Pemegang saham FGV tolak resolusi bayar yuran pengarah

"Hari ini cukup bersejarah bagi FGV Holding Berhad. Empat daripada 12 resolusi dikemukakan ditolak."

Pemegang saham FGV tolak resolusi bayar yuran pengarah
Foto: NSTP/ROSELA ISMAIL.

 

 

MESYUARAT Agung Tahunan FGV Holding Berhad hari ini menyaksikan pemegang saham utama meluluskan pelantikan semula pengarah syarikat namun menolak resolusi untuk pembayaran yuran pengarah.

Pegerusi FGV Holding Berhad, Azhar Abdul Hamid berkata, keputusan itu dibuat oleh tiga pemegang saham utama mereka.

Tiga pemegang utama saham berkenaan adalah Felda yang menguasai 33.7 peratus, Koperasi Permodalan Felda (KPV) 5 peratus dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) 1.25 peratus.

“Hari ini cukup bersejarah bagi FGV Holding Berhad. Empat daripada 12 resolusi dikemukakan ditolak.

“Saya tidak tahu kenapa resolusi berkenaan ditolak oleh pemegang saham utama,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan di Kuala Lumpur, petang tadi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Haris Fadzilah Hassan.

Pengarah yang dilantik semula ialah Azhar, Mohamed Suffian Awang, Hoi Lai Ping, Yusli Mohamed Yusoff, Mohd Hassan Ahmad dan Othman Omar.

Mesyuarat agung tahunan itu mengemukakan 12 resolusi untuk diluluskan pemegang saham FGV Holding Berhad, namun empat ditolak oleh pemegang saham utama.

Resolusi pertama yang ditolak ialah pembayaran yuran para pengarah bagi tahun kewangan 31 Disember 2018 bernilai RM2,546,044.42.

Resolusi kedua yang ditolak ialah pembayaran sebahagian yuran para pengarah berbayar mulai dari 26 Jun 2019 sehingga mesyuarat agung tahunan syarikat yang berikutnya berlangsung pada tahun 2020 berjumlah RM1,178,400 turut ditolak.

Resolusi ketiga yang ditolak pula ialah pembayaran faedah-faedah berbayar mulai 26 Jun 2019 sehingga mesyuarat agung tahunan syarikat yang berikutnya berlangsung pada tahun 2020.

Manakala resolusi keempat yang ditolak ialah bagi pemberian kuasa kepada para pengarah untuk mengumpukkan dan menerbitkan saham menurut Seksyen 75 Akta Syarikat, 2016.

Bagaimanapun, sebahagian bayaran kepada pengarah membabitkan resolusi pertama yang ditolak telah pun dilakukan hampir RM1 juta.

FGV Holding Berhad yang dahulunya dikenali sebagai Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) ditubuhkan sewaktu pentadbiran kerajaan BN oleh bekas perdana menteri, Najib Razak.

FGV sewaktu era BN dikaitkan dengan beberapa masalah yang menyebabkan Felda terjejas teruk.

Laporan kertas putih Felda April lalu mendedahkan keputusan perniagaan buruk FGV ketika menjadi punca utama masalah aliran tunai yang dihadapi Felda ketika ini.

Sementara itu, Azhar berkata usaha menguruskan FGV Holding Berhad ketika ini yang kehilangan berbilion ringgit bukanlah perkara mudah.

Bagaimanapun katanya, atas tanggungjawab yang diamanahkan pihak akan menggalas tugas sebaik mungkin.

Ditanya mengenai tindakan selanjutnya oleh pengarah FGV Holding Berhad sama ada akan melepaskan jawatan atau sebaliknya selepas usul pembayaran yuran pengarah ditolak pemegang saham utama.

Azhar berkata, pihaknya akan terus bekerja meskipun “tanpa bayaran” dan apa juga tidak selanjutnya akan diputuskan kemudian.

“Saya secara sukarela menawarkan agar yuran saya tidak dibayar, asalkan resolusi pertama, kedua dan ketiga diluluskan.

“Namun, pemegang saham tidak mahu luluskan (resolusi berkenaan).

“Kita boleh bawa kuda ke permukaan air, namun kita tidak boleh memaksa kuda tersebut untuk minum air,” katanya.

http://bit.do/eWefJ
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.