Zahid berdepan 33 lagi dakwaan rasuah

Zahid berdepan 33 lagi dakwaan rasuah

BEKAS timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas baki 33 pertuduhan rasuah berhubung kontrak bagi sistem visa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Beliau yang merupakan menteri dalam negeri di bawah pentadbiran Najib Razak didakwa menerima rasuah lebih RM42.7 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd.

Wang itu dikatakan sebagai dorongan untuk Zahid melanjutkan kontrak syarikat itu yang menguruskan Sistem Visa Luar Negara (VLN) dan pusat sehenti di China.

Zahid didakwa menerima wang itu di Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 hingga Julai 2017.

Beliau didakwa sebagai penjawat awam menerima sesuatu yang bernilai daripada individu yang beliau tahu mempunyai kepentingan dalam transaksi perniagaan dengan kementeriannya ketika itu di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan rasuah di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, beliau berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda rasuah diterimanya.

Maksimum hukuman bagi kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan ialah 2 tahun penjara dan denda.

Sebelum ini, Zahid berdepan 47 pertuduhan pecah amanah membabitkan Yayasan Akal Budi yang dikendalikan keluarganya antara November dan Februari lalu, pengubahan wang haram dan juga menerima rasuah bagi pelbagai projek ketika berada di KDN.

Semalam, beliau berdepan 7 lagi pertuduhan rasuah berjumlah S$4.24 juta.

Ini menjadikan keseluruhan 87 pertuduhan dihadapinya sehingga kini.

Timbalan Pendakwa Raya, Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar memberitahu mahkamah yang pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin kepada Zahid.

Bagaimanapun, peguamnya, Kitson Foong berkata, jumlah itu terlalu tinggi.

“Ikat jamin ini bukan bertujuan menentukan hukuman pada akhir perbicaraan,” katanya sambil menambah Zahid patut dibenarkan ikat jamin RM500,000.

Katanya, Zahid sudah membayar ikat jamin RM200,000 bagi 7 pertuduhan semalam.

Hakim, Rozina Salleh kemudian menetapkan ikat jamin RM500,000 bersama seorang penjamin.

Beliau memberitahu penjamin yang dicadangkan Zahid, Sheikh Rozi untuk bertanggungjawab memastikan kehadiran Zahid dalam setiap sebutan kes.

“Mahkamah akan mengeluarkan notis tunjuk sebab jika penjamin tidak boleh memberikan penjelasan bagi mana-mana ketidakhadiran di mahkamah.”

Mahkamah menetapkan 29 Julai ini untuk sebutan semula kes.

http://bit.do/eWp3f
Please follow and like us:
error

One Response to "Zahid berdepan 33 lagi dakwaan rasuah"

  1. Pingback: Zahid mula jelajah politik selepas hadapi tuduhan demi tuduhan | BebasNews

Leave a Reply

Your email address will not be published.