Media Mutiara nafi terima dana 1MDB

Media Mutiara nafi terima dana 1MDB

GEORGETOWN — Kelab Media Mutiara Pulau Pinang (Media Mutiara) menafikan pembabitan organisasi itu dalam penerimaan sebarang dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Presiden Media Mutiara, Ahmad Zhafaran Mohammed Nasib, berkata organisasi berkenaan tidak terbabit secara langsung atau sebaliknya dalam isu berkaitan dana 1MDB yang dinyatakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Media Mutiara adalah sebuah organisasi dan penggerak untuk ahli melakukan segala aktiviti kebajikan serta riadah di Pulau Pinang.

“Semua ahli bernaung di bawah Media Mutiara tidak perlu gusar kerana kelab ada memohon dan menerima dana daripada pihak luar untuk menjalankan sesuatu aktiviti namun bukan daripada 1MDB.

“Jika Media Mutiara dikatakan terbabit dengan isu ini, kelab khususnya ahli jawatankuasa sentiasa bersedia dan akan memberi kerjasama sekiranya diperlukan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Difahamkan, ketika ini terdapat beberapa persatuan wartawan dan jurugambar berdaftar di Pulau Pinang, antaranya Media Mutiara dan Penang Press Club.

Terdahulu, Guan Eng pada sidang media di Cyberjaya menjelaskan persatuan wartawan dan jurugambar di Pulau Pinang antara pihak dikenal pasti turut menerima dana yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Beliau dilapor berkata, selain 41 senarai didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini, terdapat beberapa lagi kesatuan, persatuan dan individu yang turut menerima sumbangan dana 1MDB berdasarkan senarai yang ada di Kementerian Kewangan.

-Berita Harian

 

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.