Kerajaan tidak bercadang kenakan cukai warisan dalam Bajet 2020

0
1

KUALA LUMPUR — Kerajaan tidak bercadang mengenakan cukai baharu dalam Bajet  2020 khususnya berhubung cukai warisan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata terdapat banyak khabar angin mendakwa kerajaan Pakatan Harapan akan memperkenalkan cukai warisan.

“Ia tidak mungkin. Jika ada, ia hanya susulan kepada apa yang kami telah umumkan dalam Bajet  2019,” katanya kepada pemberita pada Sidang Kemuncak Perniagaan PKS Malaysia, hari ini.

Spekulasi mengenai cukai warisan akan diperkenalkan telah berlegar sejak sebelum pembentangan Bajet 2019,  yang pasaran bimbang akan mengurangkan minat pelabur, terutamanya di Bursa Malaysia.

Kerajaan, bagaimanapun, ada mencadangkan cara untuk meningkatkan hasil cukai termasuk menerusi program pengisytiharan sukarela khas yang membolehkan pembayar cukai secara sukarela mengisytiharkan sebarang pendapatan yang tidak dilaporkan, termasuk pendapatan yang disimpan dalam akaun luar pesisir.

Ditanya mengenai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada separuh pertama 2019, Lim berkata kerajaan mengakui terdapat banyak cabaran dihadapi mereka, termasuk isu berhubung akses kepada  pembiayaan serta mengenai penjadualan semula dan penstrukturan semula pinjaman.

“Sesetengah syarikat mahu menjadualkan semula pinjaman mereka untuk tempoh lebih lama supaya mereka boleh meningkatkan aliran tunai mereka dan mereka masih membayar tepat pada masanya, tetapi masalahnya sesetengah bank akan mengklasifikasikannya sebagai pinjaman tidak berbayar (NPL).

“Ini tidak sepatutnya berlaku dan Bank Negara akan memaklumkan kepada bank-bank bahawa mereka tidak boleh mengklasifikasikan PKS berkenaan sebagai NPL,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, menteri kewangan itu berkata kerajaan sentiasa memberi sokongan dan menggesa PKS untuk melakukan transformasi digital.

Pada Februari tahun ini,  kerajaan melancarkan skim jaminan baharu bernilai RM2 bilion menerusi Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) Bhd untuk membantu PKS Malaysia untuk menceburi Industri 4.0.

Tambahan RM1 bilion lagi dikhususkan untuk memacu PKS Bumiputera, yang merupakan sebahagian daripada RM6.5 bilion skim jaminan SJPP untuk membantu PKS mendapatkan pembiayaan.

“Kerajaan juga menyediakan Dana Transformasi Pendigitalan Industri  RM3 bilion di bawah Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) untuk memacu penggunaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan, automasi, data besar dan robotik dalam kalangan syarikat Malaysia”.

Lim juga berkata cabaran lain yang dihadapi oleh PKS adalah perkhidmatan awam.

“Kadang kala mereka masih memberi masalah, kami masih perlu mendapatkan mereka untuk menyokong inisiatif dasar-dasar kerajaan. Kami menerima banyak aduan, (seperti) dengan sengaja menyukarkan pihak perniagaan, tetapi itu akan mengambil masa.

“Anda tidak boleh mengatasi 61 tahun dalam satu tahun, jadi kami harap mereka dapat bersabar, kami akan uruskannya langkah demi langkah, secara berperingkat,” katanya sambil menekankan akan perlunya PKS  memanfaatkan dunia digital.

Pada 2017, PKS menyumbang 37 peratus kepada keluaran dalam negara kasar Malaysia dan angka itu dijangka meningkat kepada 41 peratus menjelang tahun depan.

PKS juga merupakan majikan terbesar di negara ini, menggaji dua pertiga daripada semua pekerja di Malaysia dan merangkumi 98.5 peratus daripada semua perniagaan di negara ini.

— BERNAMA

 

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here