Hilangnya penyanyi ‘Tom Jones’ Melayu

0
1
Oleh FAUZAN UDA AHMAD

 

MENINGGALNYA Abdul Halil Chik. 70, pada pagi Ahad semalam bererti perginya seorang Tom Jones Melayu. Halil Chik diberi gelaran sedemikian kerana mempunyai sosok tubuh dan suara lantang dan garau seperti bintang sensasi Barat itu.

Tidak menghairankan jika Halil Chik menjadi antara penyanyi Melayu  kegilaan ramai terutama dari kaum gadis baik di Singapura atau Malaysia dari pertengahan tahun 70-an hingga awal 80-an.

Biarpun sudah lama menyepi, ada kalanya Halil Chik tetap diingati melalui beberapa lagu yang muncul di corong-corong radio. Lagu Lenggang Mak Limah yang paling diingati kerana lagu tersebut berada dalam senarai lagu wajib yang perlu diputar di stesen Radio ketika musim raya.

Halil dari Perak berpindah ke Singapura ketika berusia 6 tahun mengikuti ayah seorang anggota polis yang bertugas di sana.

Perkembangan muzik yang lebih pesat di Singapura mendorong Halil  menceburi bidang nyanyian secara lebih serius. Beliau tiada pengalaman muzik tetapi Halil mempunyai bakat semula jadi selain belajar mengikuti cara nyanyian beberapa penyanyi Barat yang sudah ternama.

Hasrat beliau untuk terlibat serius dalam bidang muzik mendapat tentangan ayahnya dan pernah gitar kesayangannya dipecahkan oleh ayahnya.

Secara diam-diam Halil mencuba bakat menyanyi di kelab malam dan bakatnya menarik minat S. Atan iaitu seorang penerbit dan komposer muda yang sedang popular ketika itu.

Halil kemudiannya ditawarkan menjadi artis rakaman EMI iaitu syarikat rakaman terbesar di Singapura ketika itu dengan S. Atan menjadi pencipta, penyusun lagu dan penerbit albumnya.

Ketika itu, setiap artis baharu yang mendapat tawaran merakan album hanya  boleh membuat album mini (EP) iaitu cuma empat lagu.

Namun Halil diberi peluang terus membuat album penuh (LP) yang mengandungi 10 lagu.

Ketika bersama EMI,  Halil merakamkan 8 album termasuk lagu-lagu terus popular seperti Lenggang Mak Limah, Bersama Melati,  Sejak Mengenal Cinta dan Jangan Bersendiri.

Beliau berkahwin dengan seorang wanita Vietnam yang memeluk Islam pada tahun 1977, dan dikurniakan  dua orang anak yang kini berusia 22 dan 17 tahun. Sejak berpisah dengan isterinya 22 tahun lalu, memilih untuk hidup membujang.

Sejak tahun 1985 Halil berpindah ke Kuala Lumpur dan tinggal bersama-sama dua anaknya manakala bekas isterinya difahamkan telah berpindah ke Amerika Syarikat.

Selain bergiat dalam dunia perniagaan berasaskan minyak sawit, Halil masih terlibat dalam bidang nyanyian dengan sesekali mendapat undangan dalam majlis-majlis tertentu.

Halil mempunyai pegangan iaitu terus menyanyi hingga ke akhir hayat.

Halil turut menjadi ahli jawatankuasa Yayasan Artis Veteran dengan turut membantu menyediakan sumbangan kewangan terhadap artis-artis veteran tertentu.

Walaupun kurang sihat, pada awal Hari Raya lalu  Halil sempat berhari raya dengan saudara-mara di Singapura selain mengadakan   persembahan dengan beberapa artis veteran di sana. Beberapa hari kemudian, beliau akhirnya dijemput pulang oleh sang penciptanya.

—BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here