Pencemaran di Pasir Gudang: Ini kurang cerdik, kata Mahathir

Pencemaran di Pasir Gudang: Ini kurang cerdik, kata Mahathir
Foto: NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

 

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad menegaskan insiden pencemaran udara di Pasir Gudang tidak sepatutnya berlaku selepas terjadinya insiden serupa sebelum ini.

“Ini kurang cerdik… nampaknya ada industri-industri yang tidak begitu prihatin terhadap keselamatan menyebabkan insiden ini berlaku lagi.”

Dr Mahathir berkata demikian merujuk kepada Insiden Sungai Kim Kim di Pasir Gudang pada Mac lalu yang turut menyebabkan pencemaran udara dan simptom lebih kurang serupa pada orang ramai di situ.

“Sebab itu kita perlu kenal pasti siapa mencemarkan udara di situ dan ambil tindakan yang tegas terhadap mereka,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-33 di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kes pencemaran di Pasir Gudang kali ini yang menyebabkan ramai yang sesak nafas dan muntah sejak Khamis lalu.

Menurut laporan semalam, kerajaan negeri Johor mengarahkan 17 buah sekolah, 69 tadika serta sebuah institusi pengajian tinggi yang melibatkan 20,108 pelajar ditutup selama empat hari bermula hari ini hingga Khamis sebagai langkah berjaga-jaga.

Ia susulan sekurang-kurangnya 15 murid dan dua orang dewasa muntah-muntah dan mengalami sakit tekak akibat pencemaran udara.

Keadaan bertambah buruk apabila sebanyak 475 buah sekolah, institut pengajian tinggi dan tadika daerah tersebut terjejas dan diarahkan tutup akibat pencemaran udara yang merebak ke sekolah-sekolah berhampiran.

 

– Bernama

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.