Musim durian beri peluang peniaga jana pendapatan di Pendang

0
7
Foto oleh Ainal Muspaha.

 

PENDANG — Musim durian kembali lagi.

Yang pasti, ia menjanjikan pulangan lumayan buat penduduk yang kebanyakkan terdiri daripada penoreh getah, apabila menjual hasil durian dari kebun masing-masing.

Tinjauan Bernama di sekitar Kampung Titi Akar, Kampung Padang Durian dan Kampung Cina di Mukim Padang Kerbau di sini, mendapati kira-kira 20 gerai sementara didirikan sepanjang laluan utama Kuala Nerang-Sik, sejak seminggu lalu.

“Musim durian beri kami peluang tingkat pendapatan berbanding menoreh dan tempohnya hanya dua bulan sahaja, untuk meraih pendapatan lumayan,” kata peniaga durian dari Kampung Padang Durian, Zainol Ariffin, 54, di sini hari ini.

Zainol berkata setiap hari dia mampu menjual kira-kira 500 kilogram durian, dengan nilai jualan kira-kira RM5,000 yang diperoleh dari kebun sendiri dan penduduk sekitar.

“Bila mai musim durian, orang akan ingat durian di kawasan ini, kerana banyak pilihan dan buah yang dijual masih baharu dan yang penting harganya murah serendah RM5 sekilogram bagi durian kampung,” katanya di sini, hari ini.

 

Foto: Ainal Mustapha.

Zainol berkata antara durian yang mendapat permintaan menggalakkan ialah durian kampung jenis kahwin, dan jenis Musang King, serta D24.

Katanya pelanggan yang pernah menikmati durian di situ pasti akan singgah membeli lain dan ada yang datang dari Alor Setar, Pokok Sena, Yan dan Kuala Nerang.

“Peniaga di sini majoritinya masyarakat Siam juga tidak berkira pasal harga dan ramah dalam urusan jual beli,” katanya yang berpengalaman hampir 20 tahun menjual raja buah itu di sini.

Sementara itu, peniaga lain Khuan A/L Keam, 54, berkata kerana sambutan menggalakkan dia menjual sendiri hasil tanaman itu, berbanding menjualnya kepada orang tengah sebelum ini.

“Durian selalu banyak kami tolak, tapi tahun ni buah kurang jadi kami jual sendiri. Saya ada 100 pokok durian dari jenis kampung hinggalah jenis klon D24 dan Monh Tong, menyebabkan kami tak turun menoreh,” katanya.

Khuan berkata permintaan tidak mencukupi terutama pada cuti hujung minggu apabila ramai yang datang membeli durian di sini kerana dijual murah.

Dalam pada itu, pelanggan Salmah Senik, 60, berkata setiap tahun dia tidak melepaskan peluang mendapatkan durian di sini, kerana murah dan boleh membeli pada harga borong sekiranya beli dalam kuantiti yang banyak.

“Peniaga di sini juga boleh dibawa bincang harga, serta buah pula tidak rosak dan masih baharu kerana dijual terus dari kebun,” katanya yang menghabiskan kira-kira RM70 membeli durian untuk majlis kenduri di rumahnya dekat Naka, Kuala Nerang.

Seorang lagi pelanggan, Aziz Ishak, 50, dari Kepala Batas dekat Jitra pula berkata durian yang dijual di sekitar kawasan itu lebih elok jika dibandingkan kawasan lain dan mempunyai banyak pilihan.

“Seronoknya beli di sini kita  boleh tawar-menawar harga, kalau kita bernasib baik dapatlah pada harga RM3 sekilogram bagi buah yang berlubang sedikit tapi isinya masih elok dan tebal,” katanya.

— BERNAMA

 

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here