Karate bermasalah, perlukah Ali Rustam berehat?

1
103

PERSEKUTUAN Karate Malaysia (Makaf) berhadapan masalah. Ahli gabungannya berpecah dengan 12 daripadanya menentang jawatankuasa induk.

Selepas mengadakan mesyuarat pemilihan Oktober 2018 dengan Nur Azmi Ahmad dipilih sebagai setiausaha menggantikan Vincent Chen, Makaf mula menghadapi penentangan.

Ia menjadi lebih membara pada awal tahun ini apabila Makaf yang memasukkan ‘orang baharu’ daripada hoki, Nur Azmi menerusi presidennya Tan Sri Mohd. Ali Rustam bersepakat menganjurkan saingan karate senior secara terbuka yang mula dipertikaikan.

Bekas setiausaha Datuk Clement Soo daripada Persatuan Karate Goshin-Ryu bersama sebelas lagi gabungan Makaf mula mempersoalkan badan itu yang kemudian melarat. Macam-macam persoalan yang ditujukan kepada majlis eksekutif (Exco) Makaf tidak dilayan banyak kali. Usaha untuk berjumpa dan meluahkan pandangan secara baik juga tidak dipedulikan malah menerima ugutan akan diambil tindakan tegas.

Justeru itu, kumpulan ini yang memiliki majoriti memohon suatu mesyuarat agung luar biasa diadakan atas sebab majlis eksekutif sekarang ‘gagal melaksanakan tugas’. Ia juga tidak diambil kisah oleh pentadbir tertinggi Makaf.

Surat aduan ditulis kepada Pesuruhjaya Sukan untuk campur tangan dan memberi khidmat nasihat. Difahamkan Pejabat Pesuruhjaya Sukan turut menyepi.

Keadaan semakin genting dan pelbagai perancangan perlu dilaksanakan kerana Sukan Olimpik semakin hampir, Karate buat pertama kali dipertandingkan dalam temasya sukan itu di Tokyo 2020. Dua belas gabungan telah memanggil mesyuarat majlis tertinggi Makaf sekali gus bersetuju menetapkan mesyuarat agung luar biasa pada 9 Jun lepas.

Gabungan-gabungan ini tiada pilihan lagi kerana sikap membisu majlis eksekutif Makaf dan tiada ‘bantuan’ daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan. Mesyuarat agung luar biasa yang dihadiri lebih separuh daripada gabungan Makaf mengemukakan undi tidak percaya kepada seluruh anggota majlis eksekutif Makaf. Keputusan ini juga akan memastikan suatu pemilihan baharu.

Apakah keputusan yang dilakukan kumpulan 12 gabungan sah daripada sudut perundangan? Secara realitinya keputusan mengadakan mesyuarat agung luar biasa perlulah datang daripada Makaf sendiri. Tetapi disebabkan Makaf hanya membisu, gabungan ini telah memanggil mesyuarat majlis tertinggi untuk menentukan mesyuarat agung dimaksudkan. Apakah ini bertepatan dengan peruntukan dalam perlembagaan Makaf?

Nur Azmi selaku setiausaha baharu Makaf siang-siang lagi telah memberitahu bahawa Makaf akan mengambil tindakan mahkamah ke atas lima gabungan. Persatuan dari Wilayah Persekutuan/Putrajaya, Goshin-Ryu, Perak, Pulau Pinang dan Pahang beberapa hari lalu telah disingkir sebagai gabungan Makaf. Gabungan ini merupakan lima daripada 12 yang hadir dalam mesyuarat agung luar biasa itu.

Tetapi kenapa hanya lima sahaja dikeluarkan daripada Makaf? Atau selebihnya sudah menikam dari belakang?

Apa pun dapatlah kita lihat bahawa kumpulan penentang ini yang diketuai oleh Clement seakan-akan sudah nampak bahawa hala tuju Makaf yang semakin kabur manakala Nur Azmi yang merupakan ‘orang baharu’ dalam karate terlalu ingin menjaga diri agar tidak senang dihumban keluar. Clement juga mungkin kecewa  ‘bersara’ awal sebagai setiausaha kerana difahamkan dapat merasakan bahawa Makaf gagal dipacu dengan sebetul-betulnya.

Atau era Mohd. Ali Rustam dalam Makaf semakin menghampiri ke penghujung. Bukan sahaja kepemimpinan karate malah sukan lain seperti tinju, bina badan, sepak takraw dan renang memerlukan perubahan segera.

—BebasNews
Please follow and like us:
error

1 COMMENT

  1. Inilah sukan Malaysia yang semakin hari semakin sakit ibaratkan kanser yang menjadi penghalang kepada kelestarian sukan. Peranan pihak PJS yang lantang memberikan penghakiman tanpa menyelidik dan mendengar permasalahan dan menjadi orang tengah telah berubah menjadi HAKIM tanpa pembelaan. Kalau ikan busuk di kepala manakan badan fresh sentiasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here