Pengamal media diingatkan tidak mengadu domba

Laporan tidak benar, separuh benar atau di luar konteks yang mengapi-apikan hubungan antara kaum dan agama adalah jenayah mengikut undang-undang negara.

Pengamal media diingatkan tidak mengadu domba

KUALA LUMPUR — Pengamal media diingatkan supaya sentiasa mengamalkan pemberitaan yang benar, tidak mengadu domba dan menjaga sensitiviti antara kaum dan agama.

Undang Luak Jelebu Pembesar Memerintah bagi Negeri Sembilan, Dato’Mendika Menteri Akhirulzaman, Datuk Maarof Mat Rashad berkata, pihaknya amat menitikberatkan media melaporkan pemberitaan benar, tidak mengadu domba dan menjaga sensitiviti.

Menurutnya, laporan tidak benar, separuh benar atau di luar konteks yang mengapi-apikan hubungan antara kaum dan agama adalah jenayah mengikut undang-undang negara.

“Kesedaran inilah wajib dihayati dalam industri kewartawanan, selain daripada mendukung etika pemberitaan ketika melakukan tugas masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencemar kaus mengadakan lawatan kerja ke Media Prima Berhad di Balai Berita di sini, hari ini.

Turut mencemar kaus, Tok Puan Mahawa Mohd Som serta Datuk Lembaga Delapan Luak Jelebu, Orang Besar Undang Luak Jelebu dan waris negeri.

Maarof menegaskan, pengamal media juga perlu mempunyai pengetahuan mantap mengenai undang-undang ketika menyiarkan laporan berita.

“Kesedaran dan kefahaman wartawan mengenai kewujudan undang-undang ini penting bagi membantu mereka menjalankan tugas.

“Lebih-lebih lagi apabila sesuatu pemberitaan itu membabitkan Raja dan Pembesar Memerintah bagi Negeri Sembilan.

“Wartawan, jurugambar, pengarang dan ketua pengarang harus celik undang-undang yang berkaitan sebelum menyiarkan sesuatu berita itu,” katanya.

-NSTP

 

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.