi) seorang yang kelakar dengan caranya yang tersendiri dan sekali gus memberi ruang padanya untuk mencuba sesuatu yang baharu,” katanya yang turut mendapat sokongan daripada Ezad.

Kata Daniel, bukan penampilan peserta yang bakal menentukan juara atau tidak sesebuah kumpulan itu, sebaliknya corak persembahan yang ditonjolkan lebih penting sama ada konsep itu berjaya atau tidak memikat hati penonton dan juri.

“Kita semua tahu berlawak ini kadang-kadang bergantung kepada ekspresi muka dan pergerakan di pentas, dari segi itu mungkin kumpulan kami agak sedikit terbatas tapi itu semua bukan halangan.

“Kami akan melakukan apa saja tanpa menyentuh perkara-perkara sensitif kerana banyak perkara lain yang boleh diketengahkan berdasarkan topik yang diberi nanti. Selain memberi peluang baharu kepada Azmi, saya pilih dia kerana bakatnya sebagai penyanyi boleh bantu saya dan Ezad nanti,” jelasnya.

Pemilihan Ezad sebagai rakan lawak kerana Daniel yakin dengan kebolehan penyanyi itu selepas melihat vokalis Exist tersebut beraksi dalam beberapa program lawak sebelum ini.

Sementara itu, Azmi yang mendapat sokongan daripada anggota Caliph Buskers berkata, beliau juga tidak sangka mendapat kepercayaan daripada Daniel dan Ezad untuk menyertai Heart.

“Bila ditawar sertai Heart, saya tanya pada Daniel tak takut menyesalkah ambil saya dalam kumpulan mereka. Dia kata, mereka mahu saya untuk nampak kelainan dan saya sendiri tak keberatan untuk mencuba bidang baharu.

“Malah anggota Caliph Buskers turut memberi sokongan kepada saya untuk cuba peluang baharu. Saya juga tidak ada masalah untuk bergandingan dengan mereka kerana sebelum ini kami sering bertegur sapa,” katanya yang minat kumpulan lawak Sepahtu.

Program terkini terbitan Astro Warna itu akan mula bersiaran secara langsung pada pukul 9 malam, Jumaat ini dengan menampilkan 14 kumpulan bertanding untuk merebut hadiah wang tunai nilai RM150,000 sebagai juara selama 10 minggu.

–BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here