Ibu bapa kuarantin anak di rumah.

0
22
ANGGOTA Jabatan Alam Sekitar (JAS) melakukan pemeriksaan bacaan kualiti air di hulu sungai Kim Kim, di Pasir Gudang.NSTP/MOHD AZREN JAMALUDIN

 

PASIR GUDANG — Suri rumah di sekitar Pasir Gudang terpaksa bertindak sebagai guru di rumah masing-masing dan mengajar anak sendiri mengikut sukatan diberikan guru berikutan keputusan kerajaan menutup semua 111 sekolah di kawasan ini akibat pencemaran udara sejak Khamis minggu lalu.

Mereka mengambil pendekatan mengkuarantin anak di rumah bagi memastikan tahap kesihatan mereka yang dicutikan dalam keadaan baik dan pada masa sama, mengikut sukatan pembelajaran diberikan guru menerusi laman sosial supaya pembelajaran anak-anak tidak ketinggalan.

Tinjauan Harian Metro di kawasan terjejas mendapati, penduduk kurang melakukan aktiviti di luar rumah kerana tidak mahu kesihatan mereka terjejas.

Suri rumah, Norizah Nordin, 39, berkata memanfaatkan penutupan sekolah yang diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan mengarahkan kedua anaknya mengulangkaji pelajaran di rumah.

Katanya, dengan keadaan udara di luar yang masih belum baik sepenuhnya dan punca pencemaran belum diketahui adalah lebih baik mengambil pendekatan itu kepada dua anaknya.

“Kebetulan sekolah diarahkan tutup secara mendadak dan guru-guru tidak bersedia memberikan sebarang latihan kepada murid sekolah.

“Sebagai ibu bapa, kami hanya mampu kuarantin dan memberikan latihan yang diperlukan bagi mengelak pembelajaran terjejas.

“Pada masa sama, saya berhubung dengan guru untuk mengetahui apa yang perlu dilakukan bagi mendidik akan di rumah,” katanya yang tinggal di Taman Bukit Dahlia di sini.

Menurutnya, dia serta ibu bapa lain risaukan tahap pembelajaran anak masing-masing terutama yang bakal menghadapi peperiksaan utama.

“Seorang anak saya yang bersekolah di Sekolah Kebangsan (SK) Taman Bukit Dahlia di sini, akan menghadapi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Insiden pencemaran udara ini dikhuatiri akan menyebabkan anak-anak mendapat keputusan kurang memberangsangkan, antara disebabkan trauma atau kurang persediaan,” katanya.

Mengulas pencemaran udara itu katanya, penduduk di Taman Bukit Dahlia serta kawasan sekitar Pasir Gudang terhidu bau busuk seakan sampah pada malam Khamis minggu lalu.

Katanya, dia bersama penduduk menyertai aktiviti marhaban di taman itu menyangka bau berkenaan akibat pembakaran sampah secara terbuka di kawasan berhampiran.

“Kami tidak ambil kisah mengenai bau itu hinggalah insiden murid Sekolah Agama Taman Mawar dan SK Pasir Gudang 4 di sini, mengalami gejala pening, loya dan muntah pada keesokan harinya (Khamis minggu lalu),” katanya.

Menurutnya, sejak Rabu minggu lalu hingga hari ini, penduduk di sekitar Pasir Gudang masih menghidu bau misteri seakan sampah hingga ada kalanya menyebabkan tekak terasa perit.

Berikutan kejadian itu, kerajaan mengarahkan semua 111 sekolah rendah dan sekolah menengah kerajaan, tiga institusi pendidikan tinggi dan 14 sekolah swasta serta antarabangsa, selain 347 tadika swasta berdaftar dengan JPN Johor ditutup mulai 25 Jun hingga hari ini.

Sementara itu, tinjauan di Taman Bandar Pasir Gudang di sini, mendapati orang ramai masih menjalankan aktiviti beriadah di kawasan berkenaan.

Mereka bagaimanapun tidak memakai penutup mulut dan hidung ketika melakukan aktiviti termasuk berjoging di kawasan itu.

-NSTP
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here