Rombau vs. Kola Pilah, sapo sonyum lebar, sapo tersopit?

0
47
Oleh KAKI BANGKU

 

“KU fikirkan dua, rupa-rupanya tiga, nasib baik tak empat!”

Dialog lucu filem Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, ‘Madu Tiga’ macam ada kaitan dengan misi Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin, Sabtu ini.

Tokoh perniagaan kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini sedang bergelut dengan kontroversi pencalonan mantan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam persaingan jawatan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Bak pepatah, sambil menyelam sambil minum air, Shahriman juga akan mencabar satu lagi kerusi nombor satu, Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) milik Datuk Abu Hurairah Yazid pada hari yang sama bagi penggal 2019-2020.

Megat D. Shahriman Zaharudin.

Jika berjaya membolot kedua-duanya pada mesyuarat agung pemilihan MPM dan KLHA di ibu kota, beliau bakal menjadi antara pemimpin sukan tanah air pertama yang mencatat sejarah berbuat demikian.

Beliau kini juga menyandang Presiden Persatuan Kanu Malaysia (Masca) selepas memenangi pemilihan secara adil, November lalu selain dilantik sebagai Ahli Lembaga Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) dan Ketua Kontinjen Sukan Para ASEAN 2020, bulan lalu.

Kaki Bangku bersikap terbuka dengan hasratnya jika boleh digelar sebagai, “Shahidan Kassim Yang Baharu’.

Bekas menteri kabinet itu masih merupakan Presiden Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) malah memburu kerusi Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dalam pemilihan Ahad ini. Beliau jugalah bekas peneraju KOM dan Persatuan Kabbadi Malaysia selain Persatuan Bola Sepak Perlis.

Seperti Khairy, golongan para atau orang kelainan upaya (OKU) juga begitu dekat dengan hati Shahriman kerana masing-masing memiliki anak kedua yang menghidap austime spectrum disorder dan hydrocephaulus.

Syabas dan terima kasih Kaki Bangku ucapkan kerana niat yang tulus dan telus kedua-dua calon Presiden MPM ini.

Agak malang kerana ketika Shahriman pernah menyatakan hasratnya untuk mengikut jejak dan menjadikan KJ inspirasi, ada pula tangan-tangan ghaib yang menyucuk jarum supaya bekas Ketua Pemuda UMNO itu masuk bertanding di MPM atas tiket ‘halal atau haram?’ Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia (MWRF).

Shahriman mahu turut menjadi atlet negara dalam tiga acara sekali gus walaupun hanya sebagai pemukul gendang pasukan lumba bot tradisional seperti katanya, dalam Sukan SEA Ke-30 di Filipina, November ini.

KJ sudah merintisnya sebagai menteri kabinet pertama yang turut menyumbangkan sebutir emas temasya serantau dwitahunan itu dengan skuad polo negara di ibu kota, dua tahun lalu.
Shahriman sudah melancarkan perang psikologi dengan mendedahkan bukti penyelewengan pencalonan KJ dalam sidang akhbar di Bukit Kiara, semalam.

Seperti laporan sebuah akhbar kompak, amarannya buat para pengundi MPM, “anda akan mempunyai presiden yang ‘penipu’ dan mengheret ahli gabungan ke ‘longkang’ serta lebih malang atlet akan terpalit. Saya geli dengan semua ini.”

KJ pula dalam sidang akhbar kelmarin seperti sudah mengaku ada kelewatan penghantaran borang pencalonannya pada 15 Jun lalu namun mahu mengheret calon-calon bagi jawatan lain yang didakwanya turut melanggar tarikh tutup itu.

Nah! Sudah terang mahu lagi bersuluh?
Buatlah keputusan secara bermaruah KJ menjelang pemilihan esok.

Hadamkan kata-kata hikmat ulama terkenal Indonesia, Hamka: “Berani berkata benar itu sifat pahlawan sejati tetapi berani mengaku kesalahan sendiri itu lebih tinggi nilai saterianya.”

–BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here