Legenda Merah Kuning dapat bantuan kerajaan Selangor, rumah Lembaga Zakat

0
1
ZAPRIL Hashim (kiri) memegang potret Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan sijil penghargaan Raja Muda Selangor ketika dikunjungi Khairuddin Othman di rumahnya, semalam.
Oleh KAKI BANGKU

 

LIMA kali menjulang Piala Malaysia termasuk trebel 1984-85 malah bermain sebaris Supermokh, mendiang Datuk R. Arumugam dan Datuk Santokh Singh – sudah cukup menggambarkan siapa dia Zapril Hashim dalam skuad bola sepak Selangor dari tahun 1978 hingga 1986.

Tiga kali anak jati Rantau, Negeri Sembilan ini dipanggil menjalani latihan pusat pasukan negara namun masih bukan rezekinya walaupun (Allahyarham Datuk) Mokhtar Dahari katanya, pernah mempersoalkan kepada jurulatih negara ketika itu mengapa tidak memilihnya.

Ketika Malaysia berhempas pulas untuk menjinakkan Singapura di pentas antarabangsa, Zapril dan Selangor sebaliknya mudah mengirim lawan pulang hampa ke seberang Tambak Johor selepas perlawanan akhir Piala Malaysia tahun 1979 dan 1981 (menang 2-0 dan 4-0).

ZAPRIL Hashim (berdiri dua dari kanan) membarisi skuad Selangor juara trebel 1984-85 (liga, Piala Malaysia dan Sumbangsih). Turut kelihatan, Mokhtar Dahari (berdiri, dua dari kiri).

Memori manis itu sudah lama ditinggalkan bekas sayap kanan Merah Kuning ini yang sudah menjangkau usia 61 tahun sambil hidupnya pula diuji dengan tiga jari kaki kanannya dipotong pada 25 Mei lalu gara-gara menghidap penyakit kencing manis.

Hidup sebatang kara dan masih bujang, Zapril kini hanya ditemani rakan serumah yang juga bekas penyerang Selangor dan negara, Azhar Mohd. Sharif di sebuah rumah sewa di ibu kota tanpa sumber pendapatan tetap dan mencukupi bagi menyara kehidupan hariannya.

Alhamdulillah, ekoran pendedahan media baru-baru ini, kerajaan negeri Selangor sudi menghulurkan bantuan bagi meringankan bebannya dengan menyediakan sebuah unit Rumah Warga Emas Lembaga Zakat Selangor di Klang sebagai kediaman baharunya.

Sumbangan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Negeri Selangor, Khairuddin Othman semalam ketika melawat Zapril di rumah sewanya di ibu kota yang didiaminya sejak lapan tahun lalu.

“Saya mewakili kerajaan negeri Selangor, turun menziarahi Zapril untuk memastikan kebajikan bekas atlet yang pernah berjasa, membawa bendera dan menyarung jersi Selangor ini, dijaga dan dilihat.

“Kami tidak mahu kehidupan legenda bola sepak sepertinya terabai dan inilah isyarat kepada masyarakat bahawa kebajikan mereka akan sentiasa diambil berat walaupun selepas karier sukan mereka berakhir, ” katanya.

DI rumah kedai sewa beralamat No. 4-1, Jalan Chow Kit Kiri Off Jalan Putra, 50350 Kuala Lumpur inilah Zapril Hashim bernaung sejak lapan tahun lalu.

Pihaknya turut membantu Zapril dalam bentuk sumbangan kewangan malah mahu sentiasa bekerjasama dengan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) dalam mencari mana-mana bekas atlet negeri itu yang turut senasibnya.

“Kami berharap mereka yang terbabit, berhubung dengan yayasan ini. Tidak kisah kalau mereka pun tidak berpeluang mewakili pasukan negara, asalkan pernah menyarung jersi Selangor, mereka akan jadi urusan kami,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Paya Jaras.

Zapril turut melahirkan rasa terima kasih kepada Khairuddin dan kerajaan negeri yang sudi membantu dalam keadaan dirinya sekarang yang turut sukar bergerak termasuk dalam mendapatkan rawatan susulan kakinya di hospital tiga kali setiap minggu.

Dalam suara yang tersekat-sekat dek menahan perasaan terharu bercampur gembira katanya, “terima kasih kepada Yang Berhormat Khairuddin dan kerajaan Selangor kerana menolong saya dalam keadaan begini.

“Dulu selepas saya menang Piala Malaysia, ada juga seorang pegawai Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berjanji untuk membantu mendapatkan rumah tetapi sampai sekarang, tiada. Harap-harap lebih ramai (bekas pemain Selangor senasibnya) yang boleh dibantu lagi (kerajaan negeri),” katanya.

—BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here